Day: August 4, 2026

KUALA LUMPUR — Aktivis Sosial dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, menyuarakan kekecewaan mendalam terhadap sikap kepimpinan negara yang didakwa lambat mengambil tindakan terhadap memorandum serta keluhan yang diperjuangkan oleh rakyat.

​Bercakap dalam satu sidang media selepas Forum Calon Bebas Malaysia 2026, Dr. Kalaivanar mengkritik tindakan kerajaan yang hanya mula memberi perhatian kepada memorandum isu rakyat selepas berbulan-bulan diserahkan di hadapan Parlimen.

​Menurut beliau, memorandum yang diserahkan oleh perhimpunan lebih 4,500 rakyat di hadapan Parlimen pada November tahun lalu seolah-olah diabaikan, sebelum pihak kepimpinan tertinggi mula memintanya semula beberapa bulan kemudian menjelang kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN).

​”Rakyat dah bagi ‘tamparan’ menerusi undi. Kerajaan baharu nak tersadar bila undi rakyat mula beralih,” tegas beliau.

​Selain isu memorandum, Dr. Kalaivanar turut membangkitkan nasib pemandu dan pengusaha lori di seluruh negara yang terjejas ekoran tindakan pembatalan lesen secara menyeluruh. Beliau menyifatkan ketiadaan pertimbangan wajar terhadap punca pendapatan pemandu lori sebagai satu tindakan yang menindas golongan marhaen yang mempunyai tanggungjawab keluarga.

​Mengulas lanjut, beliau mengkritik keutamaan pimpinan negara yang didakwa lebih peka dengan isu luar negara berbanding kemelut domestik yang menimpa rakyat sendiri.

​”Umpama peribahasa, ‘gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang laut nampak’. Isu rakyat sendiri dan kesusahan pemandu lori dipandang sepi, tetapi hal luar negara pula yang diutamakan,” tambah beliau.

​Sidang media tersebut turut menyaksikan gesaan agar kerajaan lebih prihatin dan tidak memandang remeh setiap memorandum serta tuntutan yang dikemukakan oleh pakatan aktivis dan suara akar rumput.

#BeritaAAC #IsuPemanduLori #MemorandumRakyat #SuaraAkarUmbi #DrKalaivanar

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2026 — Aktivis sosial dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar, mengkritik keras sikap sesetengah ahli politik yang didakwa hanya memanfaatkan isu serta kerja keras Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai modal politik mereka.

​Menurut beliau, wujud budaya di mana wakil rakyat hanya ‘muncul’ atau bertindak selepas NGO turun ke padang untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Beliau menyamakan situasi tersebut seperti “lembu punya susu, sapi dapat nama,” di mana aktivis yang bertungkus-lumus berkorban masa dan tenaga, tetapi hasil kemenangan atau pujian akhirnya diraih oleh parti politik.

​”Kita aktivis yang turun ke padang menyelesaikan masalah. Tetapi akhirnya isu tersebut dijadikan modal politik oleh mereka yang tidak mahu turun bekerja. Kebanyakan mereka hanya hebat dengan aktiviti sendiri, melancong ke luar negara dan hilang daripada kawasan,” katanya selepas menghadiri Forum Calon Bebas Malaysia.

​Mengulas mengenai amalan rasuah dan manipulasi politik, Dr Kalaivanar turut menegaskan bahawa kemerosotan sesebuah negara berpunca daripada sikap ahli politik yang tidak bertanggungjawab serta pengundi yang mudah diumpan dengan wang menjelang pilihan raya.

​Beliau turut menyeru para pengundi agar mempunyai maruah dan kematangan diri dalam menentukan masa depan negara, bukannya sekadar menjual undi demi kepentingan jangka pendek.

​Selain itu, beliau meluahkan rasa terkilan apabila isu-isu sensitif seperti pelarian Rohingya, isu Palestin, sentimen agama dan perkauman sering dimanipulasi oleh pihak tertentu semata-mata untuk meraih sokongan politik, sebelum ditinggalkan apabila menimbulkan kemarahan publik.

​Bagi mengukuhkan pendekatan calon bebas, beliau mencadangkan agar forum dan sesi dialog berterusan diadakan bersama masyarakat marhaen di kawasan-kawasan bertanding. Langkah ini penting bagi membolehkan rakyat menilai sendiri kewibawaan dan kebolehan calon sebelum diberi mandat pada pilihan raya.

