Politik

KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2026 – Syarikat Tujuan Khas (SPV) Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) disifatkan gagal menjalankan fungsinya sebagai penyelamat Tabung Haji (TH), sebaliknya didakwa merosakkan ekosistem perniagaan dan pelaburan institusi kewangan Islam berkenaan.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Mustafa menyuarakan keprihatinan berkenaan susulan perbahasan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH di Parlimen semalam, yang menyaksikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim persoal ke mana hilangnya RM9 bilion selepas proses penstrukturan TH dijalankan pada 2018.

​Menurut beliau, penstrukturan yang dibuat di bawah pentadbiran bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi penubuhan UJSB kononnya bertujuan menyelamatkan TH menerusi suntikan modal dan pengeluaran sukuk.

​Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa TH hanya menerima RM500 juta tunai dalam proses imbalan penstrukturan berkenaan sehingga ke hari ini.

​”UJSB sepatutnya membayar balik semua pinjaman sukuk, namun pendedahan di Parlimen menunjukkan kerajaan tidak menjawab persoalan ke mana hilangnya RM9 bilion yang sepatutnya diterima oleh TH.

​”Isu defisit RM4.1 bilion sebelum ini hanyalah perbezaan antara nilai aset dan liabiliti berasaskan kaedah perakaunan Nilai Realisasi Aset (RAV), bukannya kerugian sebenar. Namun tindakan penstrukturan itu bertukar menjadi punca kerugian teruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

​Menyentuh mengenai prosiding RCI TH, Gulam Muszaffar mendesak agar kerajaan bertindak secara lock, stock and barrel dan tidak menyembunyikan kelemahan sendiri. Beliau turut menyokong syor agar tempoh siasatan RCI TH dilanjutkan sehingga 2025 bagi mendedahkan dalang sebenar di sebalik kerugian berkenaan demi ketelusan kepada rakyat dan pendeposit.

#BeritaAAC #RCITabungHaji #ManaRM9Bilion #TabungHaji #IsuParlimen

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2026 – Kenyataan luar jangka dan pujian melangit Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Azmin Ali terhadap Menteri Besar serta barisan Exco daripada DAP dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini mencetuskan pelbagai spekulasi politik.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menyifatkan tindakan Azmin yang menggunakan gelaran mesra seperti “sahabatku” dan “adikku” sebagai langkah terdesak untuk mempertahankan kelangsungan politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwanya kian terhimpit.

​Menurut beliau, perubahan nada politik tersebut amat mengejutkan memandangkan pimpinan berkenaan pernah melabelkan DAP dan PKR dengan pelbagai ikatan naratif negatif ketika peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020.

​Beliau mendakwa, berikutan siri kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan, serta desas-desus kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yang semakin goyah, parti itu dipercayai cuba melaraskan hala tuju politik baharu. Rentetan itu, beliau berseloroh menggelarkan fenomena peralatan naratif ini sebagai bakal membentuk jajaran baharu iaitu “BerseDAP”.

​Tambah Gulam Muszaffar, perhimpunan dan konvensyen parti yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi bakal menjadi medan penentu sama ada fasa solidariti atau jajaran baharu ini benar-benar akan terwujud.

#BerseDAP #PolitikSelangor #AzminAli #LangkahBerseDAP #IsuPolitikSemasa

KUALA LUMPUR — Usaha penyatuan dan mufakat antara UMNO dan PAS perlu digerakkan dengan penuh keikhlasan serta ditandatangani melalui satu perjanjian rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan akar umbi.

​Tokoh Media, Datuk Dahlan Maamor menegaskan bahawa keikhlasan dalam mufakat politik ini amat penting demi memikul tanggungjawab terhadap bangsa Melayu dan agama Islam, berbanding hanya mengejar kepentingan jawatan.

​”Bukan hanya keikhlasan, tetapi kita juga perlu beradab dalam membahas tuntutan seperti jumlah kerusi dan kuasa. Yang lebih penting bukannya soal jawatan, sebaliknya mufakat ini mampu mengubah keadaan buruk kepada lebih baik,” katanya.

​Menurut beliau, kedua-dua parti wajar mengukuhkan persamaan dan meminimumkan jurang perbezaan. Perpaduan Melayu sebagai bangsa teras juga dilihat mampu memberi kelebihan besar dalam menerajui politik negara.

DAP Gelisah Dengan Mufakat Melayu

​Ulas Dahlan lagi, penyatuan politik Melayu-Islam ini sememangnya menimbulkan keresahan kepada pelbagai pihak, termasuk DAP.

