Month: July 2026

​JERAM PADANG — Calon Nombor 4 DUN Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abd Kadir, tampil menyatakan tekadnya untuk menyelesaikan tiga isu utama yang masih tergendala di kawasan berkenaan sekiranya terus diberi mandat oleh rakyat.

​Bercakap dalam satu temubual khas bersama Berita AAC, beliau mengariskan tiga keutamaan utama yang menjadi keutamaan beliau bagi penggal baharu ini:

​Pembinaan Stadium Mini: Menyediakan kemudahan sukan dan riadah yang lebih baik untuk komuniti setempat, khususnya golongan muda di Jeram Padang.

​Pencahayaan Lampu Jalan: Menyiapkan projek pemasangan lampu jalan dari Simpang IOI Bahau hingga ke Rompin demi keselamatan pengguna jalan raya.

​Jalan Alternatif Kampung Orang Asli Pancur: Menyelesaikan projek jalan alternatif yang telah lama diusahakan agar dapat disiapkan dalam tempoh masa tersingkat.

​”Sekiranya saya diberi peluang lagi sekali oleh rakyat di Jeram Padang menjadi wakil rakyat di sini, insya-Allah ada tiga perkara yang perlu saya tekankan yang masih lagi tergendala… Itu tekad saya kali ini,” ujar beliau.

​Dalam pada itu, Dato’ Mohd Zaidy turut membuat rayuan terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat dan pengundi DUN Jeram Padang untuk pulang ke kampung dan menjalankan tanggungjawab mengundi pada 1 Ogos 2026. Beliau menyeru pengundi agar memberi sokongan penuh kepada calon nombor 4 mewakili Gelombang Biru Negeri Sembilan.

#BeritaAAC #DUNJeramPadang #PRNNS #DatoZaidyAbdKadir #SuaraRakyatJeramPadang

​SHAH ALAM– Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr. Armand Azha Abu Hanifah menegaskan bahawa sebarang keputusan untuk menggugurkan jawatan Menteri atau Timbalan Menteri adalah di bawah bidang kuasa penuh Perdana Menteri.

​Menurut beliau, isu berkaitan rombakan atau penggalangan jawatan dalam Kabinet merupakan budi bicara serta kuasa mutlak yang dimiliki oleh Perdana Menteri semata-mata, dan bukannya keputusan parti seperti UMNO atau Barisan Nasional (BN).

​”Bagi saya, lantikan (atau pengguguran) Menteri dan Timbalan Menteri itu adalah bidang kuasa Perdana Menteri. Kalau Perdana Menteri merasakan ada Menteri atau Timbalan Menteri yang perlu digugurkan jawatan, itu atas budi bicara dan kuasa YAB Perdana Menteri,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika mengulas desas-desus berkenaan desakan mahupun khabar angin pengguguran beberapa jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

​Tambah Armand lagi, sebarang langkah pengguguran atau perombakan jawatan perlulah dihormati sebagai hak Perdana Menteri dalam memastikan pentadbiran negara berjalan dengan berkesan.

​”Ia bukan kuasa kepada Menteri, Timbalan Menteri, mahupun keputusan daripada pihak UMNO dan Barisan Nasional,” tegas beliau.

#BeritaAAC #ArmandAzha #RombakanKabinet #UMNO #PolitikMalaysia

​SHAH ALAM , 19 Julai 2026 – Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan dijangka bakal memperlihatkan momentum politik yang berbeza berbanding pilihan raya terdahulu, hasil sokongan positif yang ditunjukkan oleh rakyat tempatan terhadap Barisan Nasional (BN).

​Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, kehadiran dan respons orang ramai sejak beberapa hari lalu memberikan isyarat jelas bahawa ‘eksperimen politik’ di negeri berkenaan akan menjadi titik permulaan kepada satu gerakan politik yang signifikan.

​”Jika kita lihat perkembangan mutakhir ini, Negeri Sembilan menunjukkan satu pendekatan yang cukup positif dengan kehadiran rakyat yang memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional.

​”Saya yakin PRN di Negeri Sembilan ini akan membawa momentum berbeza kerana ‘eksperimen’ antara dua parti politik Melayu-Islam terbesar akan menggambarkan satu gerakan yang berlainan,” katanya ketika ditemui media.

​Mengulas lanjut, Armand turut memetik kenyataan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengenai istilah ‘kepejalan dan keanjalan politik’ yang dijangka bermula dari Negeri Sembilan.

