Day: July 3, 2026

​BENUT , 3 Julai 2026 – Rakyat kini sudah bijak menilai dan tidak lagi terpikat dengan janji-janji manis parti politik yang sekadar ‘menaiktaraf’ angka dalam manifesto pilihan raya mereka.

​Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Dr. Akmal Saleh menegaskan bahawa apa yang dituntut oleh rakyat pada masa kini adalah bukti pelaksanaan, bukannya tawaran di atas kertas yang belum tentu dapat direalisasikan.

​Menurut beliau, terdapat perbezaan ketara antara manifesto yang dibawakan oleh Barisan Nasional (BN) dan parti lawan, di mana pihak lawan dilihat sering mengitar semula janji tanpa ada rekod prestasi yang meyakinkan.

​”Rakyat tidak mahu melihat nombor semata-mata. Sebagai contoh, jika Barisan Nasional menawarkan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti, mereka (pihak lawan) akan ‘upgrade’ menjadi 250,000. Tetapi ini bukan soal nombor. Rakyat mahu melihat bukti, boleh buat atau tidak? Yang kedua, rakyat nak tengok sama ada janji itu mampu dilaksanakan,” katanya.

​Beliau turut membangkitkan kegagalan Pakatan Harapan (PH) dalam menunaikan janji-janji terdahulu, termasuk isu pemansuhan tol di Lebuhraya Simpang Renggam yang sehingga kini masih berbanyar. Beliau secara sinis menyatakan sekiranya PH benar-benar mahu menang di Johor, Perdana Menteri hanya perlu mengumumkan pemansuhan tol di seluruh Malaysia.

​Dalam pada itu, Dr. Akmal turut mempertahankan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang kini menjadi sasaran kecaman dan asakan daripada pihak lawan.

​Tegas beliau, walaupun Onn Hafiz diserang dari pelbagai sudut, rekod pencapaian prestasi (KPI) pentadbiran beliau di Johor menjadi bukti nyata bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang bekerja demi rakyat.

​”Saya tidak menafikan Datuk Onn Hafiz adalah ‘tunggak’ kita di Johor ini. Sudah tentu beliau akan diserang dari segenap aspek—kiri, kanan, atas dan bawah. Tetapi hari ini rakyat Johor bijak dan tahu siapa pemimpin yang benar-benar bekerja.

​”Datuk Onn Hafiz bercakap bukan sekadar janji, tetapi beliau membawa bukti. Di bawah pentadbiran beliau, Johor berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM110 bilion, iaitu yang tertinggi di dalam negara. Malah, peratusan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor turut meningkat sebanyak 8 peratus, juga antara yang tertinggi,” jelasnya lagi.

​Sehubungan dengan itu, beliau menyeru pengundi di Johor untuk terus mengekalkan kepimpinan yang terbukti berprestasi demi kestabilan masa depan negeri berkenaan.

#PRNJohor #AkmalSalleh #MajuJohor #ManifestoBukanJanji #BeritaAAC

​TIRAM – Sinergi unik antara pihak istana, pentadbiran kerajaan negeri, dan rakyat menjadi tunjang utama kekuatan politik Barisan Nasional (BN) di Johor dalam memastikan pembangunan yang berterusan.

​Dalam satu temubual eksklusif ‘Sembang Kopi’ bersama Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, Calon DUN Tiram, Dato’ Abdul Halim Suleiman menegaskan bahawa landskap politik di Johor mempunyai acuannya yang tersendiri yang mementingkan keperibadian dan adab.

​”Di Johor ini unik sikit. Setiap pentadbiran yang diusulkan oleh Yang Amat Berhormat (Menteri Besar) bersama Barisan Exco… kita minta perkenan daripada Kebawah Duli Tuanku dahulu,” ujar beliau ketika mengulas mengenai kecekapan kerajaan pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi melalui inisiatif seperti Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ).

​Menurut Dato’ Abdul Halim, keunikan pentadbiran di Johor juga terletak pada keupayaan untuk menyelaraskan (synchronize) antara elemen politik yang menerajui kerajaan dengan khidmat profesional daripada Johor Civil Service (JCS), sambil dipandu oleh jaringan serta hubungan baik pihak Istana demi pembangunan ekonomi rakyat.

