Reviews

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2026  – Di sebalik kesibukan ibu kota, terdapat sebuah warung kecil tepi jalan di Lorong 5 Titiwangsa yang menyimpan kisah penyatuan masyarakat berbilang bangsa melalui sekadar segelas minuman.

​Kedai Teh Halia Mr. Maniam, yang mula dibuka sejak tahun 1985, kini menjadi tumpuan warga kota dari segenap pelosok seperti Gombak, Cheras, Kepong, malah sejauh Karak, Pahang. Bersesuaian dengan usianya yang mencecah 41 tahun, keunikan teh halia yang dihasilkan secara tradisional menggunakan halia segar yang direbus terus di dalam periuk menjadi kegilaan ramai.

​Aktivis Sosial yang juga Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar menyifatkan kedai ini sebagai simbolik keharmonian tulen masyarakat Malaysia yang sukar dicari ganti.

​”Sini udara yang kita sedut tak kenal bangsa, agama, warna kulit. Begitu juga air yang kita minum. Kedai ni untuk semua masyarakat. Kita tengok sini ada orang Melayu, Cina, India… semua ada. Sekali kena, mahu lagi,” ujar beliau ketika ditemui media baru-baru ini.

​Pemiliknya, Mr. Maniam yang kini berusia 80 tahun, secara rendah diri menyatakan bahawa resipi kegemaran ramai itu bukanlah satu rahsia besar sebaliknya rezeki yang dikurniakan kepadanya.

​”Oh ini Tuhan kasi sama saya. Itu juga saya boleh cakap. Ini kira boleh cakap satu Malaysia, Muhibbah. Semua bangsa ada… Cina, Melayu, India, Benggali, Singh, semua ada,” kata Uncle Maniam yang mengakui kedainya menggunakan sehingga 10 kilogram halia sehari.

​Tinjauan media di lokasi mendapati para pelanggan setia sanggup menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk menikmati minuman ikonik ini.

​Seorang pelanggan dari Gombak, Mustafa Kamal, mendedahkan dia telah mengunjungi kedai tersebut selama lebih 15 tahun dan sanggup menghabiskan dua gelas setiap kali datang.

​”Tempat lain tak ada macam ni. Dekat Gombak tu tak ada… pakai botol bubuh dalam serbuk tu je. Sini saja yang fresh, dia rebus dalam periuk. Memang tak boleh lawan tempat lain,” katanya.

​Bagi Kak Liza dari Cheras pula, dia mengenali kedai ini sejak tahun 1996 melalui suaminya yang bekerja sebagai pemandu teksi. “Teh halia dia memang sedap sebab dia buat sendiri. Suasana pun santai, berbilang bangsa semua ada kat sini. Kami seronok,” kongsinya penuh ceria.

​Sentimen yang sama turut dikongsi oleh Ah Chai dari Kepong yang menyatakan dia tidak pernah terlepas untuk datang setiap petang, manakala Prakash dari Selayang menegaskan kualiti teh halia di sini jauh berbeza dengan kedai mamak biasa kerana keaslian bahan utamanya yang didaratkan terus dari Pahang. Lebih menarik, ada pelanggan dari Karak yang menjadikan kedai ini sebagai destinasi wajib singgah setiap kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.

​Selain teh halia, kedai berkonsepkan nostalgia era 80-an dan 90-an ini turut menghidangkan pelbagai jenis kuih-muih tradisional seperti pulut panggang, karipap, ketayap, cokodok, serta makanan ruji rakyat Malaysia seperti nasi lemak dan mi hoon.

​Bagi anda yang ingin merasai sendiri penangan teh halia ‘kow’ legendaris ini, kedai Uncle Maniam dibuka setiap hari di Lorong 5 Titiwangsa dan hanya ditutup pada sambutan Hari Raya Aidilfitri serta Deepavali.

#BeritaAAC #TehHaliaManiam #Titiwangsa #KedaiLegend

SEREMBAN – Hidangan nasi daun pisang sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia, namun mencari rasa yang benar-benar menepati selera tempatan dan menggamit memori keluarga bukanlah satu perkara yang mudah.

