Day: June 26, 2026

​KUALA LUMPUR – Isu kebanjiran warga asing khususnya etnik Rohingya di negara ini memerlukan perhatian serius dan penelitian mendalam daripada pihak kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian yang tumpat dan tuntas.

​Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kehadiran golongan tersebut pada awalnya dilihat atas dasar kemanusiaan sebagai pelarian, namun jumlahnya yang kini didakwa mencecah hampir 210,000 orang menuntut tindakan yang lebih strategik.

​Menurut beliau, antara langkah yang boleh diambil adalah meneroka peluang untuk menempatkan mereka ke negara ketiga atau mengadakan rundingan diplomatik bersama negara asal mereka untuk proses penghantaran pulang.

​”Kita ingin membantu mereka (pada mulanya), tetapi oleh kerana dah ramai sangat, kita terpaksa pula cari negara ketiga yang nak menerima mereka, ataupun beritahu pada negara mereka balik untuk mengambil semula rakyat mereka. Itu caranya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

​Mengulas mengenai penglibatan etnik itu dalam kes-kes jenayah di dalam negara, beliau mengesahkan perkara tersebut sememangnya berlaku. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab menangani isu ini tidak seharusnya diletakkan di bahu pihak polis semata-mata.

​Jelasnya, biarpun pihak polis mempunyai kuasa dari segi penguatkuasaan undang-undang, peranan masyarakat dan aspek kebajikan juga amat penting dalam membantu mempermudahkan proses pemulangan mereka.

​”Kalau kita dengan penguatkuasaan sahaja, kita hantar jel (penjara) sajalah, tahan sajalah… tetapi ia tidak akan ke mana. Sepatutnya kita beri mereka peluang untuk pulang balik ke negara mereka atau memikirkan bagaimana cara terbaik menyelesaikan masalah ini,” tambah beliau lagi.

#IsuRohingya #MusaHassan #PelarianMalaysia #KeselamatanNegara #BeritaAAC

​BENUT, PONTIAN 26 Jun 2026 – Keutuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat akar umbi terus berdepan ujian besar apabila sekumpulan besar ahli-ahli muda parti itu di kawasan Benut dan Pontian mengumumkan keluar parti untuk menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).

​Keputusan tersebut dibuat secara sukarela menerusi satu majlis penyerahan borang keahlian UMNO yang diserahkan kepada Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, baru-baru ini.

​Menurut salah seorang bekas pemimpin muda Bersatu yang juga bekas Ketua Armada Bersatu Bahagian Pontian, tindakan itu telah lama direncanakan berikutan pelbagai pergolakan dan ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kepimpinan Bersatu sendiri.

​”Kami golongan muda di Pontian berasa agak berkecamuk dengan keadaan (dalam Bersatu). Sehinggalah tertubuhnya NGO seperti Reset dan Wawasan Negara, kami melihat arah tuju parti semakin cacamrba, ditambah pula dengan putusnya hubungan antara Bersatu dengan PAS.”

​”Kami melihat kestabilan itu tiada lagi. Sebaliknya demi UMNO dan BN Johor, serta demi Menteri Besar Johor, kami anak-anak muda dan bekas-bekas Armada Pontian mengambil keputusan matang untuk kembali menyokong UMNO bagi memastikan kestabilan politik negara terus kekal,” katanya dalam satu temubual.

​Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam ucapannya menzahirkan rasa penghargaan yang tinggi atas solidariti dan keberanian anak-anak muda terbabit yang memilih untuk kembali memartabatkan perjuangan agama, bangsa, dan tanah air (ABATA) bersama UMNO.

​Beliau turut menegaskan bahawa sebahagian besar gerak kerja pembangunan di kawasan tersebut, termasuk kemudahan jalan raya, klinik, serta sekolah, adalah hasil usaha dan sumbangan berterusan daripada kepimpinan UMNO sebelum ini.

