
TIRAM – Pengalaman luas menguruskan kawasan yang pesat membangun menjadi taruhan utama calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N40 DUN Tiram, Dato’ Abdul Halim Suleiman.
Menurut beliau, berbanding tiga calon lain yang bertanding di kerusi berkenaan, beliau merupakan satu-satunya calon yang dilahirkan dan dibesarkan di DUN Tiram.
”Saya adalah anak jati Tiram. Satu-satunya calon yang memang berasal dan dilahirkan di kawasan Tiram. Yang lagi tiga itu ‘come from nowhere’… tiba-tiba jadi calon, sekadar untuk menjadi calon untuk menjadi tentangan,” katanya dalam satu sesi temuramah ‘Sembang Kopi’ bersama Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan.
Mengulas mengenai kepulangannya ke arena pilihan raya selepas kali terakhir bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa (2004–2013), Abdul Halim mengakui landskap politik di DUN Tiram kini jauh berbeza dan membekalkan cabaran yang lebih besar.
Jelas beliau, bilangan pengundi di DUN Tiram kini telah melonjak melebihi 117,000 orang berbanding ketika awal pembabitannya dahulu. Tambahan pula, pemindahan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) ke kawasan Kong Kong serta pembangunan pesat di Cahaya Baru dan Tiong Nam menjadikan Tiram sebagai sebuah bandar raya baharu yang dinamik.
”Saya melihat ianya bergerak ke arah pembangunan dan pembaharuan yang begitu ketara… Ia melibatkan lebih kurang 117,000 lebih pengundi dan ini adalah satu tugas (task) yang amat besar kepada saya jika sekiranya diberi mandat pada 11 hari bulan Julai 2026 ini,” jelas beliau lagi.
Menyedari impak pertumbuhan ekonomi yang pantas melalui Zon Ekonomi Khas, beliau menegaskan bahawa perancangan awal infrastruktur adalah kritikal bagi mengelakkan masalah yang dihadapi masyarakat setempat, khususnya isu kesesakan lalu lintas.
Beliau turut memuji usaha Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi yang menerajui kajian penyuraian trafik (traffic dispersal) demi memastikan kemudahan infrastruktur seiring dengan kepesatan pembangunan.
Abdul Halim berharap, dengan mandat yang bakal diberikan oleh pengundi, beliau dapat menterjemahkan segala pengalaman lalu untuk memastikan kesan limpahan ekonomi di DUN Tiram dapat dinikmati sepenuhnya oleh segenap lapisan masyarakat, termasuk komuniti kampung, nelayan, orang asli, dan penduduk bandar.
#PRNJohor #DUNTiram #AnakJatiTiram #halimanaktiram #SembangKopiAAC #KestabilanDemiMasaDepan
