KUALA LUMPUR, 12 Februari 2026 – Aktivis masyarakat, Rahimuddin Mat Harun menyatakan sokongan terhadap titah oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyeru agar semua pihak menghentikan perbalahan berkaitan isu rumah ibadat, khususnya melibatkan pembinaan rumah anutan di atas tanah milik persendirian dan agensi kerajaan.
Menurut beliau, titah tersebut wajar dijunjung tinggi oleh seluruh rakyat kerana mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap nasib pemilik tanah yang didakwa berdepan pencerobohan oleh struktur rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran sah.
Rahimuddin menegaskan bahawa masyarakat Malaysia secara umumnya tidak menolak kebebasan beragama atau hak untuk beribadat, selagi ia dilaksanakan mengikut saluran undang-undang dan tidak melibatkan pencerobohan terhadap hak milik pihak lain.
Namun begitu, beliau berpandangan bahawa isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di atas tanah persendirian atau milik agensi kerajaan perlu ditangani dengan lebih tegas oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya di negeri Selangor.
Beliau turut mempersoalkan tindakan penguatkuasaan yang didakwa masih belum dilaksanakan secara menyeluruh, meskipun terdapat kenyataan daripada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebelum ini yang memberi bayangan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap struktur yang didirikan secara tidak sah.
Mengulas lanjut, Rahimuddin merujuk kepada insiden penahanan seorang individu dikenali sebagai Tamin bersama beberapa rakan di Rawang selepas bertindak merobohkan sebuah kuil yang didakwa dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik persendirian.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri agar mengarahkan PBT mengambil tindakan segera terhadap sebarang pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi undang-undang, bagi mengelakkan tindakan sendiri oleh pihak awam yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
#IsuRumahIbadat #TitahTuanku #PencerobohanTanah #TindakanPBT #Selangor #KedaulatanUndangUndang #HakPemilikTanah #RumahIbadatHaram #BeritaAAC #IsuSemasaMalaysia