
PONTIAN , 28 Jun 2026– Kawasan Tampok Laut sedia diangkat sebagai salah satu produk dan kawasan tumpuan pelancongan utama bagi Parlimen dan Daerah Pontian menerusi penganjuran program-program berimpak tinggi.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan rasa penghargaan beliau kepada Kementerian Perpaduan, Jabatan Muzium, Warisan Johor, serta barisan Ketua Penghulu atas usaha meletakkan kawasan tersebut dalam peta program peringkat kebangsaan.
Menurut beliau, keunikan daerah Pontian sebenarnya merangkumi kawasan yang luas bermula dari Tampok Laut sehinggalah ke Tanjung Piai, berbanding tanggapan umum yang sering kali hanya memfokuskan kepada Tanjung Piai semata-mata. Pihaknya komited untuk terus mempertingkatkan segala kemudahan dan fasiliti di kawasan tersebut demi memberikan manfaat ekonomi kepada penduduk kampung sekitar, khususnya di kawasan Benut.
Selain berpotensi besar dalam sektor pelancongan, program yang dijalankan turut menjadi platform terbaik dalam mempromosikan kebudayaan dan kepelbagaian makanan unik warisan Johor seperti burasak dan lepat lue yang menjadi makanan signifikan di daerah tersebut.
Pontian yang juga dikenali sebagai antara pengeluar kerang terbesar di Malaysia, diharap dapat terus memanfaatkan keistimewaan setiap daerah menerusi kerjasama pelbagai agensi bagi merancakkan lagi aktiviti promosi pelancongan dan warisan tempatan pada masa akan datang.
#PontianBest #PelanconganJohor #AhmadMaslan #WarisanJohor #BeritaAAC
