
PUTRAJAYA — Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar mengadakan demonstrasi aman serta penyerahan memorandum di hadapan pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hari ini.
Himpunan Aman Kembalikan D.A.K tersebut bertujuan menuntut tindakan tegas serta penjelasan daripada pihak kerajaan berhubung nasib tiga ekor gajah—Dara, Amoy, dan Kelat—yang dihantar ke sebuah zoo di Jepun sejak Mac lalu.
Aktivis Sosial merangkap wakil sekretariat, Dato’ Dr. Kalaivanar, menegaskan bahawa pihak kerajaan dan menteri berkaitan perlu memandang serius luahan rakyat serta laporan pakar mengenai kebajikan haiwan berkenaan yang didakwa berada dalam keadaan tertekan dan tidak sesuai dengan habitat asalnya.
”Kami datang secara aman untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri KPKT, Nga Kor Ming. Kita berikan tempoh tujuh hari kepada pihak kementerian untuk membuat kenyataan media atau penjelasan rasmi berhubung isu ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Memorandum berkenaan telah diterima oleh Pengarah Bahagian Pembangunan JKT, Tuan Mas, yang hadir mewakili pihak kementerian.
Sementara itu, perancak isu kebajikan haiwan, Puan Izwana, mempersoalkan janji serta komitmen pihak berkaitan seperti Kementerian Sumber Asli dan NRECC yang sebelum ini berjanji akan mempertimbangkan semula penghantaran gajah sekiranya berlaku pengabaian.
”Laporan pakar gajah seperti Dr. William telah diserahkan, namun tiada sebarang tindakan diambil. Enrichment yang didakwa dibuat juga tidak menggambarkan piawaian habitat semula jadi yang sebenar,” jelas beliau.
Turut hadir memberi sokongan ialah pelukis hidupan liar, Christine, yang membawa tiga potret gajah berkenaan bagi menyuarakan kebimbangan terhadap risiko masalah psikologi (zoochosis) dan penurunan kognitif haiwan tersebut jika terus dikurung dalam persekitaran ekstrem semasa musim sejuk.
Kumpulan aktivis berkenaan menegaskan mereka tidak akan berhenti mendesak dan mengadakan pergerakan aman sehingga ketiga-tiga gajah tersebut dibawa pulang ke tanah air.
#KembalikanDAK #SelamatkanGajahKita #KPKT #BeritaAAC #KeadilanUntukHaiwan