​Majlis tersebut turut dihadiri oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N53 Benut, Dato’ Mohd Sumali Reduan, yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

​Dengan ketiadaan calon daripada PAS di DUN Benut dan DUN Pulai Sebatang, kepimpinan UMNO Johor menaruh keyakinan tinggi bahawa undi masyarakat Melayu tidak akan berpecah, sekali gus mampu menjamin kemenangan mutlak bagi kedua-dua calon BN pada 11 Julai ini.

#PRNJohor #PolitikMalaysia #UMNOJohor #BarisanNasional #AnakMudaBangkit

​KUALA LUMPUR – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan kini mencetuskan persoalan besar serta digambarkan seumpama teka-teki “antara ayam dan telur”, berbeza dengan kelancaran proses pembubaran yang berlaku di Johor sebelum ini.

​Perkara itu dikongsi dalam satu ulasan susulan ketiadaan sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan selepas mesyuarat melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini. Situasi ini memberi bayangan bahawa masih terdapat isu tertunggak yang gagal diselesaikan antara pihak-pihak terlibat.

​Perbezaan ketara dapat dilihat di Johor, di mana wujudnya kerjasama erat dan kesepaduan antara pihak kerajaan dan pihak istana, membolehkan pengisytiharan pembubaran DUN berjalan dengan lancar tanpa sebarang pertikaian atau perselisihan pendapat. Keadaan ini amat berbeza dengan situasi politik semasa di Negeri Sembilan.

​Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyatakan DUN Negeri Sembilan juga perlu dibubarkan sekiranya Johor bertindak demikian, ulasan tersebut menyifatkan ia hanyalah sekadar laungan politik semata-mata untuk membangkitkan semangat ahli. Hakikatnya, beliau didakwa tidak mempunyai kuasa mutlak untuk melakukan tindakan sedemikian.

​Dari sudut pandangan peribadi penganalisis, isu pembubaran DUN sebenarnya adalah lebih mudah berbanding isu pertukaran kerajaan. Sekiranya pertukaran kerajaan ingin dilakukan, ia memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang mana baginda dilaporkan tidak mahu berjumpa dengan pihak yang menguasai jumlah majoriti DUN pada ketika ini.

​Kemelut ini bertambah rumit apabila Negeri Sembilan kini diterajui oleh apa yang dipanggil sebagai ‘kerajaan minoriti’. Keberadaan kerajaan minoriti ini dipersoalkan keberkesanannya dalam menstabilkan ekonomi negeri serta memberikan keyakinan kepada pelabur luar, memandangkan mereka tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk menerajui kerajaan dengan kukuh.

​Dalam pada itu, tindakan PH yang mempertahankan kedudukan mereka di Negeri Sembilan dilihat berpunca daripada sangkaan bahawa negeri tersebut, bersama-sama Pulau Pinang, merupakan ‘deposit tetap’ (fix deposit) bagi mereka. Walaupun PKR hanya mempunyai lima kerusi di Negeri Sembilan manakala selebihnya dikuasai DAP, mereka tetap mendakwa negeri itu sebagai kubu kuat mereka.

​Sementara itu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) pula dilihat mengambil pendirian berbeza dengan tidak mengejar kuasa, sebaliknya memilih untuk berada dalam kerajaan sedia ada demi kestabilan. Isu utama yang menjadi perjuangan UMNO pada masa ini adalah bagi menangani isu ketidakpatuhan dan pelanggaran terhadap Adat Perpatih yang menjadi undang-undang asas di Negeri Sembilan.

​Tindakan UMNO tampil mempertahankan institusi kesultanan dan Adat Perpatih ini meletakkan mereka sebagai ‘pejuang rakyat’, berbanding PKR yang dilihat seolah-olah ‘gila kuasa’ kerana masih mahu menjadi kerajaan dan bersandar kepada kuasa Sultan, walaupun hanya memiliki 17 kerusi dan tidak mencapai majoriti mudah.

#PolitikNegeriSembilan #PembubaranDUN #BeritaAAC #KemelutPolitik #AdatPerpatih

KUALA LUMPUR – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini bukanlah satu kejutan besar bagi pemerhati politik, sebaliknya ia merupakan satu percaturan langkah yang sangat strategik dan ‘kena pada masanya’ ketika blok pembangkang sedang berada dalam keadaan paling rapuh.