#BeritaAAC #ForumCalonBebas #SuaraRakyat #PolitikMalaysia #Kalaivanar

KUALA LUMPUR , 4 Ogos 2026 — Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara mengecam tindakan pimpinan DAP yang didakwa sering menggunakan taktik ugutan untuk keluar daripada Kerajaan Persekutuan demi kepentingan politik parti itu.

​Bercakap dalam satu sidang media selepas Forum Calon Bebas Malaysia 2026, Setiausaha/Wakil Sekretariat, Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa tindakan DAP membangkitkan isu persetujuan dan promosi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta mengancam untuk mengadakan mesyuarat bagi mempertimbangkan kedudukan mereka dalam kerajaan adalah satu ‘taktik kotor’ yang berulang.

​”DAP selalu bermain taktik sedemikian. Dulu begini, sekarang pun sama. Mereka sering mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah memegang ‘tali hayat’ atau tekanan politik terhadap beliau,” katanya.

​Menurut Dr. Kalaivanar, pimpinan kerajaan khususnya Perdana Menteri tidak sepatutnya tunduk kepada sebarang bentuk desakan atau ugutan sedemikian demi mengekalkan kuasa semata-mata.

​Sehubungan itu, beliau mencabar Perdana Menteri untuk mengambil langkah berani dan Budiman (gentleman) sekiranya DAP terus menggunakan ancaman keluar kerajaan.

​”Jangan asyik mengugut mahu keluar kerajaan. Jika Anwar berani, katakan ‘Okey, kita bubar Parlimen dan adakan pilihan raya’. Itu barulah tindakan seorang gentleman,” tegas beliau lagi.

​Kenyataan tersebut hadir susulan timbulnya keresahan di pihak DAP berhubung beberapa isu pentadbiran awam yang menurut mereka perlu diteliti semula di peringkat tertinggi parti.

#PolitikMalaysia #KrisisDAPAnwar #PRU2026 #BubarParlimen #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2026 — Pengundi di negara ini digesa untuk beralih kepada ‘kuasa ketiga’ dengan menyokong calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang bagi menghentikan percaturan politik yang didakwa kerap memanipulasi mandat rakyat.

​Aktivis masyarakat, Ridzuan Ikhlas berkata, landskap politik tanah air kini menunjukkan trend tidak sihat di mana parti-parti politik sanggup bertelingkah di peringkat akar umbi namun kembali bekerjasama demi membentuk kerajaan dan mengekalkan kuasa.

​Menurut beliau, situasi itu menyaksikan pengundi sentiasa menjadi mangsa permainan politik, manakala masalah serta keluhan sebenar rakyat di peringkat bawah sering diabaikan.

​”Pengundi dijadikan alat untuk memenangkan parti politik. Selepas menang, mereka boleh bergaduh sekejap, kemudian ‘cium mulut’ dan berkawan balik dengan musuh demi kuasa. Akhirnya rakyat di bawah yang menjadi mangsa.

​”Oleh itu, kita perlu ada satu perubahan baharu dalam negara ini. Kita perlu wujudkan kuasa ketiga bagi memastikan suara rakyat benar-benar dibawa ke Parlimen,” katanya dalam satu sidang media selepas Forum Calon Bebas Malaysia 2026, di sini.

​Ridzuan mengulas lanjut, pihaknya bersama barisan aktivis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta golongan profesional seperti peguam dan doktor kini dalam proses membentuk sebuah sekretariat khas.

​Sekretariat tersebut akan berfungsi sebagai satu platform tunggal bagi mengumpulkan, membimbing, dan menyatukan calon-calon bebas yang mahu bertanding di bawah satu payung pada PRU16 kelak.

​Mengulas mengenai sasaran, beliau meletakkan tumpuan awal di beberapa negeri strategik seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor.

​”Daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, kita tidak minta banyak. Sekurang-kurangnya beri kita menang 10 kerusi Parlimen sahaja dahulu. Ini memadai untuk menunjukkan kepada rakyat dan ahli politik peranan serta kuasa sebenar calon bebas,” jelasnya.

​Beliau turut menambah bahawa kesedaran mengenai peranan calon bebas perlu ditingkatkan, terutamanya dalam kalangan pengundi muda berusia 18 tahun yang bakal menjadi penentu utama dalam PRU akan datang.

