
KUALA LUMPUR – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen di Negeri Sembilan sedia ‘menanti’ kehadiran bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ), sekiranya beliau diberikan peluang untuk kembali bertanding.
Pengulas Politik terkemuka, Dr. Azam Rauzan menyifatkan Khairy sebagai seorang pemimpin yang mempunyai aura dan pakej tersendiri yang mampu menambat hati golongan muda serta generasi Z (Gen Z). Menurutnya, ketokohan Khairy tidak boleh dinafikan sehingga menimbulkan rasa ‘cemburu’ dalam kalangan parti lawan seperti PAS dan PKR.
”KJ ada pakej tersendiri. Dia boleh menangani hati dan menambat hati Gen Z dan anak-anak muda. Ini kekuatan (beliau),” katanya dalam sesi temubual Sembang Kopi baru-baru ini.
Kesetiaan KJ Perlu Dihargai
Dr. Azam turut memuji tahap kesetiaan yang ditunjukkan oleh Khairy terhadap UMNO sepanjang penglibatannya dalam parti. Jelas beliau, kesetiaan tersebut wajar dibayar balik oleh pucuk pimpinan parti dengan memberikan Khairy peluang untuk bertanding.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keputusan sama ada Khairy akan diletakkan sebagai calon DUN, ‘poster boy’, mahupun calon Menteri Besar adalah tertakluk sepenuhnya kepada keputusan UMNO Pusat, Biro Politik, dan UMNO Negeri Sembilan.
”Jika diberi peluang, kalau saya Presiden UMNO, saya pastikan dia membawa satu kerusi Parlimen untuk Barisan Nasional. Di mana… di Sungai Buloh ke di mana, letak sajalah. Insya-Allah kali ini dia akan perform.”
Misi Menafikan PH-DAP di PRN Negeri Sembilan
Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan datang, Dr. Azam menyeru agar kebangkitan gelombang biru yang bermula di Sarawak dan Sabah dapat diteruskan bagi menyekat pengaruh Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Beliau turut menyeru seluruh ahli dan kepimpinan UMNO untuk merapatkan saf, bersatu hati, dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi demi memastikan kemenangan mutlak Barisan Nasional.
”Kita satukan balik rumah UMNO ini, kita satukan balik rumah bangsa ini. Insya-Allah jika kita bersatu hati, kita pastikan bahawa biru akan menguasai Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan nanti,” ujarnya optimis.
#KhairyJamaluddin #PRNNegeriSembilan #UMNOBangkit #SembangKopiAAC #BeritaAAC
