
NILAI , 22 Julai 2026 – Calon Perikatan Nasional (BERSATU) bagi DUN N10 Nilai, Dato’ V. Saravana Kumar Veerasamy, menegaskan bahawa beliau bukanlah orang asing dalam kalangan penduduk tempatan, sebaliknya telah menetap di kawasan berkenaan selama hampir 28 tahun.
Menurut calon bernombor 5 itu, pengalamannya yang bermula sejak bertukar ke Nilai pada tahun 1998 ekoran perpindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadikannya amat memahami selok-belok, masalah, serta keperluan masyarakat setempat.
Mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perniagaan dan ekonomi dari Stanford Region School of Economics, beliau menjelaskan penglibatannya dalam arena politik dan khidmat masyarakat bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan Naib Presiden Parti Makkal Sakti serta aktif menerajui Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan DSK sejak tahun 2000.
”Selama lebih 15 tahun menerusi NGO DSK, kami telah banyak memberi bantuan kebajikan, pendidikan, bantuan musim perayaan tanpa mengira kaum, serta menyumbang program vaksinasi percuma kepada 3,000 penduduk ketika pandemik COVID-19. Kesemua ini dijalankan menggunakan dana perniagaan kami sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai persaingan sengit lima penjuru di DUN Nilai, Saravana Kumar meluahkan rasa optimis dan tidak bimbang kerana rekod perkhidmatannya bersama penduduk telah lama terbukti. Beliau berhasrat untuk meluaskan lagi bantuan dan pembangunan kawasan sekiranya diberi mandat pada pilihan raya kali ini.
Antara fokus utama beliau merangkumi pembangunan potensi Nilai sebagai pusat pendidikan utama yang berhampiran KLIA serta perancangan khusus bagi memperkasakan kawasan tumpuan seperti Nilai 3.
Beliau menyeru pengundi DUN Nilai supaya memberi sokongan kepada calon nombor 5 untuk menterjemahkan perkhidmatan yang lebih berkesan demi kesejahteraan penduduk tempatan.
#DUNNilai #PRNNegeriSembilan #DatoSaravanaKumar #SuaraNilai #BeritaAAC #PPBM