​”Mufakat ini menakutkan banyak pihak, termasuk DAP yang kelihatan gelisah. Jika mufakat ini kekal berada dalam keadaan yang baik, saya yakin gabungan PN dan BN mampu melangkah ke Putrajaya pada PRU16 nanti,” tegasnya.

Gesa Perjanjian Rasmi Dimeterai Sebelum PRN Melaka

​Bagi memastikan hala tuju gabungan tersebut jelas dan tidak berbeza-beza mengikut negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, atau Melaka, beliau menyokong penuh wujudnya satu dokumen perjanjian bertulis sebagai rujukan utama.

​”Perjanjian rasmi ini penting sebagai panduan supaya tidak berlaku kekeliruan di peringkat bawah. Kita berharap kepimpinan tertinggi UMNO dan PAS melihat perkara ini secara serius dan memeterai perjanjian ini secepat mungkin, sekiranya boleh sebelum PRN Melaka,” tambah beliau.

#BeritaAAC #MufakatMelayu #UMNOdanPAS #PolitikMalaysia #PRNMelaka

KUALA LUMPUR , 11 Ogos 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan surat bagi memohon maklum balas rasmi daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung aduan pelaburan Guaranteed Rental Return (GRR) yang didakwa tidak berdaftar.

​Penasihat Undang-undang MHO, Cik May Eva Sofea berkata, langkah itu dibuat susulan aduan daripada 24 orang pelabur yang mendakwa ditipu menerusi skim pelaburan berkonsepkan hotel.

​Menurut beliau, kesemua mangsa telah membeli unit kediaman pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran selepas dijanjikan pulangan tanpa perlu menguruskan hartanah berkenaan. Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang keuntungan yang diperoleh seperti yang dijanjikan.

​”Pihak kami mengesyaki skim ini tidak berdaftar dan beroperasi tanpa kebenaran yang sah di bawah Seksyen 3 Akta Skim Kepentingan 2016. Selain itu, pelaburan ini juga dilihat telah memenuhi elemen di bawah Seksyen 4 akta yang sama,” katanya ketika ditemui di Menara Menara Sentral, hari ini.

​Tambah beliau, aduan mengenai perkara tersebut telah dikemukakan sejak November 2023, namun selepas hampir setahun, tiada sebarang maklum balas bertulis diterima walaupun difahamkan pihak SSM telah membuka kertas siasatan.

​Sehubungan itu, MHO menggesa pihak SSM agar memberikan maklum balas yang sewajarnya demi keadilan para pengadu yang terlibat.

#BeritaAAC #SkimPelaburanHaram #IsuPelaburanHotel #MHO #MangsaScam


GOMBAK, 8 Ogos 2026 — Kerjasama antara UMNO dan PAS di Selangor berada dalam keadaan kukuh dan tidak menghadapi sebarang masalah biarpun tanpa perbincangan khusus di peringkat negeri.

​Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, gerakan kerjasama tersebut telah pun dimulakan selari dengan perkembangan politik di Negeri Sembilan, di mana pimpinan UMNO dan PAS Selangor telah mengadakan pertemuan pusingan awal.

​”Kita tiada pusingan perbincangan khusus, tetapi kerjasama telah kita mulakan. Berdasarkan perkembangan di Negeri Sembilan, kita telah menggerakkan ketua-ketua bahagian UMNO seluruh Selangor serta ketua-ketua PAS kawasan untuk mengadakan pertemuan,” katanya.

​Menurut beliau, Hubungan di antara kedua-dua parti di Selangor sudah lama terjalin mesra, malah sebelum pelancaran Muafakat Nasional lagi. Sehubungan itu, timbul isu tidak selesa atau kekok untuk bekerjasama.

​”Hubungan itu telah lama terjalin. Saya percaya apa jua keputusan politik yang akan diambil oleh pucuk pimpinan selepas ini, di peringkat negeri kita sudah sedia untuk melaksanakannya,” tambah beliau.

#BeritaAAC #UMNO’Selangor #MuafakatNasional #PolitikMalaysia #MegatZulkarnain

GOMBAK , 8 Ogos 2026 – UMNO Bahagian Gombak digesa untuk terus mengukuhkan perpaduan dalaman serta mempergiat usaha menyantuni ahli dan pengundi di peringkat akar umbi bagi memastikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dapat dikembalikan.

​Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin menegaskan bahawa walaupun perpaduan di peringkat kepimpinan dan ahli secara fizikalnya tidak mempunyai sebarang masalah, eratan hubungan itu perlu sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

​”Pertama sekali, kesatuan dalam kalangan ahli perlu dieratkan. Walaupun secara fizikalnya tiada masalah di peringkat kepimpinan mahupun akar umbi, ia tetap perlu dieratkan lagi.