​Meskipun ramalan awal menjangkakan DUN Melaka yang akan dibubarkan terlebih dahulu, keputusan mendahului oleh Johor ini membuktikan kesediaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri yang kini berada pada kedudukan yang sangat kukuh dan dominan untuk memimpin semula.

Strategi ‘Serang Waktu Lemah’

Sebelum pembubaran rasmi diumumkan, ‘angin kencang’ mengenai perkara ini telah pun bertiup, termasuk semasa konvensyen Pakatan Harapan (PH). Pihak lawan dilaporkan sempat memberi gertakan keras agar DUN Johor tidak dibubarkan, malah mengancam akan membubarkan DUN Negeri Sembilan sebagai tindak balas. Isyarat amaran tersebut seolah-olah mendedahkan ketakutan tersirat pihak pembangkang terhadap kekuatan BN Johor. Dalam seni peperangan politik, langkah terbaik adalah menyerang balas di saat pihak lawan sedang mengalami pecahan dalaman.

Aura ‘Bosku’ & Faktor Kejayaan Dato’ Onn Hafiz

Kemenangan besar BN dengan memperoleh 40 kerusi pada PRN Johor 2022 lalu tidak boleh dinafikan berkait rapat dengan momentum serta aura ‘Bosku’ yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak. Walaupun beliau kini berada di penjara, impak dan kerinduan para pengundi serta penyokong tegar terhadap aura beliau dipercayai masih menebal dan bakal menjadi pemacu emosi pengundi dalam PRN kali ini.

​Selain itu, prestasi mampan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi, turut menjadi sandaran utama. Corak kepimpinan beliau bukan sahaja disenangi masyarakat Melayu, malah merentas kaum termasuk komuniti Cina dan India. Di bawah pentadbiran beliau, Johor berjaya memacu ekonomi dengan rekod kelulusan pelaburan melebihi RM100 bilion, sekali gus meletakkan Johor sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Fokus Beralih Kepada Kebajikan & Kos Sara Hidup

Bagaimanapun, dinamika PRN kali ini bakal membawa corak pertimbangan yang berbeza buat pengundi. Fokus rakyat Johor kini beralih sepenuhnya kepada isu kemaslahatan domestik dan kebajikan. Isu-isu mendesak seperti kenaikan harga minyak, lonjakan kos barang keperluan, isu pemilikan rumah, serta jaringan pengangkutan awam akan menjadi kayu ukur utama rakyat dalam memilih kerajaan.

Keretakan Blok Pembangkang Beri Kelebihan Mutlak BN

Satu faktor terbesar yang memberi kelebihan kepada sasaran BN untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN adalah perpecahan total di kem pembangkang. PKR kini dilihat goyah akibat pertembungan strategi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Serangan Bersatu yang kini beralih ke kawasan tradisi PKR dijangka akan memecahkan undi asas mereka sendiri, terutamanya di kawasan bandar dan marginal yang sebelum ini dikuasai oleh PH dan DAP.

​Situasi di dalam Perikatan Nasional (PN) juga tidak kurang hebatnya apabila hubungan PAS dan Bersatu dilaporkan retak menanti belah, dengan desas-desus kuat mengatakan PAS bakal keluar daripada gabungan tersebut. Sekiranya perkara ini berlaku, sokongan pengundi terhadap Bersatu akan lumpuh sepenuhnya. Senario pecahan undi ini membuka peluang keemasan bagi Barisan Nasional untuk merampas semula kerusi-kerusi yang dahulunya dimenangi pihak lawan dengan majoriti tipis.

#PRNJohor #AuraBosku #PolitikJohor #OnnHafiz
#BeritaAAC

​JOHOR BHARU– Pengumuman senarai calon Barisan Nasional (BN) baru-baru ini disifatkan sebagai satu kombinasi yang mantap dan seimbang di antara muka lama yang berpengalaman dengan muka-muka baru yang bertenaga.

​Menurut seorang pemimpin veteran BN, gabungan ini amat penting bagi memastikan kesinambungan parti pada masa akan datang, memandangkan parti tidak boleh hanya bergantung kepada satu-seatu kelompok sahaja.