​Apabila ditanya sama ada gelombang serta strategi yang sama bakal dibawa ke negeri lain seperti Selangor atau Melaka, beliau menegaskan keutamaan buat masa ini adalah melepasi cabaran di Negeri Sembilan terlebih dahulu.

​”Pertama sekali, kita ‘don’t jump ship’ dahulu. Kita selesaikan Pilihan Raya Negeri Sembilan ini terlebih dahulu.

​”Setelah mendapat mandat dan keputusan daripada rakyat Negeri Sembilan, barulah kita akan lihat apakah strategi seterusnya untuk negeri-negeri lain,” pangkas beliau.

#PRNNegeriSembilan #PolitikMalaysia #BarisanNasional #ArmandAzha #BeritaAAC

JERAM PADANG , 20 Julai 2026 – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini disifatkan sebagai satu kesefahaman politik demi memastikan kestabilan dan kemakmuran rakyat, bukannya sekadar gabungan formal semata-mata.

​Menurut Calon BN bagi DUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abd Kadir, pendekatan yang diambil membolehkan parti-parti politik utama bertanding dalam suasana yang lebih harmoni tanpa pertembungan yang memecahbelahkan pengundi.

​”Pegangan saya, kerjasama ini adalah atas dasar persefahaman atau understanding antara parti. Kali ini kita menempuh pilihan raya dalam suasana yang harmoni di mana tiada pertembungan yang tidak diperlukan,” katanya ketika ditemui portal Berita AAC.

​Beliau menambah, langkah tersebut memberi manfaat besar kepada penyatuan pengundi, di samping memperkukuh tekad untuk memastikan pentadbiran Negeri Sembilan terus stabil.

​Mengulas mengenai peluang kemenangan pada PRN ini, Mohd Zaidy menzahirkan keyakinan bahawa jentera parti yang bekerja keras akan membuahkan hasil positif menjelang hari penentuan kelak.

​”Saya yakin jika kita bekerja keras dalam tempoh kempen ini, insya-Allah kita akan mengecapi kemenangan. Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengundi Melayu, malah merangkumi seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum—sama ada Cina, India mahupun Siam,” jelas beliau lagi.

#BeritaAAC #PRNNegeriSembilan #DUNJeramPadang #MohdZaidyAbdKadir #BarisanNasional

BAHAU: Barisan Nasional (BN) merangka strategi tuntas bagi merampas semula Dewan Undangan Negeri (DUN) N08 Bahau yang telah dikuasai pembangkang sejak sekian lama.

​Calon No. 2 BN bagi DUN Bahau, Chong Hui Ming, menegaskan kekalahan sejak tahun 2004 tidak mematahkan semangat BN, sebaliknya mematangkan strategi parti untuk menambat hati lebih 25,000 pengundi di kawasan berkenaan.

​Mengulas mengenai demografi pengundi yang didominasi oleh komuniti Cina (sekitar 58 peratus), Hui Ming meletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuk meraih sekurang-kurangnya 30 peratus sokongan pengundi Cina.

“Jika kita capai 30 peratus undi Cina, ditambah pula sekurang-kurangnya 50 peratus undi India dan 70 peratus ke atas undi Melayu, kita mampu merampas dan menawan semula Bahau,” ujar beliau.

​Tambah beliau, BN turut memanipulasi ‘semangat dan taktikal dari Johor’ melalui bantuan jentera parti dari kawasan seperti Pagoh dan Tangkak untuk menawan kawasan majoriti Cina.

​Fokus ‘Agrotech’ Bagi Halang Penghijrahan Anak Muda

​Berbekalkan latar belakang sebagai seorang akuntan, Hui Ming melihat pembangunan di Bahau sepanjang dua dekad lalu agak lembap dan hanya tertumpu kepada sektor perumahan tanpa pertumbuhan industri yang kukuh.

​Keadaan ini memaksa golongan muda berhijrah keluar dan meninggalkan Bahau yang kini didominasi oleh warga emas.

​Sebagai jalan penyelesaian, beliau berhasrat mewujudkan industri berasaskan teknologi pertanian (Agrotech) yang memanipulasi kekuatan tempatan seperti kelapa sawit, getah, serta tanaman buah-buahan seperti durian dan nenas.

“Kita perlu bawa industri berasaskan pertanian ini ke Bahau untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Ini membolehkan anak muda kekal dan membangunkan ekonomi tempatan,” katanya.

