Day: June 28, 2026

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak melakukan tindakan sabotaj atau “membentes kaki” calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Sebaliknya, seluruh jentera perlu mengamalkan konsep “Sami’na wa ato’na” (kami dengar dan kami akur) demi memastikan kemenangan mutlak parti.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menegaskan bahawa BN Johor telah meletakkan formula terbaik dengan mempertaruhkan 56 calon di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi misi mempertahankan kerajaan dengan majoriti dua pertiga.

​Menurut beliau, komposisi calon yang diwakili oleh UMNO (36 kerusi), MCA (16 kerusi), dan MIC (4 kerusi) membuktikan bahawa perkongsian kuasa antara kaum bertunjangkan kesederhanaan tetap menjadi resipi terbaik untuk mentadbir Johor.

​”Amalan budaya ultra dan cauvinis tiada tempat di majoriti hati rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Bidas Satira Politik PH Terhadap Datuk Onn Hafiz

​Mengulas mengenai kepimpinan diterajui Datuk Onn Hafiz, Gulam Muszaffar membidas sekeras-kerasnya tuduhan kem Pakatan Harapan (PH) yang melabelkan pemimpin muda itu sebagai sombong, bongkak, dan tidak mengenang budi.

​Jelasnya, tuduhan tersebut hanyalah “satira politik” yang berniat jahat untuk membunuh karakter baik Menteri Besar Johor itu.

​”Tegas pada pendirian bukan bermakna sombong, rajin bekerja dan turun padang bukan bukti retorik, menjaga kebajikan rakyat bukan bermaksud mencari undi. Yang saya kenal sangat dengan beliau, sifat ikhlas dan niat fisabilillah adalah prinsip kepimpinan beliau,” ujar beliau lagi.

“Dah Ada Permata, Jangan Cari Batu Akik”

​Beliau turut menitipkan pesanan analogi kepada seluruh pengundi di Johor agar tidak tersilap memilih dalam menentukan masa depan negeri.

​”Nasihat buat pengundi Johor, anda sudah ada permata berkilau di dalam tangan, jangan dibuang dan tidak perlu lagi mencari batu akik di sungai yang ingin dicanai menjadi permata,” katanya yang mengakhiri kenyataan dengan slogan “Kita Kasi Onn”.

​Proses penamaan calon bagi PRN Johor yang selesai semalam menyaksikan persaingan sengit melibatkan pertandingan 2, 3, 4, dan 5 penjuru dengan jumlah keseluruhan 172 calon bakal merebut tempat di 56 DUN.

#PRNJohor #KitaKasiOnn #BarisanNasional #PolitikMalaysia #BeritaAAC

BENUT, 28 Jun 2026 — Kepimpinan dan prestasi cemerlang Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dalam memacu agenda pembangunan negeri menerima pengiktirafan dan sokongan padu daripada masyarakat akar umbi, yang menyifatkan jawatan beliau wajar dikekalkan demi kesinambungan kemakmuran negeri.

​Menurut salah seorang tokoh tempatan dari Kampung Kawasan 11, Mukim Benut, Haji Ahmad Jahya bin Damiran, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Menteri Besar sepanjang menerajui pentadbiran telah memberikan impak yang sangat positif kepada seluruh rakyat Johor.

​Beliau berkata, di bawah pentadbiran semasa, slogan dan hala tuju ‘Maju Johor’ bukan sahaja berjaya dicapai, malah kini berada pada landasan tepat untuk melonjakkan negeri ke arah sebuah fasa yang lebih makmur.

​”Sangat wajar (dikekalkan). Kerana selama ini beliau menjadi Menteri Besar Johor, beliau memberikan komitmen yang amat baik dan impak yang amat bagus kepada kemakmuran negeri Johor,” katanya ketika ditemui media AAC hari ini.

​Mengulas lanjut mengenai limpahan ekonomi negeri, Haji Ahmad Jahya menjelaskan bahawa pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan hasil negeri telah berjaya disalurkan secara telus kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

​Jelas beliau, agihan hasil negeri yang inklusif tersebut merangkumi bantuan kepada golongan asnaf, fakir miskin, anak-anak yatim, serta ibu tunggal (janda) di kawasan berkenaan.

​”Alhamdulillah, kerana hasil negeri dapat dikongsi bersama. Jadi, wajar beliau dikekalkan,” tambah beliau lagi yang menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan pihak kerajaan negeri. — Lensa AAC

#MajuJohor #MenteriBesarJohor #SuaraAkarUmbi #BenutMakmur #AACNews

BENUT, 28 Jun 2026 – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menyaksikan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Benut terus menyuarakan hasrat untuk mengekalkan tradisi kepimpinan sedia ada di bawah naungan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

​Menurut Ketua Kampung Kawasan 11 Mukim Benut, Haji Ahmad Jahya bin Damiran, sokongan padu terhadap parti tersebut telah lama menjadi pegangan serta pilihan utama penduduk di kawasan berkenaan.

​Beliau menyifatkan kemeriahan pelbagai acara dan program yang dianjurkan oleh kepimpinan parti sebelum ini membuktikan komitmen tinggi mereka terhadap kebajikan rakyat.