​”Perkara kedua yang paling penting ialah menjadikan usaha menyantuni ahli-ahli yang tegar sebagai keutamaan. Bukan sahaja ahli, malah keluarga mereka juga penting untuk kita santuni,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak, di sini.

​Mengulas lanjut mengenai peta politik di Parlimen Gombak yang kini mempunyai lebih 240,000 pengundi, Megat Zulkarnain mendapati terdapat cabaran di kawasan penempatan berpagar (gated area) yang sukar ditembusi.

​Justeru, beliau menekankan pentingnya untuk fokus kepada pengundi di kawasan kampung-kampung tradisi yang dianggap sebagai ‘deposit tetap’ (fixed deposit) buat UMNO dan BN.

​”Kawasan kampung tradisi ini terdiri daripada pengundi-pengundi tegar Barisan Nasional. Jika kita terus menyantuni mereka secara berterusan, tidak mustahil sokongan akan kembali secara penuh kepada Barisan Nasional di Parlimen Gombak,” tambah beliau lagi.

#BeritaAAC #UMNO #Gombak #MegatZulkarnain #BarisanNasional

KUALA LUMPUR — UMNO Bahagian Batu menempelak sikap Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang didakwa berterusan mempertikaikan laporan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung isu pilihan raya tempatan bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, menyifatkan tindakan wakil rakyat DAP itu sebagai “kedegilan melampau” dan mencerminkan sikap kiasu demi melunaskan agenda politik parti berkenaan.

​Beliau menyoal tindakan Lip Eng yang masih tidak berpuas hati dengan kajian yang dimohon sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, yang merumuskan tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya tempatan di ibu negara.

​”Ini dinamakan perangai kiasu tahap melampau. DAP bersikap hipokrit dan double standard — bagi jawatan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP), mereka boleh melantik ahli parti sendiri tanpa sebarang pemilihan. Tetapi untuk jawatan Datuk Bandar dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL, mereka berkeras mahu ia dipilih oleh warga KL,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

​Gulam turut mencabar Lip Eng membuktikan komitmennya terhadap amalan demokrasi dengan menggesa kementerian memansuhkan jawatan MPPWP. Beliau mendakwa ramai dalam kalangan ahli MPPWP yang dilantik tidak berfungsi dan sekadar “makan elaun buta” menggunakan dana rakyat, selain wujud perselisihan faham antara ahli majlis dan Ahli Parlimen tempatan.

​Mengulas lanjut, Gulam menyindir ketegangan dalaman parti itu dan mempersoalkan sama ada pertikaian berkenaan menandakan perbalahan antara Lip Eng dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, yang kedua-duanya daripada DAP.

​”Dalam hal ini, adakah Lip Eng tidak sebulu dengan Hannah Yeoh sedangkan mereka dari kem politik yang sama? Cadangkan sahaja pada Konvensyen DAP minggu depan untuk pecat beliau dan ganti dengan diri sendiri sebagai Menteri,” katanya.

#BeritaAAC #IsuDBKL #PolitikMalaysia #UMNOBatu #DAPPersekutuan

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2026 – Keputusan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang mengumumkan untuk bercuti daripada jawatannya disifatkan sebagai bukti kukuh bahawa parti berkenaan sedang mengalami pergolakan dalaman yang semakin meruncing.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Seri Gulam Muszaffar Gulam Mustakim mendakwa, desas-desus mengenai penderitaan dan ketiadaan Nurul Izzah dalam arus perdana politik yang didedahkannya sebelum ini kini terbukti sahih.

​Menurut beliau, langkah mengambil cuti tersebut dipercayai bagi menjaga “optik” parti serta mengelakkan rasa malu kepimpinan PKR, walaupun desakan asal adalah untuk melepaskan jawatan sepenuhnya.

​”Berita yang saya dengar dan dedahkan berulang kali berhubung ketiadaan Nurul Izzah di arus perdana politik terbukti benar. PKR ini sedang bergolak teruk dan berada pada tahap meruncing, sehinggakan tiga Ahli Parlimen PKR yang rapat dengan Rafizi Ramli turut disekat peruntukan. Unsur tikam menikam jelas sedang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

​Bagaimanapun, Gulam Muszaffar menarik perhatian bahawa di sebalik kemelut yang melanda parti itu, Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung PKR dan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilihat sebagai individu yang paling beruntung.

​Jelas beliau, walaupun Saifuddin tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), laluan kerjaya politik beliau terus melonjak tanpa perlu bersusah payah bertanding hebat seperti pemimpin lain.

​”Kalah bertanding di PRU15, dilantik Senator dan dapat jawatan Setiausaha Agung PKR. Lepas pemilihan PKR, dapat pula Setiausaha Agung PH, dan sekarang bila Nurul Izzah bercuti, beliau dapat memangku jawatan Timbalan Presiden. Rezeki tidak pernah salah alamat,” ujarnya.

