Day: June 18, 2026

​KUALA LUMPUR – Pembatalan saat-akhir sambutan Hari Felda Kebangsaan yang sepatutnya berlangsung di Johor mencetuskan tanda tanya besar dan kemarahan dalam kalangan warga peneroka di seluruh negara.

​Isu tersebut turut mendapat reaksi lantang daripada Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, yang juga merupakan anak watan Felda Sri Jaya, Bukit Serampang. Beliau mendesak Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, untuk segera memecah kebisuan dan memberikan penjelasan telus kepada warga Felda.

​Jangan Jadikan UMNO Dan Presiden ‘Punching Bag’

​Mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu yang menuding jari kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Dr. Azam menegaskan bahawa telahan tersebut adalah tidak berasas sama sekali.

​Menurutnya, Felda masih berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (PMX) dan bukannya di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

​”Orang ingat (Datuk Seri) Zahid yang suruh. Apa jadah Zahid nak suruh? Bagi saya, kamu fikirlah sendiri. Jangan asyik jadikan Datuk Seri Zahid dan UMNO sebagai punching bag dalam setiap isu,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

​Agenda Politik Di Sebalik Pembatalan Sambutan?

​Dr. Azam mendedahkan bahawa segala persiapan, termasuk tempahan bas, hotel, dan pembuatan baju korporat oleh warga kampung dari seluruh Malaysia telah diatur rapi sejak enam bulan lalu. Bagaimanapun, acara itu dibatalkan secara mengejut tanpa sebarang alasan konkrit.

​Beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya “tangan ghaib” dan agenda politik di sebalik pembatalan tersebut, memandangkan Johor kini sedang menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN).

​”Plan dah rancang 6 bulan dulu, tiba-tiba dibatalkan. Telahan saya, pihak atasan melihat ini sebagai peluang untuk membuktikan sokongan Felda akan kembali kepada UMNO kerana kehebatan negeri Johor. Jangan peralatkan warga Felda untuk kepentingan politik,” tegas beliau.

​Desak Shabery Cheek Buka Mulut

​Dalam pada itu, Dr. Azam turut mengingatkan kepimpinan Felda agar tidak membiarkan UMNO terus menjadi mangsa keadaan akibat daripada keputusan yang tidak telus ini.

​Beliau secara terbuka meminta Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk tampil mempertahankan parti dan memberikan jawapan segera bagi meredakan kemarahan warga peneroka.

​”Kepada Datuk Seri Shabery Cheek, bukalah mulut. Jangan jadi mangsa keadaan dan jangan biarkan UMNO pula yang disalahkan. Anda duduk di situ (kerusi Pengerusi) atas kuota UMNO,” katanya lagi.

​Beliau bagaimanapun meminta seluruh warga Felda, khususnya di Johor, untuk kekal bertenang, bersabar, dan tidak terburu-buru menyalahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebaliknya terus memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN).

#HariFeldaDibatalkan #SuaraWargaFelda #ShaberyCheekSilaJawab #PRNJohor2026 #BeritaAAC

​KUALA LUMPUR – Aktivis sosial terkenal yang juga wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, tampil membongkar isu penindasan dan ugutan jenayah yang dihadapi oleh seorang beliawanis, Cik Shalini, 25, yang cuba mengusahakan projek pertanian di bawah pencawang kabel voltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

​Dalam satu kenyataan video tegas yang dikeluarkan tepat jam 5 petang tadi, Dato’ Dr. Kalaivanar menyelar tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, YB Gunaraj, serta pihak pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah Tamil yang didakwa cuba memutarbelitkan fakta demi meraih simpati masyarakat.

​Langsung Tidak Kaitkan Sekolah Tamil

​Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa dalam kenyataan awalnya sebelum ini, beliau sama sekali tidak pernah menyebut atau mengaitkan nama mana-mana sekolah Tamil mahupun pengerusi PIBG.

​”Saya bercakap mesti ada fakta. Isu yang saya tampilkan ialah mengenai Cik Shalini, seorang beliawanis yang mengeluarkan belanja RM5,000 hingga RM6,000 untuk melantik juruukur dan menyediakan draf pelan tapak semaian (nursery).

​”Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta TNB telah menyemak dan memberi laluan kerana status tanah tersebut adalah tanah kerajaan yang terbiar, semak samun, dan tiada halangan,” katanya.

​Mangsa Didakwa Diugut Samseng, ADUN Didakwa ‘Putar Belit’

​Isu menjadi tegang apabila mangsa, Cik Shalini, mendakwa mula diganggu dan diugut oleh individu yang disifatkan sebagai ‘samseng’. Mangsa juga mendakwa YB Gunaraj telah memberikan kenyataan palsu dan cuba berlagak seperti ‘hero’ di media sosial kononnya tanah tersebut telah dipohon awal untuk tapak parkir sekolah, sedangkan semakan sistem PTG membuktikan tanah itu kosong tanpa sebarang permohonan pihak lain.

