Day: August 7, 2026

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2026 – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, digesa agar menghormati kewibawaan akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan tidak menolak dapatan kajian berhubung Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PRKT) hanya disebabkan ia tidak selari dengan agenda politiknya.

​Ahli Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara, Hajah Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, pendirian Lim yang mempertikaikan laporan kebolehlaksanaan PRKT bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperlihatkan kecenderungan memilih kesimpulan politik berbanding menghormati proses penyelidikan berasaskan fakta.

​”Sesebuah dapatan penyelidikan tidak boleh ditolak hanya kerana kesimpulannya tidak memenuhi kehendak atau cita rasa politik mana-mana pihak.

​”Kajian ini bukannya disediakan secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dijalankan sejak Disember 2025 atas mandat kerajaan bagi menilai pelbagai dimensi perundangan, pentadbiran, kewangan dan implikasi dasar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

​Bibi Sunita menegaskan, sebarang pandangan terhadap kajian akademik sepatutnya dijawab melalui wacana ilmiah, semakan rakan sebaya (peer review), atau kritikan metodologi — bukannya penolakan secara politik sekiranya tidak mampu membuktikan kelemahan kajian tersebut dari sudut ilmiah.

​Tambah beliau, pelaksanaan pilihan raya tempatan bukanlah keutamaan rakyat pada masa ini yang lebih terbeban dengan isu kos sara hidup, kemampuan memiliki rumah, pengangkutan awam, keselamatan bandar serta ancaman banjir kilat.

​Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa menambah satu lagi lapisan pilihan raya akan membawa implikasi besar termasuk peningkatan kos pembayar cukai, memanjangkan suhu politik ke peringkat tempatan, serta mengalihkan fokus PBT daripada penyampaian perkhidmatan asas.

​”Sebaliknya, apa yang lebih diperlukan ialah memperkukuhkan sistem sedia ada melalui reformasi pentadbiran seperti meningkatkan ketelusan, audit prestasi, serta memastikan pelantikan ahli majlis dibuat berdasarkan kompetensi dan kepakaran,” jelas beliau.

​Beliau menegaskan, pembinaan dasar negara perlu berteraskan fakta dan bukti empirikal yang kukuh demi kepentingan nasional, bukannya dipengaruhi oleh tekanan atau kepentingan politik parti tertentu.

#BeritaAAC #PRKTDBKL #UIAM #IntegritiAkademik #PolitikMalaysia

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2026 – Keputusan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang mengumumkan untuk bercuti daripada jawatannya disifatkan sebagai bukti kukuh bahawa parti berkenaan sedang mengalami pergolakan dalaman yang semakin meruncing.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Seri Gulam Muszaffar Gulam Mustakim mendakwa, desas-desus mengenai penderitaan dan ketiadaan Nurul Izzah dalam arus perdana politik yang didedahkannya sebelum ini kini terbukti sahih.

​Menurut beliau, langkah mengambil cuti tersebut dipercayai bagi menjaga “optik” parti serta mengelakkan rasa malu kepimpinan PKR, walaupun desakan asal adalah untuk melepaskan jawatan sepenuhnya.

​”Berita yang saya dengar dan dedahkan berulang kali berhubung ketiadaan Nurul Izzah di arus perdana politik terbukti benar. PKR ini sedang bergolak teruk dan berada pada tahap meruncing, sehinggakan tiga Ahli Parlimen PKR yang rapat dengan Rafizi Ramli turut disekat peruntukan. Unsur tikam menikam jelas sedang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

​Bagaimanapun, Gulam Muszaffar menarik perhatian bahawa di sebalik kemelut yang melanda parti itu, Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung PKR dan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilihat sebagai individu yang paling beruntung.

​Jelas beliau, walaupun Saifuddin tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), laluan kerjaya politik beliau terus melonjak tanpa perlu bersusah payah bertanding hebat seperti pemimpin lain.

​”Kalah bertanding di PRU15, dilantik Senator dan dapat jawatan Setiausaha Agung PKR. Lepas pemilihan PKR, dapat pula Setiausaha Agung PH, dan sekarang bila Nurul Izzah bercuti, beliau dapat memangku jawatan Timbalan Presiden. Rezeki tidak pernah salah alamat,” ujarnya.

​Mengulas lanjut, beliau menyifatkan situasi terkini dalam PKR ibarat “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran” di mana kedua-dua kem utama dalam parti tersebut kini berputih mata.

​Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Saifuddin dan berseloroh bahawa sekiranya berlaku sebarang perkara kepada Presiden PKR, Saifuddin adalah calon Perdana Menteri yang “paling tepat” dari kem parti itu.

#PolitikMalaysia #KemelutPKR #SaifuddinNasution #NurulIzzah #BeritaAAC

KUALA LUMPUR , 6 Ogos 2026 – “Saya bukan berasal daripada orang kaya, saya asal budak flat.”

​Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar yang berkongsi nostalgia serta kenangan lama ketika hadir menyempurnakan Program Edaran Pek Sajian Kasih di Pasar Malam Flat PKNS Jalan Kuching, di sini.

​Menurut beliau, lokasi berkenaan amat istimewa di hatinya kerana beliau merupakan anak jati kawasan berkenaan serta individu yang bertanggungjawab mengikhtiarkan pembukaan pasar malam tersebut sejak tahun 1995.

​”Hari ini rasa cukup istimewa kerana saya dibesarkan di Flat PKNS Jalan Kuching ini. Hampir 30 tahun lalu saya yang ikhtiarkan pasar malam di sini, malah dulu setiap minggu saya yang mengutip lesen perniagaan di sini.

​”Sebab itu hari ini saya turun bukan sahaja untuk beri bantuan, tetapi turut menyokong peniaga tempatan dengan membeli barangan mereka untuk diinfakkan semula kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita.

​Tambah Datuk Gulam, kepulangannya ke kawasan berkenaan turut mengimbau kembali hubungan eratnya bersama penduduk setempat yang kebanyakannya sudah dikenali sejak sekian lama.

​Mengulas mengenai program agihan tersebut, beliau memaklumkan program sumbangan ikhlas itu akan diteruskan di dua lagi lokasi esok, iaitu di Pekan Batu 5 serta Masjid / Surau Jumaat Darul Kifayah, Taman Koperasi Polis 1.

​Sementara itu, apabila diajukan soalan mengenai desas-desus atau pandangan ramai yang menganggap beliau sangat sesuai untuk dicalonkan sebagai Wakil Rakyat (YB) di kawasan Batu, Datuk Gulam menjawabnya secara ringkas dan rendah diri.

​”Jangan buat kerja Tuhan. Itu semua adalah ketentuan dan takdir daripada Allah SWT,” ujarnya secara berseloroh namun sarat mesej mendalam.

#BeritaAAC #GulamMuszaffar #UMNOBatu #FlatPKNSJalanKuching #PekSajianKasih