​Orang ramai, aktivis, mahupun individu profesional yang berminat untuk berkhidmat sebagai calon bebas dialu-alukan untuk menghubungi sekretariat berkenaan bagi bergerak secara bersatu.

#CalonBebas2026 #PRU16 #KuasaKetiga #SuaraRakyat #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2026 — Perbicaraan kes saman sivil oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama 14 individu lain telah memasuki hari kedua.

KES UTAMA• Saman sivil 1MDB terhadap 15 defendan• Prosiding masih berjalan di mahkamah• Fokus kepada penelitian bukti dan hujahan pihak terlibat

SENARAI 15 DEFENDAN

  • Datuk Seri Najib Razak
  • Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin
  • Tan Sri Paduka Ismee Ismail
  • Tan Sri Ong Gim Huat
  • Ashvin Jethanand Valiram
  • Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi
  • Mohd Hazem Abdul Rahman
  • Azmi Tahir
  • Geh Choh Heng
  • Loo Ai Swan (Amerbon)
  • Tang Keng Chee
  • Vincent Beng Huat Koh
  • Radhi Mohammad
  • Kelvin Tan Kay Jin
  • Nik Faisal Ariff Kamil

PERHATIAN MEDIA
Terdapat persoalan dalam kalangan pemerhati mengenai liputan media, khususnya mengapa tumpuan lebih diberikan kepada individu tertentu walaupun kes melibatkan semua 15 defendan.

STATUS KES
Semua defendan masih tertakluk kepada proses perbicaraan. Sebarang dakwaan akan ditentukan oleh mahkamah berdasarkan bukti serta hujahan yang dikemukakan.

KUALA LUMPUR — Ketuan Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Rosni Zahari menyoal tindakan Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa meraih ‘undi popular’ dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, sambil menyifatkannya sebagai alasan untuk menutup kelemahan dan kekalahan gabungan tersebut.

​Mengulas dakwaan pihak lawan yang mendakwa memperoleh sekitar 250,000 undi berbanding Barisan Nasional (BN) sekitar 227,000 undi, beliau mempertikaikan kaedah matematik yang digunakan oleh PH.

“Saya tidak tahu bagaimana kiraan mereka. Cara konvensional kita jelas — kemenangan dikira mengikut jumlah undi terbanyak di setiap saluran dan peti undi. Bila dicampur semua, calon yang dapat undi terbanyak adalah pemenang.”

“Jadi kiraan matematik atau ‘culaan’ mana yang mereka dapat? Pada saya, itu hanyalah alasan yang memberi persepsi untuk ‘cover’ kekalahan mereka,” tegas beliau dalam satu temubual khas.

Kemenangan Majoriti Jelas

​Dato’ Rosni turut menepis dakwaan tersebut dengan membandingkan kemenangan calon-calon BN yang mencatatkan majoriti besar di beberapa kawasan DUN. Beliau memberi contoh kemenangan beribu-ribu majoriti oleh Dato’ Mohd Faizal Ramli di Linggi dan Dato’ Abdul Razak Said (Pak Amos) di Bagan Pinang.

​Malah, beliau turut memuji kegigihan jentera Wanita UMNO yang berjaya memenangkan calon wanita di Pilah, Puan Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (Eziliza), meskipun memulakan persaingan sebagai calon last minute dan bangkit daripada rekod kekalahan sebelum ini.

“Hasil kerja keras jentera Wanita yang turun ke padang tanpa henti bersama kepimpinan tertinggi, kita berjaya membuktikan keupayaan calon-calon yang diketengahkan,” tambahnya.

Ikhtiar Memperkukuh Perpaduan & Peringatan Buat Wakil Rakyat

​Walaupun menyambut baik kemenangan BN dan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan, beliau tidak menafikan rasa terkilan dengan keputusan yang melibatkan parti komponen seperti MCA dan MIC. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan komitmen untuk bekerja lebih keras menjelang PRU atau pilihan raya negeri akan datang.

​Mengakhiri perkongsian, Dato’ Rosni menitipkan pesanan tegas kepada semua wakil rakyat yang telah dipilih agar melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.

“Saya mohon semua wakil rakyat terpilih, buatlah kerja elok-elok supaya tidak mengecewakan pengundi. Saya yakin dan percaya mereka mampu memberi perkhidmatan terbaik (deliver) sebagai wakil rakyat yang berwibawa,” katanya.

#BeritaAAC #WanitaUMNO #PolitikMalaysia #PRN #UndiPopular