​Cik Shalini yang turut hadir dalam sidang media itu menzahirkan rasa kecewa dan menangis memikirkan modalnya yang sudah habis hangus.

​”Masa saya pergi pejabat ADUN, YB Gunaraj cakap dia tak tahu apa-apa dan mendakwa namanya hanya dijual oleh pihak tertentu. Tapi tiba-tiba semalam dia buat video lain pula. Dia tipu saya,” dakwa Shalini.

​Dato’ Dr. Kalaivanar turut mempersoalkan kredibiliti ADUN tersebut. “Kalau betul ada kuasa sebagai ADUN, takkan isu parkir sekolah ambil masa sampai 2 hingga 3 tahun tak selesai? Kenapa baru sekarang bila beliawanis ini nak usahakan tanah terbiar, baru nak bising?” bidasnya lagi.

​Gesa Bukit Aman & Imigresen Bertindak

​Rentetan daripada laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara mendesak pihak polis membuka kertas siasatan dengan telus tanpa mempedulikan jawatan individu yang terlibat. Dato’ Dr. Kalaivanar memberi amaran akan membawa memorandum terus kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman sekiranya tiada tindakan drastik diambil.

​Selain isu ugutan, beliau turut mendedahkan dalang atau ‘samseng’ yang mengancam beliawanis tersebut turut dipercayai memonopoli tanah TOL di kawasan Johan Setia, Jalan Banting untuk disewakan secara haram kepada warga asing (PATI).

​Beliau meminta Pengarah Penguatkuasa Imigresen, Dato’ Lokman, untuk segera turun padang bagi menggempur kawasan pertanian di Johan Setia sebelum isu lambakan warga asing di situ menjadi tidak terkawal seperti isu penempatan Rohingya.

#BeritaAAC #KeadilanUntukShalini #DatoKalaivanar #IsuTanahTNB #SamsengTanah

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2026 – Hubungan kerjasama antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa kini berada di ambang keretakan yang serius, menyamai fasa tuntutan ‘harta sepencarian’ selepas melalui proses perceraian politik.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar dalam satu kenyataan hari ini mempersoalkan masa depan gabungan tersebut yang disifatkannya sebagai penuh dengan tanda tanya selepas PAS didakwa telah menemui “isteri baru” yang dikenali sebagai Wawasan.

​Menurut beliau, kedua-dua kem kini sedang bertegas mempertahankan locus standi masing-masing ke atas aset gabungan yang dibina sepanjang enam tahun perkongsian politik mereka.

​”Bersatu mendakwa logo dan bendera PN adalah ciptaan mereka, manakala PAS pula menegaskan bahawa kekuatan jentera PN datangnya daripada mereka. Masing-masing saling tuduh-menuduh tentang siapa yang lebih berhak,” katanya.

​Perombakan Struktur PN & Pemecatan Pemimpin Utama

​Suasana politik dalam PN dilaporkan semakin parah susulan tindakan terbaharu semalam di mana Pengerusi PN didakwa telah memecat dua tokoh kuat Bersatu, iaitu YB Radzi Jidin dan YB Azmin Ali daripada jawatan mereka.

​Tindakan itu dilihat meninggalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) ‘keseorangan’ dalam struktur organisasi tertinggi PN tanpa sokongan orang kuatnya. Gulam turut meramalkan entiti ‘Wawasan’ bakal menyertai PN sebagai ahli gabungan baharu dalam masa terdekat, sekaligus mencetuskan perbalahan baharu sekiranya Bersatu memilih untuk terus kekal.

​Bersatu Digesa Fokus Gabungan IPR, Sifatkan Impian Ganti UMNO ‘Angan-Angan Mat Jenin’

​Mengulas lanjut, Gulam menasihatkan Bersatu agar tidak lagi menaruh harapan tinggi terhadap PN dan menyamakan situasi parti itu seperti “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong”.

​Beliau menyarankan agar Bersatu mengalihkan fokus sepenuhnya kepada “kekasih baru” mereka, iaitu Gabungan IPR yang ditubuhkan pada Oktober 2025, yang dilaporkan dianggotai oleh 11 parti politik termasuk Pejuang, Berjasa, Urimai, dan Putra.

​”Ambil iktibar dari pepatah Melayu, ‘bercinta pada yang sudi, berkasih pada yang sayang, berbudi pada yang setia’ kerana kesetiaan itu mahal.