​Menghampiri hari pengundian, beliau turut menitipkan pesanan mendalam buat 117,000 pengundi di DUN Tiram agar membuat keputusan berasaskan realiti dan bukannya emosi.

​”Tiram kampungku. Dan undi jangan ikut nafsu. Pilih, tentukan masa depan di bawah tangan kita. Yang penting pembangunan Tiram ini harus berlandaskan kepada realiti,” katanya lagi.

​Beliau menambah bahawa Barisan Nasional mempunyai rekod prestasi yang terbukti (proven track record) dalam mentadbir urus dan memastikan keharmonian, perpaduan, serta ekonomi negeri terus diperkukuh.

​”Barisan Nasional tidak hanya bercakap, tidak hanya berjanji. Kita tepati apa yang kita janji… we walk the talk,” tegas beliau sebelum mengakhiri temubual.

#DUNTiram #PRNJohor #BarisanNasional #SembangKopi #UndiSatuBN

JOHOR BAHRU – Isu pemilikan aset dan setinggan terus menjadi agenda utama perjuangan Barisan Nasional (BN) dalam usaha memastikan kebajikan serta masa depan rakyat Johor sentiasa terbela.

​Perkara itu ditegaskan oleh Calon DUN N44 Larkin, Hairi Mohd Shah, dalam satu sesi temubual eksklusif bersama Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan.

​Menurut Hairi, impian utamanya adalah untuk melihat seluruh rakyat Johor, tanpa mengira kaum dan agama, mempunyai aset sendiri. Beliau turut mengambil inspirasi daripada pendekatan tokoh politik Johor, Tan Sri Shahrir Samad, yang sebelum ini komited memperjuangkan nasib golongan setinggan di kawasan Johor Bahru, khususnya melalui pelan pembangunan ‘Malay Belt’ yang merangkumi kawasan Kampung Bakar Batu sehingga Bandar Baru Uda.

​”Rata-rata mereka yang mendiami kawasan setinggan ini adalah orang Melayu kita. Apabila Tan Sri Shahrir menetapkan jajaran tersebut, ia adalah untuk memastikan tanah-tanah ini memberi peluang dan ruang kepada golongan setinggan untuk memiliki aset sendiri,” katanya.

​Mengulas lanjut mengenai usaha pemindahan setinggan seperti yang dilaksanakan di Kampung Setulang Baru dan Kampung Melayu Majidee, Hairi menjelaskan bahawa pendekatan yang diambil sentiasa mengutamakan keselesaan rakyat. Penduduk dipindahkan ke kediaman rumah mampu milik yang lebih selesa dengan kemudahan tiga bilik tidur, dua bilik air, dan ruang tamu berkeluasan 750 kaki persegi.

​Kini, legasi pembelaan itu diteruskan oleh Hairi melibatkan kawasan penempatan seperti Kampung Sri Paya, Kampung Aman, dan Kampung Sri Kenangan. Beliau menegaskan bahawa BN sentiasa memastikan pemilik setinggan dipindahkan ke kawasan perbandaran dan memiliki aset sendiri.

​”Kerajaan Barisan Nasional berfikiran jauh. Kita tidak menzalimi rakyat seperti yang didakwa sesetengah pihak. Sebaliknya, pembelaan sebegini membuktikan bahawa BN mengutamakan kualiti dalam kepimpinan, bukannya sekadar kuantiti,” tambah beliau lagi.

​Dalam pada itu, temubual tersebut turut menyentuh tentang perancangan masa depan negeri melalui agenda ‘Johor 2030’ yang digagaskan oleh Menteri Besar Johor. Hairi mengingatkan bahawa menjelang tahun 2030, Johor bukan sahaja perlu maju dari segi pembangunan fizikal, tetapi juga dari sudut disiplin, mentaliti, dan sistem pendidikan.

​Sesi temubual diakhiri dengan peringatan bahawa Johor mempunyai landskap politiknya yang tersendiri. Kempen pilihan raya di negeri ini sentiasa dilaksanakan secara berhemah, bermoral, dan beradab demi mengekalkan keharmonian bangsa Johor.

#BeritaAAC #PRNJohor #LarkinPilihHairi #BangsaJohor #MajuJohor2030