Day: June 20, 2026

KUALA LUMPUR – Menjelang hari penamaan calon yang berbaki beberapa hari sahaja lagi, situasi dalaman parti politik mula hangat apabila timbul desas-desus mengenai isu “merajuk” dan “ugut-mengugut” dalam kalangan pemimpin yang mahu dicalonkan.

​Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan secara terbuka mengingatkan para pemimpin parti, terutamanya di peringkat bahagian, agar mengetepikan kepentingan peribadi dan menilai kemampuan diri sendiri sebelum berhasrat menjadi calon.

​Beliau menegaskan, kriteria pemilihan calon kali ini perlu diperketatkan berdasarkan merit, populariti dalam kalangan rakyat, gerak kerja digital, serta komitmen turun padang, dan bukannya diberikan secara automatik atas tiket jawatan parti.

​”Jangan ingat kamu Ketua Bahagian, (pencalonan) itu automatik. Boleh menang ke tidak? Ada seorang Ketua Bahagian ni saya ingat lagi dia kata, ‘Aku tak kisah, aku nak dalam hidup aku sebelum aku mati, aku pernah jadi calon.’ Eh, apa benda yang korang cakap ni?” katanya dalam satu kenyataan.

​’Wali Kong’ & Ugutan Ketua Bahagian

​Mengulas mengenai pergolakan di beberapa negeri termasuk di Sabah, Dr Azam menyifatkan tindakan segelintir Ketua Bahagian yang cuba membuat ugutan demi mendapatkan tempat sebagai calon sebagai sesuatu yang merapik.

​”Saya nak beritahu yang dekat Sabah, merapiklah. Itu bukan wali, itu ‘wali kong’. Saya tak nak sebut namalah. Ketua Bahagian ugut… padahal rekod saya pun tak faham. Kita nak menang ke nak jaga hati Ketua Bahagian?” soal beliau tegas.

​Guna Syarat Aktif Media Sosial & Kehadiran Subuh

​Bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN), Dr Azam mencadangkan agar Presiden dan pucuk pimpinan parti meletakkan syarat ketat berasaskan prestasi nyata (KPI). Antaranya termasuklah keaktifan di platform media sosial seperti TikTok dan Facebook serta komitmen program keagamaan seperti ‘Semarak Subuh’ yang dipelopori di Johor.

​Beliau turut memuji kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan beberapa wakil rakyat seperti Pak Andak (kehadiran Semarak Subuh 98.9%) serta Jafni Hairi yang disifatkannya sebagai penanda aras terbaik.

​”Bagi saya, kalau saya Presiden, syarat saya ialah tengok Facebook kamu aktif, TikTok semua buat, Instagram buat. Bercakap apa yang dibuat.

​”Lagi satu, attendance Semarak Subuh. Kalau attendance 80 peratus ke bawah ni, tak payahlah. Yang pakai-pakai calon tu, yang berangan tu, tengoklah muka dulu,” katanya lagi.

​Sindrom Dendam Kesumat Hancurkan Parti

​Dalam pada itu, Dr Azam turut menghantar amaran keras bahawa musuh sebenar yang sering menumbangkan calon UMNO dan BN bukanlah pihak lawan, melainkan sikap khianat daripada ahli parti itu sendiri akibat dendam.

​”Yang mengalahkan calon-calon UMNO dan Barisan Nasional ni bukan orang lain, tapi orang parti sendiri. Dendam kesumat yang lebih itu sendiri.

​”Kita bersatu hatilah, jangan tamak semua, jangan ada hasad dengki. Fokus kita sekarang adalah untuk PRU16 bagi mengembalikan kuasa,” ujarnya mengakhiri bicara.

#PolitikMalaysia #UMNOBN #PRU16 #DrAzamRauzan #BeritaAAC