​”Nampaknya cita-cita Bersatu untuk menggantikan UMNO kini hanya ibarat angan-angan Mat Jenin,” ujar beliau mengakhiri kenyataan.

#PerikatanNasional #PolitikMalaysia2026 #PASvsBersatu #HartaSepencarianPN #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bergerak secara ‘go solo’ atau sendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang mencerminkan keyakinan tinggi kepimpinan negeri, selain memberi bayangan bahawa terdapat strategi luar aturan yang sedang dirancang.

​Menurut Penganalisis Politik, Datuk Dr. Baharudin Aziz, tindakan yang diumumkan oleh Pengerusi BN UMNO Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi itu menunjukkan bahawa Menteri Besar Johor tersebut berkemungkinan mempunyai penilaian tersendiri yang tidak diketahui umum.

​”Saya rasa Menteri Besar Johor tahu sesuatu yang kita rakyat biasa ini tak tahu. Kenapa dia pergi solo? Dia sahaja yang tahu,” katanya ketika mengulas mengenai hala tuju politik bloc berkenaan baru-baru ini.

​Mengulas lanjut, Dr. Baharudin menjelaskan bahawa model Kerajaan Perpaduan (Madani) yang menggabungkan UMNO, BN, dan parti-parti lain setakat ini hanyalah termaktub di peringkat Persekutuan (Federal).

​Jelas beliau, tiada sebarang ketetapan atau titah nasihat yang mewajibkan formula politik yang sama dilaksanakan di peringkat pentadbiran negeri.

​”Jadi untuk negeri, tak ada pun titah nasihat Tuanku yang mengatakan di peringkat negeri pun perlu ada dalam konteks Kerajaan Perpaduan ini. Sebab itu tidak ada masalah (untuk bergerak solo),” ujar beliau lagi.

​Beliau turut menyifatkan keputusan drastik itu sebagai satu langkah dan strategi yang sangat baik serta dinamik dalam usaha memastikan kestabilan serta kemajuan masa depan Johor.

​”Mungkin dia lihat itu satu pendekatan dan strategi yang baik untuk memacu negeri Johor ke tahap yang lebih baik di masa hadapan, moving forward,” tambahnya.

#BNJohorGoSolo #OnnHafizGhazi #PolitikJohor #PRNJohor #AACNews

​KUALA LUMPUR – Lambakan parti politik berasaskan orang Melayu yang wujud ketika ini hanya akan mengelirukan rakyat serta melemahkan kedudukan kaum majoriti dan umat Islam di negara ini.

​Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Syed Nazir menzahirkan rasa kesal dan sedih dengan landskap politik semasa yang menyaksikan perpecahan ketara, terbaru dengan peralihan kumpulan ‘RESET’ yang kini menubuhkan pula parti serpihan baharu dikenali sebagai ‘WAWASAN’.

​Beliau membuat perbandingan dengan komuniti bukan Melayu yang dilihat lebih fokus dan hanya mempunyai sekitar empat parti utama seperti DAP, Gerakan, MCA, dan MIC.

​”Kalau kita tengok dalam kalangan orang Melayu ni, dia terlampau banyak sangat parti. Jadi, rakyat kadang-kadang tu dia keliru, bercelaru, mereka pun tak tahu yang mana satu nak pilih.

​”Bila terlampau banyak, kita nak jaga orang kita pun kita tak boleh. Nanti orang ni mendakwa ini kumpulan dia, ini kumpulan dia. Akhirnya orang lain tengok, mereka tepuk tangan,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

​Mengulas lanjut, Syed Azmi menegaskan bahawa sebagai sebuah negara Islam, kekuatan politik orang Melayu seharusnya diperkukuhkan dan bukannya terus dipecah-belahkan dengan agenda peribadi.

​Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh pemimpin atasan parti-parti Melayu untuk mengetepikan ego, duduk semeja, dan menunjukkan kematangan politik demi masa depan bangsa.

​Beliau turut memuji langkah yang diambil oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin yang ‘berjiwa besar’ melalui inisiatif ‘Rumah Bangsa’.

​”Saya menyerulah kepada semua pemimpin-pemimpin atasan, terutamanya yang di atas-atas ni, duduk berbincanglah. Di mana kita ni kena ada berjiwa besar.

​”Berjiwa besar seperti mana Presiden UMNO… beliau buat ‘Rumah Bangsa’, panggil balik yang lama-lama ni masuk balik, duduk bersama-sama untuk kita memperkukuh dan memperkuatkan lagi orang Melayu dan orang Islam kita,” ujarnya lagi.

#PenyatuanMelayu #PolitikMalaysia #Alumni4B #RumahBangsa #BeritaAAC