
KUALA LUMPUR – Ahli politik di Malaysia didakwa gemar mengeluarkan kenyataan yang ‘merapu’ di khalayak awam disebabkan tabiat buruk mereka yang malas membaca dan tidak berpijak pada kajian data yang sahih.
Kritikan pedas itu disuarakan oleh penganalisis serta aktivis media, Dr Azam Rauzan, dalam satu sesi perbincangan panas bersama pakar penyelidik media sosial, Dr Norman Sapar, baru-baru ini.
Menurut Dr Azam, kelemahan utama parti politik, khususnya UMNO dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 yang lalu, adalah disebabkan kegagalan total dalam menguasai naratif digital, selain sikap acuh tak acuh jentera yang diberikan peruntukan besar.
“Politician di Malaysia ni dia banyak merapu… Sebab apa? Politician ni memang tak baca (buku).
“Kita tengok hari ini jentera komunikasi strategi ada yang menjahannamkan parti, seperti apa yang berlaku dalam fasa pasca PRN Johor dan sebagainya. Kadang-kadang terkontang-kanting Presiden kita bercakap sendirian di depan, tapi jentera di belakang tidak membela,” katanya dengan nada kesal.
Isu Jentera ‘Makan Gaji Buta’ Jutaan Ringgit
Lebih mengejutkan, Dr Azam mendedahkan terdapat ketidakadilan yang berlaku dalam ekosistem jentera propaganda media sosial hari ini, di mana ‘players’ yang dibayar dengan dana yang besar didakwa gagal berfungsi dengan baik.
“Kita gagal PRU 2018 dan PRU15 kerana kita tak ada players yang betul-betul buat kerja. Ada players yang dibayar juta-juta, ratusan ribu, semua tak buat kerja!
“Padahal orang-orang media alternatif seperti ‘Sembang Kopi’ dan ‘The Street Media’ ni, kesian mereka… datang naik bas, minta duit (dana kecil). Ini kelemahan yang jentera negeri termasuk UMNO Johor harus lihat. Mereka ini (media jalanan) sangat penting,” tegas beliau lagi.
Buku ‘Persepsi’: Ekstrak Tesis 30 Tahun Pengalaman Tumpangkan Strategi ‘Try and Error’
Menyokong kenyataan tersebut, Dr Norman Sapar menjelaskan bahawa landskap media sosial politik tanah air ketika ini bergerak tanpa hala tuju dan panduan yang jelas. Kebanyakan pengendali media sosial hanya mengejar angka ‘likes’ dan algoritma semata-mata, tanpa memahami psikologi sebenar pengundi.
“Masing-masing semua kejar algoritma, masih melihat angka (likes/views) sebagai prestasi. Tapi sebenarnya itu hanya reaksi. Orang memberi reaksi, tetapi untuk membina keyakinan pengundi, ia memerlukan konsistensi,” jelas Dr Norman.
Menyifatkan naskhah terbaharu bertajuk ‘Persepsi: Perang Politik Media Sosial’ sebagai rujukan utama dan paling komprehensif yang pernah diterbitkan di Malaysia, Dr Norman menyatakan buku tersebut ditulis bersama pakar-pakar industri termasuk Dr Noor Azizan Majid dan Dr Abdul Razak yang mempunyai pengalamam lebih 20 hingga 30 tahun.
“Buku ini adalah ekstrak daripada tesis saya yang mengkaji secara mendalam tentang intention (niat/kehendak) pengguna media sosial. Kita kaji posting yang macam mana yang akan membuatkan netizen buat engagement dengan orang politik.
”Sebelum ini semua orang buat kerja secara try and error, tak ada kajian saintifik. Buku ini menamatkan zaman teka-teki itu,” tambah Dr Norman lagi.
Cadangan Wajibkan Di Peringkat Akar Umbi
Melihat kepada impak besar buku tersebut yang turut membedah personaliti politik kontemporari seperti Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dari sudut mobilisasi emosi dan identiti, Dr Azam Rauzan mencadangkan agar kepimpinan tertinggi parti mewajibkan naskhah ini dibaca di peringkat akar umbi.
“Bagi sayalah, kalau saya Presiden, setiap biro penerangan bahagian dan cawangan saya dah agihkan buku ini. Baca buku, dan saya akan buat pertandingan. Siapa jentera yang paling aktif dan paling banyak buat kerja berdasarkan formula buku ini, kita bagi ganjaran. Kita kalah sebelum ini pun kerana persepsi,” akhiri Dr Azam.
#PerangPersepsi #PolitikMediaSosial #JenteraMerapu #TheStreetMedia #MediaAAC
