Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menepis dakwaan bahawa usaha membantu golongan tanpa kewarganegaraan (stateless) adalah agenda terselindung untuk memberi kerakyatan mudah atau dijadikan ‘projek IC’ demi kepentingan politik.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim menjelaskan, pemohon MyPR atau kad pengenalan merah perlu mematuhi saluran undang-undang ketat dan mempunyai dokumen identiti yang sah sebelum sebarang permohonan boleh dipertimbangkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau menegaskan, golongan stateless pada hakikatnya tidak mempunyai laluan langsung untuk memohon kad pengenalan merah kerana mereka tidak memiliki identiti rasmi atau pasport sejak awal lagi.
Mengulas mengenai syarat permohonan MyPR, Hishamuddin menyenaraikan tiga kategori utama iaitu pelabur bernilai tinggi melalui program pelaburan, golongan profesional berkepakaran kritikal yang diperlukan negara, serta perkahwinan sah dengan warganegara Malaysia.
Bagi kategori perkahwinan, pasangan bukan warganegara perlu memiliki pasport sah, memegang visa pasangan (spouse visa) sekurang-kurangnya 10 tahun, lulus temu duga Cawangan Khas (SB) serta menguasai bahasa Melayu sebelum layak memohon permit masuk dan status pemastautin tetap.
Justeru, beliau membetulkan salah faham umum yang menganggap seseorang pemegang dokumen seperti MyKAS boleh terus memperoleh kerakyatan sewenang-wenangnya tanpa melalui proses merit yang ditetapkan.
Hishamuddin turut menegaskan bahawa MHO sama sekali tidak mempunyai sebarang agenda politik, perancangan pilihan raya, mahupun usaha mengumpulkan pengundi di Sabah atau negeri lain menerusi pengurusan kes kebajikan ini.
Menurutnya, lebih 90 peratus pengadu yang hadir ke pejabat MHO sebenarnya terdiri daripada warganegara Malaysia sendiri yang terkesan akibat masalah status dokumen anak-anak atau pasangan tempatan mereka.
Isu ini timbul berikutan ketiadaan pendaftaran perkahwinan rasmi atau perkahwinan di peringkat kampung yang menyebabkan anak yang dilahirkan tidak memiliki kewarganegaraan secara sah.
Beliau menyimpulkan bahawa tindakan MHO membantu kes-kes berkenaan semata-mata didorong oleh aduan rasmi rakyat bagi mencari penyelesaian kemanusiaan dan kepentingan negara, bukannya dipacu oleh isu politik, agama, atau perkauman.
#BeritaAAC #IsuStateless #MHO #KerakyatanMalaysia #MyPR
