https://vt.tiktok.com/ZS5rdQWXo
KUALA LUMPUR, 1 Januari 2026 – Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, tampil menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang disifatkannya sebagai kecenderungan kenyataan berunsur perkauman yang semakin kerap timbul, khususnya melibatkan isu pengambilan pekerja dan syarat kelayakan akademik oleh sesetengah pihak swasta.
Dalam kenyataannya sempena sambutan tahun baharu, beliau menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama perlu terus dipelihara keharmoniannya, tanpa sebarang elemen yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.
Menurut beliau, isu yang tular baru-baru ini membabitkan dakwaan sebuah rangkaian pasar raya yang dikaitkan dengan syarat kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai keutamaan pengambilan pekerja telah menimbulkan persoalan serius dalam kalangan masyarakat.
“Negara kita ada sistem pendidikan sendiri seperti SPM yang diiktiraf secara nasional.
Ramai rakyat daripada pelbagai kaum melalui sistem itu. Jadi apabila wujud persepsi bahawa hanya pemegang UEC diberi keutamaan, ia menimbulkan rasa tidak adil dan kegusaran,” katanya.
Beliau turut menyentuh dakwaan bahawa isu ini cuba dipolitikkan oleh pihak tertentu, termasuk mengaitkannya dengan permainan sentimen kaum dan tekanan politik tertentu.
Menurutnya lagi, tindakan sedemikian hanya akan mengeruhkan keadaan dan memberi kesan negatif terhadap keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
“Rakyat tidak mahu polemik berpanjangan. Kita mahu kestabilan, peluang pekerjaan yang adil, dan dasar yang tidak meminggirkan mana-mana kaum,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau menyokong seruan agar pengguna membuat pilihan bijak sebagai tanda protes aman, tanpa sebarang unsur paksaan atau kebencian, demi memberi mesej bahawa perpaduan nasional perlu dihormati.
#IsuPerpaduan #TolakDiskriminasi #MalaysiaUntukSemua #HarmoniNasional #RakyatBersatu #KeadilanSosial #IsuSemasa #SuaraRakyat #BersamaMenjagaNegara #AACBerita