Day: August 12, 2026

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Madani didakwa sedang berdepan krisis kepimpinan serta pergolakan dalaman yang semakin meruncing susulan prestasi buruk dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

​Penganalisis politik, Dr. Azam Rauzan berkata, keputusan DAP untuk mengadakan konvensyen parti bagi menentukan kedudukan mereka dalam Kerajaan Madani dijangka bakal memberi kejutan sekiranya parti itu benar-benar memilih untuk keluar.

​”Saya menasihatkan kepada perwakilan DAP, keluar sahaja dari kerajaan. Jangan asyik berbohong dan mengancam untuk keluar atau bersara tetapi akhirnya tiada tindakan. Lama-kelamaan rakyat dan pengundi tidak lagi percaya kepada DAP,” katanya dalam sesi ‘Sembang Kopi’.

​Beliau meramalkan DAP berkemungkinan melepaskan jawatan dalam kerajaan bagi memberikan isyarat kepada pengundi kaum Cina bahawa mereka tidak lagi mahu terbeban dengan liabiliti kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

​Mengulas mengenai senario politik PKR, Dr. Azam turut mempersoalkan dinamik dalaman parti itu selepas tindakan bekas Timbalan Presiden, Rafizi Ramli mendirikan pimpinan baharu serta keputusan Nurul Izzah Anwar yang ingin bercuti.

​”PKR seolah-olah hilang arah tanpa Rafizi. Tindakan mengenepikan Rafizi sebelum ini adalah kesilapan paling besar dalam kerjaya PKR dan PMX. Hubungan serta persefahaman antara Rafizi, Nurul Izzah dan Khairy Jamaluddin (KJ) sebenarnya rapat, dan perletakan jawatan atau keputusan bercuti ini memberi isyarat jelas ada perkara yang tidak kena di dalam parti,” ujarnya.

​Dalam pada itu, beliau menyeru agar kerjasama dan perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) terus diperkukuhkan bagi menghadapi siri Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang seperti di Melaka, Perak, dan Pahang.

​Beliau menambah, gabungan politik yang kukuh di kawasan Selatan dan Utara bakal menjadi kunci utama untuk merampas kembali pentadbiran Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

#PolitikMalaysia #KerajaanMadani #DAPKeluarKerajaan #PKRGoyang #PRU16

KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2026 – Syarikat Tujuan Khas (SPV) Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) disifatkan gagal menjalankan fungsinya sebagai penyelamat Tabung Haji (TH), sebaliknya didakwa merosakkan ekosistem perniagaan dan pelaburan institusi kewangan Islam berkenaan.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Mustafa menyuarakan keprihatinan berkenaan susulan perbahasan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH di Parlimen semalam, yang menyaksikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim persoal ke mana hilangnya RM9 bilion selepas proses penstrukturan TH dijalankan pada 2018.

​Menurut beliau, penstrukturan yang dibuat di bawah pentadbiran bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi penubuhan UJSB kononnya bertujuan menyelamatkan TH menerusi suntikan modal dan pengeluaran sukuk.

​Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa TH hanya menerima RM500 juta tunai dalam proses imbalan penstrukturan berkenaan sehingga ke hari ini.

​”UJSB sepatutnya membayar balik semua pinjaman sukuk, namun pendedahan di Parlimen menunjukkan kerajaan tidak menjawab persoalan ke mana hilangnya RM9 bilion yang sepatutnya diterima oleh TH.

​”Isu defisit RM4.1 bilion sebelum ini hanyalah perbezaan antara nilai aset dan liabiliti berasaskan kaedah perakaunan Nilai Realisasi Aset (RAV), bukannya kerugian sebenar. Namun tindakan penstrukturan itu bertukar menjadi punca kerugian teruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

​Menyentuh mengenai prosiding RCI TH, Gulam Muszaffar mendesak agar kerajaan bertindak secara lock, stock and barrel dan tidak menyembunyikan kelemahan sendiri. Beliau turut menyokong syor agar tempoh siasatan RCI TH dilanjutkan sehingga 2025 bagi mendedahkan dalang sebenar di sebalik kerugian berkenaan demi ketelusan kepada rakyat dan pendeposit.

#BeritaAAC #RCITabungHaji #ManaRM9Bilion #TabungHaji #IsuParlimen

PUTRAJAYA — Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar mengadakan demonstrasi aman serta penyerahan memorandum di hadapan pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hari ini.

​Himpunan Aman Kembalikan D.A.K tersebut bertujuan menuntut tindakan tegas serta penjelasan daripada pihak kerajaan berhubung nasib tiga ekor gajah—Dara, Amoy, dan Kelat—yang dihantar ke sebuah zoo di Jepun sejak Mac lalu.

​Aktivis Sosial merangkap wakil sekretariat, Dato’ Dr. Kalaivanar, menegaskan bahawa pihak kerajaan dan menteri berkaitan perlu memandang serius luahan rakyat serta laporan pakar mengenai kebajikan haiwan berkenaan yang didakwa berada dalam keadaan tertekan dan tidak sesuai dengan habitat asalnya.

​”Kami datang secara aman untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri KPKT, Nga Kor Ming. Kita berikan tempoh tujuh hari kepada pihak kementerian untuk membuat kenyataan media atau penjelasan rasmi berhubung isu ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

​Memorandum berkenaan telah diterima oleh Pengarah Bahagian Pembangunan JKT, Tuan Mas, yang hadir mewakili pihak kementerian.

​Sementara itu, perancak isu kebajikan haiwan, Puan Izwana, mempersoalkan janji serta komitmen pihak berkaitan seperti Kementerian Sumber Asli dan NRECC yang sebelum ini berjanji akan mempertimbangkan semula penghantaran gajah sekiranya berlaku pengabaian.

​”Laporan pakar gajah seperti Dr. William telah diserahkan, namun tiada sebarang tindakan diambil. Enrichment yang didakwa dibuat juga tidak menggambarkan piawaian habitat semula jadi yang sebenar,” jelas beliau.

​Turut hadir memberi sokongan ialah pelukis hidupan liar, Christine, yang membawa tiga potret gajah berkenaan bagi menyuarakan kebimbangan terhadap risiko masalah psikologi (zoochosis) dan penurunan kognitif haiwan tersebut jika terus dikurung dalam persekitaran ekstrem semasa musim sejuk.

​Kumpulan aktivis berkenaan menegaskan mereka tidak akan berhenti mendesak dan mengadakan pergerakan aman sehingga ketiga-tiga gajah tersebut dibawa pulang ke tanah air.

#KembalikanDAK #SelamatkanGajahKita #KPKT #BeritaAAC #KeadilanUntukHaiwan