
KUALA LUMPUR, 2 Ogos 2026 — Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu menyatakan komitmen dan kesediaan penuh untuk merampas semula kerusi Parlimen Batu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar berkata, jentera Barisan Nasional yang merangkumi parti komponen seperti UMNO, IPM, Makkal Sakti, dan PPP telah memulakan gerak kerja serta program turun padang menerusi sesi ‘walkabout’ di sekitar UTC Sentul, di sini.
Menurut beliau, selain beramah mesra bersama masyarakat setempat, program tersebut turut menyaksikan pengedaran kira-kira 4,000 ‘Pack Sajian Kasih’ sebagai tanda kesyukuran dan sumbangan ikhlas kepada warga Parlimen Batu.
”Hari ini kita buat sesi walkabout peringkat Barisan Nasional Parlimen Batu bersama rakan parti komponen. Kebetulan semalam gelombang biru telah menang di Negeri Sembilan, jadi sambil mengedarkan sumbangan ini, kita mengambil kesempatan untuk mensyukuri nikmat rezeki dan berkongsi bersama masyarakat,” katanya ketika ditemui media.
Ingat Pesan: “Menang Pertempuran, Belum Menang Perang”
Ulas Gulam Muszaffar lagi, kemenangan dalam beberapa siri pilihan raya kecil atau negeri sebelum ini tidak seharusnya menjadikan jentera BN bersifat mendongak diri atau mendabik dada.
“We just won the battle, but we didn’t win the war. Kita masih ada lagi beberapa pilihan raya sebelum PRU16. Apapun kemenangan adalah nikmat daripada Allah SWT yang perlu kita jaga dan pertahankan dengan rendah hati,” tegas beliau.
Buka Pintu Kerjasama Bersama Perikatan Nasional & PAS
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan perancangan untuk mengukuhkan lagi landskap politik di kawasan berkenaan dengan membuka ruang kerjasama di peringkat akar umbi bersama rakan-rakan parti lain, termasuk Perikatan Nasional (PN), PAS, Parti Warisan, dan Gerakan.
Langkah ini bertujuan untuk memastikan permuafakatan politik yang lebih teguh demi kebaikan warga Batu secara keseluruhannya.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menzahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional kini bersedia sepenuhnya untuk kembali berkhidmat dan membawa perubahan di kawasan berkenaan.
“Barisan Nasional is back!“ ulasnya mengakhiri sidang media.
#BeritaAAC #BNisBack #UMNOBatu #ParlimenBatu #PRU16
