
BAHAU: Barisan Nasional (BN) merangka strategi tuntas bagi merampas semula Dewan Undangan Negeri (DUN) N08 Bahau yang telah dikuasai pembangkang sejak sekian lama.
Calon No. 2 BN bagi DUN Bahau, Chong Hui Ming, menegaskan kekalahan sejak tahun 2004 tidak mematahkan semangat BN, sebaliknya mematangkan strategi parti untuk menambat hati lebih 25,000 pengundi di kawasan berkenaan.

Mengulas mengenai demografi pengundi yang didominasi oleh komuniti Cina (sekitar 58 peratus), Hui Ming meletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuk meraih sekurang-kurangnya 30 peratus sokongan pengundi Cina.
“Jika kita capai 30 peratus undi Cina, ditambah pula sekurang-kurangnya 50 peratus undi India dan 70 peratus ke atas undi Melayu, kita mampu merampas dan menawan semula Bahau,” ujar beliau.
Tambah beliau, BN turut memanipulasi ‘semangat dan taktikal dari Johor’ melalui bantuan jentera parti dari kawasan seperti Pagoh dan Tangkak untuk menawan kawasan majoriti Cina.
Fokus ‘Agrotech’ Bagi Halang Penghijrahan Anak Muda
Berbekalkan latar belakang sebagai seorang akuntan, Hui Ming melihat pembangunan di Bahau sepanjang dua dekad lalu agak lembap dan hanya tertumpu kepada sektor perumahan tanpa pertumbuhan industri yang kukuh.
Keadaan ini memaksa golongan muda berhijrah keluar dan meninggalkan Bahau yang kini didominasi oleh warga emas.
Sebagai jalan penyelesaian, beliau berhasrat mewujudkan industri berasaskan teknologi pertanian (Agrotech) yang memanipulasi kekuatan tempatan seperti kelapa sawit, getah, serta tanaman buah-buahan seperti durian dan nenas.
“Kita perlu bawa industri berasaskan pertanian ini ke Bahau untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Ini membolehkan anak muda kekal dan membangunkan ekonomi tempatan,” katanya.
Sektor Kesihatan Perlu Ditingkatkan Segera
Selain ekonomi, mantan Ahli Majlis itu turut menyuarakan keprihatinan terhadap kemudahan kesihatan awam di Bahau yang disifatkannya masih lemah.
Beliau kerap menerima aduan penduduk tempatan mengenai masalah kekurangan doktor, jururawat, dan tempoh menunggu yang terlalu lama di klinik kesihatan, selain isu kelewatan perkhidmatan ambulans yang memakan masa sehingga setengah jam dalam kes kecemasan.
Menurutnya, penambahbaikan infrastruktat asas seperti turapan jalan dan perparitan adalah tugas rutin, namun tumpuannya kini adalah membawa impak ekonomi yang besar serta memperkasakan mutu kesihatan penduduk Bahau secara keseluruhan.
Hui Ming mengakhiri temubual dengan menyeru pengundi DUN N08 Bahau untuk memberi sokongan padu dan memilih calon No. 2, Barisan Nasional pada pilihan raya kali ini.
#DUNBahau #PRNNS #ChongHuiMing #BarisanNasional #BeritaAAC
