TERKINI !!!

KUALA LUMPUR , 11 Ogos 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan surat bagi memohon maklum balas rasmi daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung aduan pelaburan Guaranteed Rental Return (GRR) yang didakwa tidak berdaftar.

​Penasihat Undang-undang MHO, Cik May Eva Sofea berkata, langkah itu dibuat susulan aduan daripada 24 orang pelabur yang mendakwa ditipu menerusi skim pelaburan berkonsepkan hotel.

​Menurut beliau, kesemua mangsa telah membeli unit kediaman pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran selepas dijanjikan pulangan tanpa perlu menguruskan hartanah berkenaan. Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang keuntungan yang diperoleh seperti yang dijanjikan.

​”Pihak kami mengesyaki skim ini tidak berdaftar dan beroperasi tanpa kebenaran yang sah di bawah Seksyen 3 Akta Skim Kepentingan 2016. Selain itu, pelaburan ini juga dilihat telah memenuhi elemen di bawah Seksyen 4 akta yang sama,” katanya ketika ditemui di Menara Menara Sentral, hari ini.

​Tambah beliau, aduan mengenai perkara tersebut telah dikemukakan sejak November 2023, namun selepas hampir setahun, tiada sebarang maklum balas bertulis diterima walaupun difahamkan pihak SSM telah membuka kertas siasatan.

​Sehubungan itu, MHO menggesa pihak SSM agar memberikan maklum balas yang sewajarnya demi keadilan para pengadu yang terlibat.

#BeritaAAC #SkimPelaburanHaram #IsuPelaburanHotel #MHO #MangsaScam

KUALA LUMPUR , 5 Julai 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) mempertikaikan kenyataan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhubung isu pemecatan seorang anggotanya, Sarjan K. Vegeneshwaran, yang didakwa bercanggah dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

​Aktivis Sosial dari SBKN, Dato’ Dr. Kalaivanar, menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Mei 2023 secara sebulat suara telah membatalkan tindakan penamatan perkhidmatan tersebut serta mengesahkan bahawa veteran berkenaan masih sah sebagai anggotanya yang berhak menerima segala gaji serta faedah tertunggak.

​”Keputusan mahkamah jelas menyatakan penamatan tersebut tidak sah di sisi undang-undang. Namun, kenyataan TDM baru-baru ini yang mendakwa dakwaan bekas tentera itu ‘tidak berasas’ menimbulkan tanda tanya kerana ia seolah-olah menafikan keputusan tiga hakim Mahkamah Rayuan,” katanya dalam satu sidang media.

​Menurut Dr. Kalaivanar, walaupun TDM telah membayar tunggakan gaji dan kos RM10,000 seperti yang diperintahkan, pihak berkenaan didakwa masih menghalang proses pentadbiran prosiding keluar perkhidmatan yang sewajarnya.

​Ujar beliau, anggota berkenaan tidak dijemput atau diberikan ruang untuk hadir ke markas bagi urusan penyerahan kad tentera dan penukaran kepada kad pengenalan awam (IC), sekali gus menyukarkannya untuk mendapatkan pekerjaan baharu atau menguruskan faedah pencen.

​Sehubungan itu, SBKN memaklumkan pihak mereka sedia mengambil langkah undang-undang seterusnya dengan memulakan prosiding komital (committal proceedings) terhadap individu dan pegawai ATM yang terlibat kerana didakwa gagal mematuhi perintah mahkamah secara menyeluruh.

#BeritaAAC #KeadilanVeteran #AngkatanTenteraMalaysia #TenteraDaratMalaysia #IsuMahkamah #HakAnggota

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2026 — Perbicaraan kes saman sivil oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama 14 individu lain telah memasuki hari kedua.

KES UTAMA• Saman sivil 1MDB terhadap 15 defendan• Prosiding masih berjalan di mahkamah• Fokus kepada penelitian bukti dan hujahan pihak terlibat

SENARAI 15 DEFENDAN

  • Datuk Seri Najib Razak
  • Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin
  • Tan Sri Paduka Ismee Ismail
  • Tan Sri Ong Gim Huat
  • Ashvin Jethanand Valiram
  • Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi
  • Mohd Hazem Abdul Rahman
  • Azmi Tahir
  • Geh Choh Heng
  • Loo Ai Swan (Amerbon)
  • Tang Keng Chee
  • Vincent Beng Huat Koh
  • Radhi Mohammad
  • Kelvin Tan Kay Jin
  • Nik Faisal Ariff Kamil

PERHATIAN MEDIA
Terdapat persoalan dalam kalangan pemerhati mengenai liputan media, khususnya mengapa tumpuan lebih diberikan kepada individu tertentu walaupun kes melibatkan semua 15 defendan.