​”Kombinasi di antara orang lama dengan orang baru adalah baik. Kita tidak mahu semua orang muda tanpa orang lama, dan kita juga perlukan orang muda kerana mereka adalah kesinambungan parti kita pada masa akan datang.

​”Orang muda memerlukan pengalaman daripada orang lama, manakala orang lama juga memerlukan tenaga daripada orang muda,” katanya ketika mengulas mengenai senarai calon BN yang diumumkan baru-baru ini.

​Beliau yang juga menyedari perubahan landskap politik semasa turut mengingatkan para calon agar memperkasakan gerak kerja dan bersiap sedia mendepani cabaran kempen era digital.

​”Zaman sekarang sudah berbeza, orang sudah pakai IT. Namun, pendekatan lama seperti berjumpa secara bersemuka (face-to-face) harus diteruskan kerana pengundi mahukan sentuhan peribadi (personal touch) daripada calon.

​”Ia bukan kerja yang mudah, ia kerja yang berat. Tetapi insya-Allah, dengan niat yang baik, kita akan mencapai kejayaan besar, lebih daripada apa yang kita perolehi sebelum ini,” tambahnya lagi yang turut memfokuskan gerak kerja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ensau dan DUN Tenggaroh.

#PilihanRaya #BarisanNasional #PolitikMalaysia #CalonBN #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 26 Jun 2026 – Perikatan Nasional (PN) didakwa kini berada dalam keadaan rapuh dan ‘terbelah tiga’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, susulan pengumuman calon yang dibuat secara berasingan oleh parti-parti komponennya malam tadi.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan situasi yang berlaku dalam kem PN sebagai sesuatu yang pelik dan ‘caca marba’ berbanding kesatuan yang ditunjukkan oleh Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

​Menurut beliau, tindakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan calon secara bersendirian mencerminkan tiada konsensus dalam gabungan tersebut. Malah, gabungan itu sekadar mempertaruhkan 33 calon daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

​Beliau turut mempersoalkan ketiadaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Wawasan dalam senarai bertanding, yang mencetuskan tanda tanya mengenai strategi PN untuk menarik sokongan masyarakat bukan Melayu.

​”Nak tanya, Gerakan tidak berani untuk lawan MCA atau DAP ker yang kerusinya majoriti kaum Cina? Macam mana PN nak wakil masyarakat Cina di DUN jika berjaya tubuh kerajaan dengan majoriti mudah 29 kerusi? Sebenarnya Gerakan sudah lama tahu, PN bagi kerusi bakal ‘kena sembelih’ yang boleh hilang deposit,” katanya.

​Mengulas lanjut, Gulam mendakwa Parti Wawasan mengambil keputusan untuk tidak bertanding ekoran rasa kecewa selepas mendakwa kerusi-kerusi idaman mereka telah ‘disailang’ oleh PPBM.

​Keadaan menjadi lebih parah apabila konflik dalaman mula meletus di fasa awal kempen, menyaksikan sayap pemuda Bersatu (Armada) dilaporkan mula menyerang kem Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan tuduhan mengamalkan “politik dinosaur”.

​Gulam menyelar tindakan Armada tersebut yang dianggap keterlaluan dan seolah-olah terlupa bahawa usia Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri kini sudah mencecah hampir 80 tahun—menyamai usia penubuhan UMNO.

​Sambil menegaskan bahawa kestabilan politik di bawah teraju Barisan Nasional sebelum ini wajar dipertahankan demi masa depan Johor, Gulam merumuskan PN kini sudah berpecah kepada tiga faksi utama iaitu PN-PAS, PN-PPBM, dan PN-Wawasan.

​”Harta sepencarian sebelum ini telah selesai diagih tetapi masih lagi berebut saki baki. Bagi BN Johor, kepada Allah SWT kita berserah. On x On! Kita kasi ONN!” tegas beliau menutup kenyataan.

#PRNJohor2026 #PolitikJohor #PerikatanNasionalBerpecah #PortalBeritaAAC #KestabilanMasaDepan