​Sektor Kesihatan Perlu Ditingkatkan Segera

​Selain ekonomi, mantan Ahli Majlis itu turut menyuarakan keprihatinan terhadap kemudahan kesihatan awam di Bahau yang disifatkannya masih lemah.

​Beliau kerap menerima aduan penduduk tempatan mengenai masalah kekurangan doktor, jururawat, dan tempoh menunggu yang terlalu lama di klinik kesihatan, selain isu kelewatan perkhidmatan ambulans yang memakan masa sehingga setengah jam dalam kes kecemasan.

​Menurutnya, penambahbaikan infrastruktat asas seperti turapan jalan dan perparitan adalah tugas rutin, namun tumpuannya kini adalah membawa impak ekonomi yang besar serta memperkasakan mutu kesihatan penduduk Bahau secara keseluruhan.

​Hui Ming mengakhiri temubual dengan menyeru pengundi DUN N08 Bahau untuk memberi sokongan padu dan memilih calon No. 2, Barisan Nasional pada pilihan raya kali ini.

#DUNBahau #PRNNS #ChongHuiMing #BarisanNasional #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Kejayaan besar Barisan Nasional (BN) yang memenangi 48 daripada 56 kursi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijadikan sebagai tonik dan pemangkin semangat untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan.

​Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar mengingatkan para jaminan dan ahli parti agar tidak sesekali alpa atau mendabik dada dengan kemenangan tersebut, memandangkan landskap politik dan demografi di Negeri Sembilan adalah jauh berbeza.

​”Kita hanya memenangi satu pertempuran, tetapi kita belum memenangi peperangan secara keseluruhan. Oleh itu, kita perlu mengambil pendekatan yang lebih pragmatik,” jelas beliau dalam satu temubual eksklusif Sembang Kopi.

​Menurut Datuk Gulam, gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) perlu melaksanakan gerak kerja yang berani dengan mengaplikasikan konsep ‘think outside the box’ serta ‘Blue Ocean Strategy’. Strategi ini penting bagi memaksimumkan keupayaan sedia ada demi menjamin kemenangan yang selesa. Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa strategi radikal ini mampu membawa kepada pembentukan kerajaan dengan majoriti dua pertiga pada PRN yang bakal berlangsung Ogos ini.

​Apabila ditanya mengenai calon poster boy atau bakal Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan sekiranya mandat diberikan, Datuk Gulam menegaskan bahawa fokus utama parti ketika ini adalah untuk memenangi pertempuran pilihan raya terlebih dahulu. Sebagai status underdog, sebarang perbincangan awal mengenai jawatan tersebut dikhuatiri boleh mengeruhkan keadaan.

​Berbeza dengan situasi di Johor di mana BN bergerak secara solo, situasi di Negeri Sembilan memerlukan semangat musyawarah dan rasa hormat terhadap pendirian rakan-rakan koalisi dalam PN. Sebarang keputusan rasmi mengenai calon MB hanya akan diputuskan secara muafakat (konsep win-win) selepas jumlah kemenangan kerusi rasmi diperoleh.

#PRNNegeriSembilan #PolitikMalaysia #SembangKopiAAC #BarisanNasional #DatukGulamMuszaffar

​SHAH ALAM – Bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Saudara Khairy Jamaluddin menyifatkan formula penyatuan undi Melayu yang bakal diuji di Negeri Sembilan sebagai satu eksperimen politik yang baik dan tidak menolak kemungkinan ia boleh dibawa ke Selangor.

​Menurut beliau, politik hari ini menuntut keanjalan dan fleksibiliti dalam merangka strategi, terutamanya bagi memastikan undi kaum Melayu tidak berpecah.

​”Saya rasa ini satu eksperimen yang baik. Macam yang saya sebutkan tadi, dalam politik ini ada benda yang anjal, ada benda yang pejal. Jadi ini (soal) keanjalan.

​”Kita nak bertanding macam mana strategi, itu bukan soal perjuangan. Jadi kita boleh fleksibel dalam hal ini,” katanya.

​Beliau berkata demikian kepada pengamal media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Subang, baru-baru ini.

​Mengulas lanjut mengenai potensi formula berkenaan, Khairy menjelaskan bahawa keikhlasan dan kesungguhan daripada kedua-dua belah pihak amat diperlukan bagi melihat sejauh mana keberkesanan pertukaran sokongan undi antara parti terbabit.

