Day: June 21, 2026

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mendedahkan bahawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke didakwa memperdaya dirinya berhubung penyelesaian kos guaman kes saman fitnah melibatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

​Menurut Jamal, kegagalan Menteri Pengangkutan itu menunaikan janji menyebabkan beliau terpaksa menanggung kos guaman berjumlah RM66,061.85, selain berdepan risiko 14 harta alih dari kediamannya dilelong. Beliau menyifatkan Anthony Loke sebagai seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai kerana gagal menyelesaikan isu luar mahkamah seperti yang dijanjikan sebelum ini.

​“Anthony Loke seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai. Kes ini kecil sahaja, tapi dia tak boleh nak selesaikan sedangkan dia janji dengan saya.

​“Malangnya janji Anthony Loke hanya tinggal janji dan akhirnya saya terpaksa lelong selipar dan tuala untuk membayar kos tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

​Megat Zulkarnain Jadi Saksi Janji

​Jamal turut mendakwa bahawa komitmen yang diberikan oleh Loke itu disaksikan sendiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin. Malah, terma penyelesaian tersebut telah ditulis oleh peguamnya kepada peguam Teresa Kok.

​Rentetan kegagalan itu, Jamal menyifatkan kepimpinan DAP sebagai tidak mengotakan janji yang diberikan kepada rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan. Beliau turut meluahkan rasa terkilan kerana sumbangan UMNO dan penyokongnya yang membantu kemenangan calon DAP dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini seolah-olah tidak dihargai.

​“Jadi rakyat Malaysia jangan percaya dengan DAP, inilah sebenarnya gambaran DAP dan Teresa Kok dengan cara dia. Walaupun sudah dapat RM300,000 (saman fitnah) dan ketika pilihan raya lepas, walaupun UMNO bersama dengan dia dan ketika PRN UMNO bantu dia… tetapi akhirnya apa yang DAP buat?” soalnya lagi.

​Lelongan Harta Ditangguhkan

​Terdahulu, Jamal yang juga Ketua Komunikasi BN Selangor mengesahkan telah menjelaskan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,600 kepada Kok pada Sabtu lalu menerusi serahan cek sekitar jam 5 petang.

​Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Kok mengesahkan penerimaan cek tersebut, sekali gus menyaksikan lelongan awam terhadap 14 harta alih di kediaman Jamal yang dijadualkan pada 22 Jun ini ditangguhkan buat sementara waktu bagi menunggu pelepasan (clearence) cek berkenaan.

​Sebelum ini, Mahkamah Tinggi pada 12 Jun lalu telah menolak permohonan tuntutan interplider oleh anak lelaki Jamal, Muhammad Amin Daniel, yang mendakwa barangan disita di kediaman Ampang Jaya tersebut adalah miliknya.

​Imbas kembali kes ini, pada 26 Julai 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa Kok selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada Mac 2017. Ganti rugi utama tersebut bagaimanapun telah diselesaikan oleh Jamal sebelum ini.

#BeritaAAC #JamalYunos #AnthonyLoke #SamanFitnah #PolitikMalaysia