
KUALA LUMPUR, 18 Jun 2026 – Hubungan kerjasama antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa kini berada di ambang keretakan yang serius, menyamai fasa tuntutan ‘harta sepencarian’ selepas melalui proses perceraian politik.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar dalam satu kenyataan hari ini mempersoalkan masa depan gabungan tersebut yang disifatkannya sebagai penuh dengan tanda tanya selepas PAS didakwa telah menemui “isteri baru” yang dikenali sebagai Wawasan.
Menurut beliau, kedua-dua kem kini sedang bertegas mempertahankan locus standi masing-masing ke atas aset gabungan yang dibina sepanjang enam tahun perkongsian politik mereka.
”Bersatu mendakwa logo dan bendera PN adalah ciptaan mereka, manakala PAS pula menegaskan bahawa kekuatan jentera PN datangnya daripada mereka. Masing-masing saling tuduh-menuduh tentang siapa yang lebih berhak,” katanya.
Perombakan Struktur PN & Pemecatan Pemimpin Utama
Suasana politik dalam PN dilaporkan semakin parah susulan tindakan terbaharu semalam di mana Pengerusi PN didakwa telah memecat dua tokoh kuat Bersatu, iaitu YB Radzi Jidin dan YB Azmin Ali daripada jawatan mereka.
Tindakan itu dilihat meninggalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) ‘keseorangan’ dalam struktur organisasi tertinggi PN tanpa sokongan orang kuatnya. Gulam turut meramalkan entiti ‘Wawasan’ bakal menyertai PN sebagai ahli gabungan baharu dalam masa terdekat, sekaligus mencetuskan perbalahan baharu sekiranya Bersatu memilih untuk terus kekal.
Bersatu Digesa Fokus Gabungan IPR, Sifatkan Impian Ganti UMNO ‘Angan-Angan Mat Jenin’
Mengulas lanjut, Gulam menasihatkan Bersatu agar tidak lagi menaruh harapan tinggi terhadap PN dan menyamakan situasi parti itu seperti “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong”.
Beliau menyarankan agar Bersatu mengalihkan fokus sepenuhnya kepada “kekasih baru” mereka, iaitu Gabungan IPR yang ditubuhkan pada Oktober 2025, yang dilaporkan dianggotai oleh 11 parti politik termasuk Pejuang, Berjasa, Urimai, dan Putra.
”Ambil iktibar dari pepatah Melayu, ‘bercinta pada yang sudi, berkasih pada yang sayang, berbudi pada yang setia’ kerana kesetiaan itu mahal.
”Nampaknya cita-cita Bersatu untuk menggantikan UMNO kini hanya ibarat angan-angan Mat Jenin,” ujar beliau mengakhiri kenyataan.
#PerikatanNasional #PolitikMalaysia2026 #PASvsBersatu #HartaSepencarianPN #BeritaAAC
