Day: June 29, 2026

KUALA LUMPUR – Pelancaran Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia semalam mencetuskan riak tidak puas hati dalam kalangan pimpinan UMNO, yang menyifatkan barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) cuba “mencuri kredit” dan memadam jasa Barisan Nasional (BN).

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menerusi satu kenyataan tegas membidas kehadiran Perdana Menteri (PMX), Menteri Besar Selangor, dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang dilihat bangga meraikan kejayaan projek berkenaan tanpa mempedulikan pengasas asalnya.

​Menurut Gulam, projek mega demi rakyat itu sebenarnya telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Ogos 2016, ketika Selangor di bawah teraju pembangkang yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

​”Ada Najib Razak kisah perbezaan politik? Yang penting rakyat Selangor mendapat manfaat dari projek LRT3 Shah Alam ini.

​Semalam dalam pelancaran tersebut tiada langsung ayat ucapan terima kasih kepada Najib Razak atas inisiatif yang dimulakan oleh beliau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

​”Indah Disenyapkan, Buruk Digemburkan”

​Gulam turut menyifatkan kegagalan pimpinan sekarang menghargai usaha kerajaan terdahulu sebagai satu lumrah politik kem PH yang didakwanya bersikap “hipokrit tahap dewa”.

​Beliau turut mengaitkan situasi tersebut dengan kenyataan kiasu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini yang menggambarkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ibarat “neraka”, yang menurutnya mencerminkan rasa cemburu terhadap hasil kerja BN.

​”Inilah perangai pemimpin-pemimpin PH yang mana-mana ‘indah dan cantik’ dari BN disenyapkan tetapi yang ‘busuk dan buruk’ digemburkan macam mereka ibarat malaikat yang tiada dosa.

​Oleh itu, hati-hati dengan puak ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’ yang suka mencuri dan claim hasil kerja orang lain,” tambahnya lagi.


​Mengakhiri kenyataan, Gulam menegaskan bahawa rakyat kini sudah bijak dan mampu menilai sendiri barisan pimpinan mana yang benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan kebajikan rakyat serta pembangunan negara.

#LRT3ShahAlam ​#GulamMuszaffar #NajibRazak #PolitikMalaysia #BeritaAAC

​JOHOR BAHRU – Pemimpin dan ahli UMNO, khususnya yang tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya akan datang, digesa untuk tidak ‘meroyan’ atau meluahkan kekecewaan secara keterlaluan sehingga boleh merosakkan imej diri dan parti.

​Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan menegaskan bahawa tindakan meluahkan protes atau kekecewaan selepas digugurkan adalah satu bentuk penghinaan dalam kerjaya politik seseorang. Sebaliknya, beliau meminta semua pihak untuk menerima keputusan tersebut dengan reda sebagai sebahagian daripada takdir.

​”Meroyan tak dapat calon ini bagi saya satu penghinaan dalam politik. Kalau nama tidak ada, jangan meroyan. Kita kena terima takdir Allah. Maksudnya, kalau tidak jadi (calon), tidak jadilah,” katanya.

​Beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya yang pernah digugurkan selepas hanya sepenggal berkhidmat sebagai Wakil Rakyat (YB). Bagaimanapun, beliau memilih untuk kekal tenang dan istiqamah dalam perjuangan parti tanpa mencetuskan sebarang kekecohan.

​Mengulas lanjut, Dr Azam mengingatkan bahawa prestasi kerja yang cemerlang bukanlah jaminan mutlak untuk seseorang kekal dicalonkan, memandangkan jawatankuasa pemilihan juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Oleh itu, beliau menasihatkan para pemimpin yang terkesan agar tidak memuat naik hantaran yang mengundang kontroversi di media sosial.

​”Jangan buat kenyataan seperti ‘jangan hantar anak’ atau buat posting mempertikaikan kenapa bapa menang Ketua Bahagian tetapi tidak dapat (pencalonan). Don’t spoil your future in politics (Jangan rosakkan masa depan anda dalam politik).

​”Bila kita bertindak balas (retaliate), kita akan lagi merosakkan imej sendiri. Jangan lagi membuka ruang dan membalas,” katanya lagi.

​Dalam masa yang sama, Dr Azam turut menyeru jentera parti agar tidak mudah melatah dengan sebarang provokasi pihak lawan sepanjang tempoh dua minggu menjelang hari pengundian bagi mengelakkan manipulasi sentimen negatif oleh pihak luar.

#UMNO #PolitikMalaysia #DrAzamRauzan #PRNJohor2026 #BeritaAAC

PONTIAN , 28 Jun 2026– Kawasan Tampok Laut sedia diangkat sebagai salah satu produk dan kawasan tumpuan pelancongan utama bagi Parlimen dan Daerah Pontian menerusi penganjuran program-program berimpak tinggi.

​Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan rasa penghargaan beliau kepada Kementerian Perpaduan, Jabatan Muzium, Warisan Johor, serta barisan Ketua Penghulu atas usaha meletakkan kawasan tersebut dalam peta program peringkat kebangsaan.

​Menurut beliau, keunikan daerah Pontian sebenarnya merangkumi kawasan yang luas bermula dari Tampok Laut sehinggalah ke Tanjung Piai, berbanding tanggapan umum yang sering kali hanya memfokuskan kepada Tanjung Piai semata-mata. Pihaknya komited untuk terus mempertingkatkan segala kemudahan dan fasiliti di kawasan tersebut demi memberikan manfaat ekonomi kepada penduduk kampung sekitar, khususnya di kawasan Benut.

​Selain berpotensi besar dalam sektor pelancongan, program yang dijalankan turut menjadi platform terbaik dalam mempromosikan kebudayaan dan kepelbagaian makanan unik warisan Johor seperti burasak dan lepat lue yang menjadi makanan signifikan di daerah tersebut.

​Pontian yang juga dikenali sebagai antara pengeluar kerang terbesar di Malaysia, diharap dapat terus memanfaatkan keistimewaan setiap daerah menerusi kerjasama pelbagai agensi bagi merancakkan lagi aktiviti promosi pelancongan dan warisan tempatan pada masa akan datang.

#PontianBest #PelanconganJohor #AhmadMaslan #WarisanJohor #BeritaAAC