Day: August 14, 2026

KUALA LUMPUR — Barisan Nasional (BN) digesa untuk terus bertegas mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya di Melaka dan tidak tunduk kepada tuntutan agihan kerusi yang disifatkan tidak munasabah oleh pihak lawan mahupun rakan kerjasama.

​Tokoh pemerhati politik, Dr. Azam Rauzan menegaskan, kejayaan BN mendominasi 21 daripada 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu adalah hasil kerja keras jentera serta kepimpinan bahagian, justeru tiada sebab untuk BN ‘bermurah hati’ melepaskan kerusi berkenaan.

​”Di Melaka, kita ada 21 kerusi daripada 28. Tiba-tiba ada pihak nak minta banyak pula, nak 15 hingga 20 kerusi. Kalau 21 kerusi itu kita yang menang dan nak pertahankan, apa jadah nak bagi orang? Kita ada ketua bahagian, ada wakil yang buat kerja di bawah,” katanya dalam sesi temubual Sembang Kopi.

​Mengulas mengenai dinamika politik semasa dan kemungkinan bertanding secara solo atau bekerjasama, beliau menyatakan BN perlu berpijak pada realiti kekuatan di setiap negeri, sebagaimana dominasi parti itu di Johor dan toleransi yang telah ditunjukkan di Negeri Sembilan.

​Menyentuh mengenai cabaran di negeri-negeri SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis), beliau mencabar pihak lawan sekiranya berhasrat untuk bertanding secara solo di kubu mereka.

​”Kalau rasa di Terengganu awak menang semua, ambillah semua, tak mengapa. Kita lawanlah semua, ini proses demokrasi. Biarlah orang Melayu buat keputusan,” ujarnya lagi.

​Dalam masa yang sama, Dr. Azam turut mengingatkan semua pihak agar menjaga tatatertib dan kenyataan politik, selain tidak bersikap sombong atau ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ apabila memerlukan kerjasama.

​Tegas beliau, fokus utama ketika ini adalah menumbangkan Pakatan Harapan (PH) dan menyerahkan mandat rundingan muktamad kepada pucuk pimpinan tertinggi.

#BeritaAAC #PolitikMelaka #BarisanNasional #SembangKopiAAC #PRNMelaka