STATUS KES
Semua defendan masih tertakluk kepada proses perbicaraan. Sebarang dakwaan akan ditentukan oleh mahkamah berdasarkan bukti serta hujahan yang dikemukakan.

JELEBU, 31 Julai 2026 — Barisan Dato’ Lembaga Delapan dan Ibu-Ibu Soko Luak Jelebu tampil membantah keras penganjuran Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undangan (DKU) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung di Istana Seri Menanti petang ini.

​Dalam satu kenyataan media bersama, YM Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Mohamad Azmi bin Abdul Aziz mewakili Dato’-Dato Lembaga dan Ibu Soko menegaskan bahawa mesyuarat yang dipanggil secara tergesa-gesa itu mengandungi agenda tersembunyi untuk merealisasikan saranan pemecatan Undang Luak Jelebu ke-16, YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Hj Maarof Bin Hj Mat Rashad.

​Menurut beliau, Notis Panggilan Mesyuarat bertarikh 30 Julai 2026 jam 4.00 petang itu diserahkan secara lewat kepada YTM Undang Johol dan YTM Tunku Besar Tampin, manakala YTM Dato’ Hj Maarof selaku Undang Luak Jelebu ke-16 langsung tidak dijemput hadir.

​“Agenda mesyuarat ini kononnya mahu mendengar aduan-aduan dari Luak Jelebu. Kami percaya beberapa individu yang telah dipecat sebagai Ibu Soko dan Buapak akan dibawa hadir bagi membentangkan tuduhan palsu terhadap YTM Dato’ Hj Maarof.

​“Ini adalah modus operandi yang sama untuk mengesahkan pemecatan Undang Luak Jelebu secara unilateral, sebagaimana yang berlaku sewaktu pemecatan Undang Luak Sungei Ujong dalam mesyuarat khas DKU bertarikh 17 April lalu,” katanya.

​Selain itu, pihak Dato’ Lembaga Luak Jelebu turut mendakwa mesyuarat khas tersebut melanggar Perkara 17 dan Perkara 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 berikutan isu keabsahan korum. Kehadiran dua orang Undang baharu dari Luak Sungai Ujong dan Luak Rembau yang belum disahkan kedudukan mereka secara rasmi dipertikaikan, sekali gus menjadikan sebarang keputusan mesyuarat terbatal dan tidak sah.

​Lebih mencuri tumpuan, kenyataan tersebut turut menekankan bahawa tindakan mengadakan Mesyuarat Khas DKU ini disifatkan sebagai menghina perintah mahkamah (contempt of court). Ini berikutan Perintah Injunksi Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026 yang menghalang peranan kesemua empat Undang, Tunku Besar Tampin, serta Dato’ Shahbandar Sungei Ujong sebagai anggota DKU.

​Tambah kenyataan itu lagi, memandangkan Negeri Sembilan berada di ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Kerajaan Negeri berstatus caretaker (sementara), tiada sebarang keputusan major atau besar berhubung institusi adat boleh dibuat sehingga pembentukan kerajaan baharu selepas 1 Ogos 2026.

​Dato’ Lembaga Luak Jelebu menegaskan komitmen dan ikrar teguh mereka di belakang YTM Dato’ Hj Maarof, serta menyatakan sebarang percubaan menafikan kedudukan beliau adalah tidak sah mengikut syariat adat dan undang-undang tubuh negeri.

#BeritaAAC #KrisisAdatN9 #LuakJelebu #DewanKeadilanDanUndangan #IsuIstanaN9

SEREMBAN, 30 Julai 2026 – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH) membuktikan bahawa tidak wujud sebarang tindakan ‘sakau’, kecurian, mahupun penyalahgunaan dana seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sebelum ini.

​Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dapatan daripada dokumen RCI setebal lebih 200 muka surat yang dibuka kepada umum itu mengesahkan tiada sebarang penyelewengan kewangan berlaku dalam institusi berkenaan.

​Menurut beliau, dakwaan yang sering dipolitikkan sebelum ini hanyalah berasaskan persepsi, manakala isu sebenar hanya melibatkan teguran berhubung jurang liabiliti kewangan serta kaedah pengagihan hibah kepada pendeposit.

​”Apabila dokumen RCI ini didedahkan kepada umum, tidak ada satu pun dapatan yang menyatakan ada pihak yang ‘sakau’, curi, atau rompak duit Tabung Haji. Yang ada hanyalah laporan penilaian liabiliti dan isu pengagihan hibah,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

​Mengulas mengenai agihan hibah, Jamil Khir menjelaskan bahawa keutamaan Tabung Haji sentiasa diberikan kepada para pendeposit menerusi pulangan keuntungan serta bantuan subsidi bagi jemaah yang menunaikan ibadah haji.

​Beliau turut menekankan bahawa pengauditan Tabung Haji sebagai sebuah Badan Berkanun di bawah Akta Tabung Haji sentiasa tertunduk di bawah kawal selia Jabatan Audit Negara (JAN), selain turut diaudit oleh firma pengauditan antarabangsa.

​”Sejak 2009 hingga 2017, Tabung Haji sentiasa mendapat Sijil Audit Bersih daripada Jabatan Audit Negara. Ini membuktikan tadbir urus kewangan TH sentiasa dipatuhi mengikut saluran yang sah dan patuh syariah,” jelasnya lagi.

​Mengenai syor RCI berkenaan kawal selia dan kuasa Menteri, beliau menegaskan bahawa Menteri tidak pernah meluluskan mana-mana permohonan, pelaburan, atau urusan jual beli hartanah secara bersendirian tanpa kelulusan dan syor daripada Lembaga Tabung Haji, Jawatankuasa Pengurusan Risiko, serta Jawatankuasa Pelaburan.

​Beliau berharap dengan pendedahan laporan RCI ini, masyarakat dapat memahami situasi sebenar dan tidak terus menjadikan Tabung Haji sebagai bahan spekulasi politik yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit.

#RCITabungHaji #TabungHaji #JamilKhir #IsuSemasa #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 12 Februari 2026 – Aktivis masyarakat, Rahimuddin Mat Harun menyatakan sokongan terhadap titah oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyeru agar semua pihak menghentikan perbalahan berkaitan isu rumah ibadat, khususnya melibatkan pembinaan rumah anutan di atas tanah milik persendirian dan agensi kerajaan.

Menurut beliau, titah tersebut wajar dijunjung tinggi oleh seluruh rakyat kerana mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap nasib pemilik tanah yang didakwa berdepan pencerobohan oleh struktur rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran sah.

Rahimuddin menegaskan bahawa masyarakat Malaysia secara umumnya tidak menolak kebebasan beragama atau hak untuk beribadat, selagi ia dilaksanakan mengikut saluran undang-undang dan tidak melibatkan pencerobohan terhadap hak milik pihak lain.

Namun begitu, beliau berpandangan bahawa isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di atas tanah persendirian atau milik agensi kerajaan perlu ditangani dengan lebih tegas oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya di negeri Selangor.

Beliau turut mempersoalkan tindakan penguatkuasaan yang didakwa masih belum dilaksanakan secara menyeluruh, meskipun terdapat kenyataan daripada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebelum ini yang memberi bayangan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap struktur yang didirikan secara tidak sah.

Mengulas lanjut, Rahimuddin merujuk kepada insiden penahanan seorang individu dikenali sebagai Tamin bersama beberapa rakan di Rawang selepas bertindak merobohkan sebuah kuil yang didakwa dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik persendirian.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri agar mengarahkan PBT mengambil tindakan segera terhadap sebarang pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi undang-undang, bagi mengelakkan tindakan sendiri oleh pihak awam yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

#IsuRumahIbadat #TitahTuanku #PencerobohanTanah #TindakanPBT #Selangor #KedaulatanUndangUndang #HakPemilikTanah #RumahIbadatHaram #BeritaAAC #IsuSemasaMalaysia