
KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2026 – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, digesa agar menghormati kewibawaan akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan tidak menolak dapatan kajian berhubung Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PRKT) hanya disebabkan ia tidak selari dengan agenda politiknya.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara, Hajah Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, pendirian Lim yang mempertikaikan laporan kebolehlaksanaan PRKT bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperlihatkan kecenderungan memilih kesimpulan politik berbanding menghormati proses penyelidikan berasaskan fakta.
”Sesebuah dapatan penyelidikan tidak boleh ditolak hanya kerana kesimpulannya tidak memenuhi kehendak atau cita rasa politik mana-mana pihak.
”Kajian ini bukannya disediakan secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dijalankan sejak Disember 2025 atas mandat kerajaan bagi menilai pelbagai dimensi perundangan, pentadbiran, kewangan dan implikasi dasar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Bibi Sunita menegaskan, sebarang pandangan terhadap kajian akademik sepatutnya dijawab melalui wacana ilmiah, semakan rakan sebaya (peer review), atau kritikan metodologi — bukannya penolakan secara politik sekiranya tidak mampu membuktikan kelemahan kajian tersebut dari sudut ilmiah.
Tambah beliau, pelaksanaan pilihan raya tempatan bukanlah keutamaan rakyat pada masa ini yang lebih terbeban dengan isu kos sara hidup, kemampuan memiliki rumah, pengangkutan awam, keselamatan bandar serta ancaman banjir kilat.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa menambah satu lagi lapisan pilihan raya akan membawa implikasi besar termasuk peningkatan kos pembayar cukai, memanjangkan suhu politik ke peringkat tempatan, serta mengalihkan fokus PBT daripada penyampaian perkhidmatan asas.
”Sebaliknya, apa yang lebih diperlukan ialah memperkukuhkan sistem sedia ada melalui reformasi pentadbiran seperti meningkatkan ketelusan, audit prestasi, serta memastikan pelantikan ahli majlis dibuat berdasarkan kompetensi dan kepakaran,” jelas beliau.
Beliau menegaskan, pembinaan dasar negara perlu berteraskan fakta dan bukti empirikal yang kukuh demi kepentingan nasional, bukannya dipengaruhi oleh tekanan atau kepentingan politik parti tertentu.
#BeritaAAC #PRKTDBKL #UIAM #IntegritiAkademik #PolitikMalaysia