​”Kita nak tengoklah sama ada kita boleh bagi undi kita kepada calon PAS dan wawasan, and vice versa. Pengundi dia kena sokong kita juga.

​”Dan kalau kita tengok undi Melayu itu tidak pecah sangat, dan formula ini untuk menyatukan pengundi Melayu itu ‘jadi’ di Negeri Sembilan, maybe kita boleh pertimbangkan formula ini untuk Selangor juga,” tambah beliau yang melihat demografi serta profil Selangor mempunyai persamaan dengan Negeri Sembilan.

​Apabila ditanya mengenai jangkaan jumlah kerusi yang mampu dirampas di Selangor melalui formula ini, Khairy menegaskan adalah terlalu awal untuk membuat ramalan terperinci sebelum melihat impak formula tersebut di Negeri Sembilan terlebih dahulu.

​Bagaimanapun, beliau optimis kemenangan di Selangor mampu dicapai sekiranya formula tersebut berjaya menghalang perpecahan undi Melayu seperti yang pernah berlaku dalam kes di Sungai Buloh.

​Sementara itu, ditanya mengenai sama ada terdapat keperluan untuk menampilkan ‘Poster Boy’ bagi negeri Selangor, beliau secara ringkas menyatakan perkara tersebut boleh dibincangkan kemudian.

#KhairyJamaluddin #PolitikSelangor #UndiMelayu #BeritaAAC #PRN2026

​KUALA LUMPUR , 19 Julai 2026 – Perdana Menteri mempunyai hak mutlak untuk memecat mana-mana menteri atau timbalan menteri yang dilihat sengaja melampaui batas atau tidak lagi menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada.

​Bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Saudara Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa pelantikan mana-mana individu di dalam Jemaah Menteri adalah atas ihsan dan budi bicara Perdana Menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

​Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kedudukan menteri dan timbalan menteri daripada UMNO atau Barisan Nasional (BN) sekiranya wujud ketidakpuasan hati atau tindakan menyerang kepimpinan Perdana Menteri.

​”Itu keputusan Perdana Menteri. Sebab semua menteri ataupun ahli-ahli Jemaah Menteri berada di dalam Jemaah Menteri atas lantikan daripada Perdana Menteri. Jadi kalau dia rasa ada menteri yang dah melampaui batas, dia (Perdana Menteri) kena keluarkan daripada Jemaah Menteri.

​”Biasanya, ministers they serve at the pleasure of the Prime Minister atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Jadi kalau Perdana Menteri dah rasa menteri itu dah tak sokong dia dan tak sokong kerajaan dia, the Prime Minister’s right is to sack the ministers,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Subang.

​Ditanya mengenai kesediaan dan komitmen semasa menteri serta timbalan menteri daripada BN ketika ini, Khairy secara berseloroh enggan mengulas lanjut memandangkan beliau tidak berada di dalam kabinet.

​”Mengenai perkara itu, saya tak tahu, saya bukan menteri. Kena tanya dialah (menteri berkenaan),” katanya ringkas.

#BeritaAAC #KhairyJamaluddin #PolitikMalaysia #KabinetMalaysia #UMNOBN

KUALA LUMPUR, 19 Julai 2026 – Hubungan dalam Kerajaan Persekutuan kini dilihat berada dalam keadaan yang agak membimbangkan ekoran wujudnya keresahan yang mendalam di kalangan pimpinan, ahli UMNO, serta masyarakat Melayu di peringkat akar umbi.

​Bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Saudara Khairy Jamaluddin mendedahkan bahawa wujud sentimen kuat yang merasakan seolah-olah kerajaan hari ini tidak cukup menghormati dan memberi perhatian sewajarnya terhadap sensitiviti orang Melayu.

​Menurut beliau, isu ini bukan sekadar pandangan peribadi, sebaliknya adalah luahan yang jelas kedengaran daripada suara akar umbi. Selain soal sensitiviti, kegagalan menunaikan pelbagai janji pilihan raya dan reformasi turut menjadi punca ketidakselesaan yang mendalam di peringkat dalaman parti.

​”Kita melihat banyak janji yang tidak dapat ditunaikan. Malah, pelbagai usaha dibuat untuk menyalahkan UMNO apabila reformasi atau janji tersebut gagal dilaksanakan. Alasan yang diberikan adalah kerana UMNO berada dalam kerajaan,” ujar beliau.

