Day: August 9, 2026

KUALA LUMPUR, 9 Ogos 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Mustakim meluahkan rasa terkilan dan menyelar tindakan menyekat serta mengalihkan peruntukan kewangan bagi kawasan lima Ahli Parlimen (AP) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

​Menurut beliau, peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk membiayai program, aktiviti, dan kebajikan rakyat di kawasan berkenaan didakwa telah disalurkan kepada pihak lain yang tidak mempunyai mandat rakyat.

​”Lebih parah, peruntukan mereka telah disakau dan diserahkan kepada mereka yang tidak layak dan tidak dipilih oleh rakyat. Ia lebih kepada proksi atau bersifat lantikan politik seperti Setiausaha Politik YAB PM dan Ketua Cabang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

​Menegaskan sokongan penuh terhadap kelima-lima Ahli Parlimen PKR terbabit, Gulam Muszaffar menyatakan bahawa mereka merupakan wakil sah yang berhak menerima peruntukan tersebut demi kesejahteraan konstituensi masing-masing.

​Beliau turut menyifatkan tindakan pimpinan kerajaan sebagai sesuatu yang terkeluar daripada norma demokrasi yang sihat dan beretika.

​”Ini ‘style’ baru sakau—sakau secara terang-terangan. Peruntukan kepada yang berhak dinafikan dan diserahkan kepada proksi politik demi dendam kesumat serta tindakan intimidasi.

​”Sekali gus, tindakan sakau ini akan menyebabkan rakyat di kawasan terkesan menjadi mangsa,” tegas beliau lagi.

​Isu ini timbul berikutan tindakan lima Ahli Parlimen PKR yang menyuarakan kekecewaan serta bantahan terbuka berhubung penyaluran dana kawasan Parlimen mereka semalam.

#BeritaAAC #GulamMuszaffar #PeruntukanParlimen #PolitikMalaysia #IsuRakyat