​Bagi Aktivis Sosial terkenal, Dato’ Dr Kalaivanar, pencarian sebuah premis makanan India yang membawakan cita rasa asli tradisi India-Malaysia akhirnya ditemui di Restoran Va Thamila, yang terletak di Jalan Lok, Rahang (berhadapan Dewi Bala), Seremban.

​Menurut Dr Kalaivanar yang juga merupakan wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, keunikan masakan di restoran ini terletak pada teknik penyediaan lauk-pauknya yang mengekalkan identiti masakan rumah tempatan, berbeza dengan lambakan kedai makan India yang menggajikan pekerja asing.

​”Masakan orang India yang dimasak di sini berbeza. Sayur dan ikannya direbus mengikut gaya ‘style’ Malaysia, bukan direbus hancur seperti kanji atau bubur seperti gaya masakan yang dibawa dari Tamil Nadu, India yang biasa kita lihat di Brickfields.

​”Bila saya makan sambal, kuah, dan ketam di sini, ia sungguh sedap sehingga melayangkan ingatan saya kepada kenangan lama bersama mendiang ibu saya. Ini betul-betul puji, bukan puji kosong,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di sekitar Seremban.

​Hidangan Untuk ‘Masyarakat Marhein’, Mesra Pelanggan Muslim

​Mengulas mengenai status hidangan tersebut untuk komuniti pelbagai kaum, Dr Kalaivanar menegaskan bahawa Restoran Va Thamila merupakan sebuah premis yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit dan agama.

​”Kedai ini dibuka untuk semua masyarakat marhein. Udara yang kita sedut pun tidak kenal bangsa dan agama, begitu juga kedai ini. Pagi-pagi lagi kita boleh lihat ramai pelanggan Melayu dan Cina datang makan tose dan chapati,” tambah beliau sambil memberi jaminan premis tersebut tidak menyajikan sebarang hidangan berasaskan khinzir.

​Sementara itu, pemilik Restoran Va Thamila, Charu Pannir, menjelaskan bahawa premis yang beroperasi seawal jam 7.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam itu sentiasa menitikberatkan sensitiviti pelanggan beragama Islam.

​Menjawab persoalan netizen mengenai status halal, Charu mengesahkan bahawa pihak restoran hanya menggunakan bahan-bahan mentah yang dijamin bersih dan halal.

​”Memang ‘safe’ (selamat) untuk orang Muslim makan di sini. Kami tidak memasak sebarang makanan bukan halal. Bekalan ayam kami pula dibeli dari pasar yang mempunyai sijil halal dan disembelih mengikut syariat. Kita sendiri periksa perkara itu.

​”Malah, barisan tukang masak kami adalah warga tempatan (Malaysia) dan sebahagiannya orang India yang memang tidak memakan makanan tidak halal. Jadi tiada isu cross-contamination (pencemaran silang) berlaku di dapur kami,” jelas Charu.

​Menu ‘Top’ Ikan Rebus Sambal Petai Jadi Buruan

​Restoran Va Thamila menyajikan pelbagai variasi makanan laut dan daging seperti kambing, ayam, udang, sotong, ketam, hinggalah kepada burung puyuh. Malah, pada setiap hari Sabtu dan Ahad, menu Nasi Biryani turut disediakan untuk para pengunjung.

​Apabila ditanya mengenai menu yang paling mendapat sambutan hangat, Charu mendedahkan menu istimewa mereka jarang ditemui di restoran daun pisang yang lain.

​”Lauk paling top dan menjadi kegemaran serta maklum balas terbaik daripada pelanggan kami ialah Ikan Rebus Sambal Petai. Selain itu, Ayam Cili Padi juga antara yang paling laju habis. Sesiapa yang merindui masakan India gaya ‘homemade’, bolehlah datang mencuba sendiri di sini,” katanya menutup bicara.

#VaThamilaSeremban #NasiDaunPisang #MakanSini #CitaRasaMalaysia #BeritaAAC