Day: August 6, 2026

KUALA LUMPUR – Pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan UMNO digesa supaya tidak tersalah memilih calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, khususnya di kawasan Wilayah Persekutuan.

​Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Setiawangsa, Hussen Zulkarai menegaskan bahawa situasi politik PRU amat berbeza berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana jentera parti perlu berdikari di kawasan masing-masing.

​Menurut beliau, wujud segelintir ketua bahagian dan pemimpin yang disifatkan ‘tidur’ serta tiada jiwa kepimpinan, namun mula aktif ‘mengerumuni’ dan membodek pimpinan atasan apabila musim pemilihan dan pilihan raya semakin hampir.

​”Sekarang ini musim himpit-menghimpit, ‘jilat’ tangan bos. Ada ketua bahagian yang tak buat kerja dan tiada jiwa pemimpin, pasang ‘kaki’ untuk bawa nama mereka kononnya rajin bekerja. Ini semua penipuan,” katanya dalam satu sidang media.

​Hussen turut menyeru agar kepimpinan parti memilih calon berkaliber (talent) yang mempunyai rekod perkhidmatan terbukti, ketokohan, serta kemampuan untuk berinteraksi dengan penduduk tempatan, termasuk penghuni kondominium dan residensi moden yang kian meningkat di ibu kota.

​Mengulas lanjut, beliau memuji kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta pimpinan di Bahagian Batu yang disifatkan sentiasa turun padang dan komited menyelesaikan masalah rakyat secara terus tanpa bertangguh.

​Beliau menambah, tindakan menyuarakan isu ini secara terbuka dilakukan agar pimpinan atasan mendapat gambaran sebenar mengenai realiti di peringkat akar umbi demi memastikan kelangsungan dan kemenangan BN dalam PRU akan datang.

#BeritaAAC #UMNO #PolitikMalaysia #PRU #Setiawangsa

KUALA LUMPUR, 5 Ogos 2026 – Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar tampil membuat rayuan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia bagi mengumpul dana rawatan perubatan untuk penyanyi veteran terkemuka, Jessy Narayanan, yang kini mengalami masalah kesihatan kritikal.

​Jessy, yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai penyanyi rock Tamil wanita pertama di Asia, memerlukan sekurang-kurangnya RM50,000 bagi menampung kos perubatan dan rawatan khas di India Selatan selama tiga hingga empat bulan.

​Menurut Dr. Kalaivanar, penganjuran Konsert Amal Kebajikan terpaksa dilancarkan secara persendirian bersama Bahana Keadilan Negara demi menyelamatkan nyawa penyanyi veteran berkenaan selepas didakwa kurang mendapat perhatian daripada persatuan-persatuan seni tempatan.

​”Negara kita telah merdeka lebih 68 tahun, namun sehingga kini masih tiada langkah konkrit atau sistem kebajikan yang kukuh untuk membela nasib artis-artis veteran yang pernah mengharumkan nama negara. Kita tidak boleh membiarkan mereka menanggung beban ini sendirian,” tegas beliau dalam satu sidang media.

​Sementara itu, Jessy Narayanan meluahkan rasa sedih apabila mendedahkan beliau mengambil masa hampir 15 tahun untuk mendapatkan diagnosis penyakit yang tepat di tanah air, sebelum disahkan menghidap penyakit Sjögren’s Syndrome (gangguan autoimun) serta kanser.

​”Sjögren’s Syndrome ini jika tidak dirawat awal boleh memicu kepada penyakit limfoma dan rheumatoid arthritis yang membengkokkan tulang serta merosakkan organ internal. Selepas pelbagai rawatan di sini, doktor mengesyorkan saya mendapatkan rawatan kepakaran gabungan perubatan moden, tradisional, dan pakar tulang di India,” kata Jessy.

​Bagi mengumpul dana RM50,000 tersebut, satu Konsert Amal Kebajikan akan diadakan pada:

Tarikh: 16 Oktober 2026 (Jumaat)

Masa: 6:00 Petang – 11:00 Malam

Lokasi: Auditorium Tan Sri K.R. Soma, Wisma Tun Sambanthan, Kuala Lumpur

Harga Pas Sumangan: RM150 (Tempat duduk belakang) & RM200 (Tempat duduk hadapan)


​Konsert tersebut terhad kepada 270 penonton sahaja dan bakal menampilkan persembahan berbilang kaum daripada artis-artis tempatan (Melayu, India, dan Cina) serta hidangan makanan istimewa. Selain itu, para penyumbang turut berpeluang memenangi cabutan bertuah berupa rantai emas, cincin emas, mesin basuh, dan televisyen.

​Orang ramai dan para peminat yang ingin membantu diseru untuk membeli pas sumbangan konsert berkenaan atau salurkan bantuan terus bagi membolehkan Jessy menjalani rawatan perubatan seawal 7 Oktober ini.

#BantuJessyNarayanan #KonsertAmalJessy #ArtisVeteranMalaysia #BeritaAAC #SolidaritiArtis