​Mengulas lanjut, beliau menyifatkan situasi terkini dalam PKR ibarat “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran” di mana kedua-dua kem utama dalam parti tersebut kini berputih mata.

​Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Saifuddin dan berseloroh bahawa sekiranya berlaku sebarang perkara kepada Presiden PKR, Saifuddin adalah calon Perdana Menteri yang “paling tepat” dari kem parti itu.

#PolitikMalaysia #KemelutPKR #SaifuddinNasution #NurulIzzah #BeritaAAC

KUALA LUMPUR , 6 Ogos 2026 – “Saya bukan berasal daripada orang kaya, saya asal budak flat.”

​Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar yang berkongsi nostalgia serta kenangan lama ketika hadir menyempurnakan Program Edaran Pek Sajian Kasih di Pasar Malam Flat PKNS Jalan Kuching, di sini.

​Menurut beliau, lokasi berkenaan amat istimewa di hatinya kerana beliau merupakan anak jati kawasan berkenaan serta individu yang bertanggungjawab mengikhtiarkan pembukaan pasar malam tersebut sejak tahun 1995.

​”Hari ini rasa cukup istimewa kerana saya dibesarkan di Flat PKNS Jalan Kuching ini. Hampir 30 tahun lalu saya yang ikhtiarkan pasar malam di sini, malah dulu setiap minggu saya yang mengutip lesen perniagaan di sini.

​”Sebab itu hari ini saya turun bukan sahaja untuk beri bantuan, tetapi turut menyokong peniaga tempatan dengan membeli barangan mereka untuk diinfakkan semula kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita.

​Tambah Datuk Gulam, kepulangannya ke kawasan berkenaan turut mengimbau kembali hubungan eratnya bersama penduduk setempat yang kebanyakannya sudah dikenali sejak sekian lama.

​Mengulas mengenai program agihan tersebut, beliau memaklumkan program sumbangan ikhlas itu akan diteruskan di dua lagi lokasi esok, iaitu di Pekan Batu 5 serta Masjid / Surau Jumaat Darul Kifayah, Taman Koperasi Polis 1.

​Sementara itu, apabila diajukan soalan mengenai desas-desus atau pandangan ramai yang menganggap beliau sangat sesuai untuk dicalonkan sebagai Wakil Rakyat (YB) di kawasan Batu, Datuk Gulam menjawabnya secara ringkas dan rendah diri.

​”Jangan buat kerja Tuhan. Itu semua adalah ketentuan dan takdir daripada Allah SWT,” ujarnya secara berseloroh namun sarat mesej mendalam.

#BeritaAAC #GulamMuszaffar #UMNOBatu #FlatPKNSJalanKuching #PekSajianKasih

KUALA LUMPUR – Pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan UMNO digesa supaya tidak tersalah memilih calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, khususnya di kawasan Wilayah Persekutuan.

​Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Setiawangsa, Hussen Zulkarai menegaskan bahawa situasi politik PRU amat berbeza berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana jentera parti perlu berdikari di kawasan masing-masing.

​Menurut beliau, wujud segelintir ketua bahagian dan pemimpin yang disifatkan ‘tidur’ serta tiada jiwa kepimpinan, namun mula aktif ‘mengerumuni’ dan membodek pimpinan atasan apabila musim pemilihan dan pilihan raya semakin hampir.

​”Sekarang ini musim himpit-menghimpit, ‘jilat’ tangan bos. Ada ketua bahagian yang tak buat kerja dan tiada jiwa pemimpin, pasang ‘kaki’ untuk bawa nama mereka kononnya rajin bekerja. Ini semua penipuan,” katanya dalam satu sidang media.

​Hussen turut menyeru agar kepimpinan parti memilih calon berkaliber (talent) yang mempunyai rekod perkhidmatan terbukti, ketokohan, serta kemampuan untuk berinteraksi dengan penduduk tempatan, termasuk penghuni kondominium dan residensi moden yang kian meningkat di ibu kota.

​Mengulas lanjut, beliau memuji kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta pimpinan di Bahagian Batu yang disifatkan sentiasa turun padang dan komited menyelesaikan masalah rakyat secara terus tanpa bertangguh.

​Beliau menambah, tindakan menyuarakan isu ini secara terbuka dilakukan agar pimpinan atasan mendapat gambaran sebenar mengenai realiti di peringkat akar umbi demi memastikan kelangsungan dan kemenangan BN dalam PRU akan datang.

#BeritaAAC #UMNO #PolitikMalaysia #PRU #Setiawangsa