
SEREMBAN, 30 Julai 2026 – Wanita Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan hari ini melancarkan Ikrar Wanita Negeri Sembilan, satu komitmen bertulis yang mengandungi tujuh janji khusus bagi memperkukuh aspek keselamatan, kesejahteraan, ekonomi dan penglibatan wanita dalam pentadbiran negeri.
Ketua Wanita BN Negeri Sembilan, Dato’ Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, ikrar tersebut dibangunkan berdasarkan Manifesto Barisan Nasional Negeri Sembilan dengan menghimpunkan pelbagai komitmen berkaitan wanita, keluarga, kebajikan, kesihatan, pekerjaan dan keusahawanan.
Menurut beliau, tujuh janji berkenaan disusun berdasarkan tiga matlamat utama iaitu Wanita Selamat, Wanita Sejahtera dan Wanita Berdaya.
Di bawah teras Wanita Selamat, BN berjanji untuk melaksanakan Audit Keselamatan Wanita dalam tempoh 100 hari di kesemua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Audit tersebut akan meliputi aspek pencahayaan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), keselamatan hentian bas, laluan awam serta kawasan yang dikenal pasti berisiko kepada wanita.
BN turut berikrar menyediakan talian bantuan dan pusat sokongan wanita yang beroperasi 24 jam di setiap daerah bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga, gangguan, buli serta krisis sosial.
Bagi teras Wanita Sejahtera, akses kepada pusat penjagaan kanak-kanak yang selamat, berkualiti dan mampu milik akan diperluas, khususnya di pusat pentadbiran daerah serta kawasan perindustrian utama.
Subsidi taska turut dicadangkan untuk keluarga daripada golongan B40 dan M40 bagi mengurangkan beban ibu bapa, terutama wanita yang bekerja.
Selain itu, BN merancang untuk menubuhkan Dana Ibu Tunggal Negeri Sembilan yang merangkumi geran permulaan perniagaan, latihan kemahiran dan sokongan perumahan.
Golongan wanita juga bakal menerima bantuan pada setiap peringkat kehidupan melalui Skim Salam Sejahtera.
Dalam aspek kesihatan, perkhidmatan saringan kesihatan wanita secara percuma termasuk mammogram dan saringan kanser serviks akan dibawa ke setiap daerah melalui perkhidmatan klinik bergerak.
Bagi memperkasa ekonomi wanita, BN menyasarkan sekurang-kurangnya 20,000 daripada keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan baharu yang dirancang di Negeri Sembilan diberikan kepada golongan wanita.
Pada masa sama, peluang pekerjaan berhampiran kediaman, kemudahan kerja fleksibel, lesen penjaja percuma serta akses pembiayaan kepada usahawan wanita akan diperluas.
Dato’ Bibi Sharliza berkata, suara wanita juga mesti diberikan tempat dalam proses membuat keputusan kerajaan negeri dan tidak hanya dianggap sebagai penerima dasar.
Sehubungan itu, BN mencadangkan pewujudan portfolio penuh EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam lantikan kerajaan negeri.
“Wanita membentuk lebih separuh daripada keseluruhan pengundi di Negeri Sembilan. Mereka bukan sekadar kumpulan pengundi terbesar, tetapi merupakan tunjang keluarga, penggerak ekonomi isi rumah dan kekuatan utama masyarakat.
“Justeru, agenda wanita tidak boleh dianggap sebagai agenda sampingan. Ia mesti menjadi keutamaan kerajaan negeri dan diterjemahkan melalui dasar, peruntukan, pelaksanaan serta pemantauan yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setiap janji yang terkandung dalam ikrar tersebut akan dipantau melalui Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto bagi membolehkan rakyat menilai kemajuan pelaksanaannya secara telus dan berterusan.
“Bagi saya, isu wanita ialah isu seluruh keluarga. Apabila seorang wanita selamat, keluarganya turut terlindung. Apabila seorang wanita sejahtera, keluarganya menjadi lebih kukuh.
“Apabila seorang wanita berdaya, ekonomi keluarga dan negeri juga akan berkembang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa wanita Negeri Sembilan tidak seharusnya hanya menjadi penerima dasar, sebaliknya perlu terlibat dalam proses merangka, menentukan dan memantau pelaksanaan dasar kerajaan.
“Suara wanita mesti berada di meja tempat keputusan dibuat,” tegasnya.
Pelancaran ikrar tersebut dilihat sebagai usaha BN untuk menawarkan agenda wanita yang lebih khusus dan mudah difahami, menjelang pemilihan kerajaan negeri yang bakal menentukan hala tuju pentadbiran Negeri Sembilan.
#IkrarWanitaNegeriSembilan #WanitaSelamatSejahteraBerdaya #PRNNegeriSembilan #WanitaBN #BeritaAAC