​Mengulas mengenai senario politik semasa, Khairy menjelaskan bahawa keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding solo di Johor sebelum ini—dan keputusan terbaharu untuk menjalinkan persefahaman strategik bersama PAS dan Wawasan di Negeri Sembilan—merupakan satu isyarat jelas kepada Pakatan Harapan (PH).

​Isyarat tersebut menegaskan bahawa kedudukan UMNO dan BN tidak boleh diambil mudah (taken for granted). Langkah keanjalan strategik ini membuktikan ada sesuatu yang ‘tidak kena’ dalam dinamika Kerajaan Perpaduan ketika ini.

​Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tiada keperluan mendesak untuk menuntut keluar daripada kerajaan mahupun mendesak agar pilihan raya diadakan segera demi menjaga kestabilan negara. Bagi Khairy, ruang yang ada sekarang harus digunakan sepenuhnya untuk menghantar mesej tegas kepada PH agar berhenti menjadikan BN sebagai kambing hitam atas kegagalan mereka sendiri.

#PolitikMalaysia #KhairyJamaluddin #KerajaanPerpaduan #UMNO #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO) mendedahkan taktik licik sindiket penipuan antarabangsa yang kini menjadikan Taiwan sebagai destinasi baharu untuk mengeksploitasi rakyat Malaysia menerusi tawaran kerja sambilan jangka pendek.

​Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa pada awalnya ditawarkan pekerjaan kononnya sebagai pengawal peribadi (bodyguard) dengan bayaran lumayan. Walau bagaimanapun, sebaik tiba di sana, mereka dipaksa melakukan aktiviti jenayah termasuk menjadi keldai wang dengan mengeluarkan wang dari mesin ATM menggunakan pelbagai kad bank.

​MHO turut melahirkan kebimbangan yang amat sangat setelah menerima maklumat bahawa terdapat kira-kira 700 kes seumpama itu yang melibatkan rakyat Malaysia di Taiwan. Pihaknya kini dalam proses mengumpul maklumat keluarga mangsa untuk dibawa ke Kedutaan Taiwan bagi mencari jalan penyelesaian dan khidmat bantuan.

​”Ingat Nak Cari Duit Bayar PTPTN dan Beli Rumah, Akhirnya Ditahan di Airport Taiwan”

​Dalam satu sidang media yang sama, abang kepada salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Iskandar, meluahkan rasa terkilan selepas adiknya ditahan pihak berkuasa Taiwan pada 5 Jun 2026. Menurutnya, adiknya sebelum ini telah mengikuti kursus pengawal peribadi di Indonesia dan diberikan lesen oleh majikannya sebelum dihantar ke Taiwan. Malangnya, dalam tempoh dua hari sahaja berada di sana, adiknya telah ditahan di sebuah ATM kerana diarahkan oleh bosnya untuk mengeluarkan wang menggunakan kad yang diberikan.

​Sementara itu, seorang ibu, Puan Maimunah Ahmad turut meratapi nasib malang yang menimpa anak lelakinya, Ahmad Ifat, 31, dan menantunya yang kini ditahan di penjara berasingan di Taiwan.

​”Anak saya beritahu dia ke sana atas urusan kerja. Bosnya suruh keluarkan duit menggunakan enam kad bank di tempat yang berlainan sebelum dia ditahan di lapangan terbang di Taiwan. Isterinya yang membawa satu kad turut ditahan selepas mengeluarkan wang sebanyak 20,000.”

​Puan Maimunah menambah, anaknya sebelum ini pernah melakukan tugasan membawa keluar wang di beberapa buah negara seperti Singapura, Korea Selatan, Thailand, dan Jepun. Mangsa sanggup membawa isteri dan dua anaknya ke Taiwan demi mengumpul dana dengan cepat untuk melunaskan tunggakan PTPTN serta membeli rumah di Johor, namun segalanya berakhir dengan tragedi. Dua anak mangsa bagaimanapun telah berjaya dibawa pulang ke Malaysia oleh ahli keluarga dua minggu lalu.

​MHO menegaskan bahawa walaupun kedaulatan undang-undang Taiwan perlu dihormati, status mangsa sebagai mangsa eksploitasi dan pemerdagangan manusia (human trafficking) harus dilihat secara adil kerana mereka terpedaya serta dipaksa oleh pihak sindiket yang sehingga kini masih bebas.

#KeldaiWang #SindiketPekerjaan #ScamSambilan #MHO #BeritaAAC