​”Kita meneruskan tradisi ini kerana dengan parti yang ada dan kekal sekarang ini, ia dapat memimpin, memerintah, mentadbir, dan menstabilkan semua masyarakat tanpa mengira apa jua sekalipun,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

​Mengulas mengenai calon nombor satu bagi kerusi DUN N53 Benut daripada Barisan Nasional, Dato’ Mohd Sumali Reduan, beliau menegaskan bahawa status beliau sebagai ‘anak jati Benut’ menjadi faktor dan kelebihan utama yang amat disenangi oleh penduduk tempatan.

​”Beliau adalah anak jati tempatan. Daripada kecil, sekolah, bersukan, dan sebagainya adalah di tempat ini. Itu mungkin menjadi pilihan utama (penduduk).”

​Dalam masa yang sama, Haji Ahmad turut menyokong penuh kepimpinan Dato’ Sumali demi kelangsungan kemakmuran negeri.

#PRNJohor #DUNBenut #MajuJohor #BarisanNasional #AACNews

BENUT, JOHOR, 26 Jun 2026 – Barisan Nasional (BN) Johor menegaskan kesediaan untuk bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) ini.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepimpinan BN Johor menyatakan bahawa keputusan ini diambil berdasarkan manifesto dan kajian menyeluruh yang menunjukkan bahawa sokongan terhadap BN masih kukuh di setiap pelusuk negeri.

Menurut Ahmad Zahid, BN Johor tetap komited untuk mengekalkan momentum perkhidmatan cemerlang kepada rakyat. Meskipun sedia menjalin kerjasama dengan parti-parti lain, BN Johor percaya bahawa kekuatan akar umbi dan rekod prestasi yang baik akan menjadi tunjang utama kemenangan parti tersebut.

“Kami (Barisan Nasional) bertanding secara solo dan kami yakin dengan kekuatan jentera serta sokongan rakyat di Johor,” ujar kenyataan tersebut.

Walaupun spekulasi mengenai kerjasama politik sering timbul, BN Johor tetap berpegang teguh pada keputusan untuk memastikan masa depan negeri terus terbela di bawah kepimpinan yang terbukti berkesan.

Langkah ini dilihat sebagai strategi BN Johor untuk mengukuhkan kedudukan dan memastikan kesinambungan pembangunan negeri yang telah dirancang.

#BNJohor, #PRNJohor, #JohorBangkit, #PolitikMalaysia, #BeritaAAC

PONTIAN, 28 Jun 2026 – Barisan Nasional (BN) menepis dakwaan sesetengah pihak, termasuk kenyataan di media sosial yang mendakwa gabungan itu mempertaruhkan ‘calon kitar semula’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Sebaliknya, BN membawa formula ampuh yang menggabungkan pelbagai latar belakang dan sudut kepakaran demi memenangi hati rakyat.

​Menurut jurucakap kepimpinan BN, strategi pemilihan calon kali ini dibuat secara inklusif dengan mengambil kira keseimbangan yang dinamik antara elemen calon baharu, golongan muda, wanita, kepelbagaian kaum, veteran, serta kumpulan profesional.

Formula ‘Pelbagai Sudut’ Taruhan BN

Menjelaskan mengenai formula tersebut, gabungan jentera di Johor ini telah menampilkan tokoh-tokoh daripada pelbagai bidang profesional termasuk peguam, doktor, jurutera, dan juga tokoh sukan tempatan bagi memastikan suara setiap lapisan masyarakat dapat diwakili dengan berkesan.

​Sebagai contoh, di DUN Benut, BN mempertaruhkan Datuk Mohammad Seri Riduan, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia yang juga memegang ijazah sarjana (Master) dalam bidangnya. Sementara itu, di DUN Pulai Sebatang, BN menampilkan seorang figura profesional profesional iaitu Hajah Hasrunizah Hassan, seorang jurutera yang mempunyai pengalaman berkhidmat selama 22 tahun bersama Jabatan Kerja Raya (JKR).

Keyakinan Sapu Bersih Parlimen Pontian

Melihat kepada komposisi calon yang mantap, BN menyatakan keyakinan tinggi untuk memenangi kesemua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Pontian, iaitu DUN Pekan Nanas, DUN Kukup, DUN Pulai Sebatang, dan DUN Benut.

​Keseimbangan itu jelas kelihatan apabila BN meletakkan calon daripada masyarakat Cina di Pekan Nanas, calon wanita di Pulai Sebatang, serta calon Melayu di DUN yang lain, sekaligus mencerminkan kepelbagaian kaum yang harmoni di daerah tersebut.

Sokongan Padu Jentera Negeri

Selain fokus utama di parlimen Pontian, gerak kerja kempen BN turut diperhebat ke kawasan-kawasan lain termasuk kawasan Parlimen Pagoh bagi membantu jentera tempatan. Kepimpinan parti menegaskan bahawa fokus utama sepanjang 14 hari tempoh berkempen adalah turun padang membantu calon-calon lain bagi memastikan kemenangan mutlak gabungan itu demi kestabilan masa depan negeri Johor.

#PRNJohor #BarisanNasional #PolitikJohor #BeritaAAC