
JUASSEH, 22 Julai 2026 — Calon Barisan Nasional (BN) DUN N15 Juasseh, Datuk Hj Ismail Hj Lasim menyifatkan suasana kempen di kawasan berkenaan berjalan dengan amat sihat dan berhemah tanpa sebarang isu pertelingkahan antara parti yang bertanding.
Beliau yang juga calon nombor dua bagi DUN Juasseh menyatakan rasa syukur melihat perkembangan positif kempen yang kini memasuki hari kelima selepas hari penamaan calon. Menurutnya, semua pihak yang bertanding fokus menawarkan agenda terbaik masing-masing demi kebaikan penduduk setempat.
“Setakat ini kempen berjalan dengan baik, tiada pertelingkahan. Ini satu perkara yang sihat kerana semua pihak sebenarnya berhasrat menawarkan diri untuk memberikan khidmat terbaik sekiranya dipilih,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas mengenai perancangan dan azamnya sekiranya diberi mandat pada hari pengundian kelak, Ismail menegaskan komitmennya untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat dan penyelesaian masalah penduduk di Juasseh.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh bagi penggal 2018 hingga 2023 merancang untuk meneruskan serta memperkasakan lagi agenda kebajikan yang telah dimulakan sebelum ini.
Cadang Tubuh Tabung Pendidikan Juasseh
Selain fokus utama terhadap kesejahteraan masyarakat, Ismail turut menekankan keutamaan dalam bidang pendidikan anak-anak di DUN Juasseh.
Memahami kehendak dan keperluan ibu bapa serta pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, beliau menyasarkan perancangan khas untuk membantu golongan ini.
“Ramai anak-anak kita yang berjaya masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) memerlukan bantuan dan perhatian. Antara fokus saya adalah untuk menubuhkan Tabung Pendidikan Juasseh bagi memastikan nasib dan pendidikan anak-anak di sini sentiasa terbela,” tambah beliau lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun manifesto rasmi parti dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat, komitmen peribadinya untuk berkhidmat dan menjaga kebajikan penduduk Juasseh adalah mendahului segala-galanya.
Mengakhiri temubual, Ismail (Calon No. 02) merayu sokongan dan undi daripada seluruh pengundi di DUN N15 Juasseh bagi memberi peluang kepada beliau mewakili rakyat di kawasan tersebut untuk tempoh lima tahun akan datang.
#PRNNegeriSembilan #N15Juasseh #IsmailLasim #BarisanNasional
