Day: August 11, 2026

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2026 – Seorang penduduk warga emas, Aunty Tee Guat Eng, meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa selepas mendakwa dirinya ditindas berhubung isu pemindahan dan penggantian rumah di kawasan kediamannya.

​Menurut Aunty Tee, beliau yang telah menetap di kawasan berkenaan selama lebih 40 tahun (sejak dilahirkan pada usia 58 tahun) mendakwa pihak berkenaan sebelum ini telah memberikan janji manis untuk menggantikan rumah baharu bernilai sekitar RM35,000 selepas kediaman asalnya dirobohkan.

​Walau bagaimanapun, beliau mendakwa pihak berkenaan gagal mengotakan janji dan kini sukar dihubungi, sekali gus menjejaskan kehidupan harian penduduk setempat termasuk golongan yang kurang berkemampuan.

​”Dulu kawasan ini penuh dengan sampah, saya sendiri yang bersihkan dan indahkan tanah ini hingga menelan belanja puluhan ribu ringgit. Tapi sekarang apabila rumah dirobohkan, kami ditinggalkan begitu sahaja tanpa pembelaan yang sewajarnya,” kata beliau ketika ditemui.

​Bagi menuntut keadilan, Aunty Tee kini bergantung harapan kepada bantuan pihak berkuasa serta pertolongan daripada pemimpin NGO seperti Ridzuan Ikhlas bagi menyelesaikan kemelut tanah serta mendapatkan pampasan atau jalan keluar yang adil.

​Beliau turut menegaskan sedia mengikut prosedur dan membayar kadar yang sepatutnya mengikut undang-undang demi memastikan hak kediamannya terus terbela.

#BeritaAAC #IsuTanah #LuahanRakyat #KeadilanUntukAuntyTee #ViralMalaysia

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2026 – Kenyataan luar jangka dan pujian melangit Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Azmin Ali terhadap Menteri Besar serta barisan Exco daripada DAP dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini mencetuskan pelbagai spekulasi politik.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menyifatkan tindakan Azmin yang menggunakan gelaran mesra seperti “sahabatku” dan “adikku” sebagai langkah terdesak untuk mempertahankan kelangsungan politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwanya kian terhimpit.

​Menurut beliau, perubahan nada politik tersebut amat mengejutkan memandangkan pimpinan berkenaan pernah melabelkan DAP dan PKR dengan pelbagai ikatan naratif negatif ketika peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020.

​Beliau mendakwa, berikutan siri kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan, serta desas-desus kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yang semakin goyah, parti itu dipercayai cuba melaraskan hala tuju politik baharu. Rentetan itu, beliau berseloroh menggelarkan fenomena peralatan naratif ini sebagai bakal membentuk jajaran baharu iaitu “BerseDAP”.

​Tambah Gulam Muszaffar, perhimpunan dan konvensyen parti yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi bakal menjadi medan penentu sama ada fasa solidariti atau jajaran baharu ini benar-benar akan terwujud.

#BerseDAP #PolitikSelangor #AzminAli #LangkahBerseDAP #IsuPolitikSemasa

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2026 — Aktivis Sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, menggesa pihak Petronas Gas Berhad (PGB) dan Kerajaan Pusat untuk campur tangan secara rasmi berhubung isu pemasangan struktur pengadang di laluan akses utama penduduk di Mukim 6317, Lot 3472, Kampung Jawa, Klang.

​Dalam satu sidang media yang diadakan petang tadi, Dato’ Dr. Kalaivanar memaklumkan bahawa tindakan PGB memasangkan pengadang setinggi 2.1 meter dengan had berat 3 ton berhampiran rizab saluran paip gas telah menyukarkan pergerakan penduduk tempatan, terutamanya bagi aktiviti pengangkutan lori persendirian dan kenderaan berat.

​Menurut beliau, terdapat kira-kira lima keluarga yang menetap secara sah di atas tanah hak milik kekal (geran kekal) di kawasan berkenaan sejak puluhan tahun lalu. Salah seorang penduduk terjejas, Somu a/l Karuppiah, yang mengendalikan perkhidmatan lori, kini berhadapan kesukaran untuk meletakkan kenderaannya di atas tanah miliknya sendiri seluas dua ekor akibat sekatan laluan tersebut.

​”Kita tidak membantah usaha Petronas Gas Berhad untuk menjaga keselamatan laluan paip bawah tanah. Namun, sebarang tindakan atau kajian teknikal perlulah mengambil kira kebajikan penduduk yang telah menetap secara sah di situ selama lebih 40 tahun,” kata beliau.

​Beliau turut mempersoalkan aspek keselamatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan di kawasan penempatan berkenaan.

​”Sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan membabitkan penduduk, bagaimana jentera bomba atau ambulans bersaiz besar dapat melintasi pengadang setinggi 2.1 meter tersebut?” tambahnya lagi.

​Ekoran isu itu, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara telah menyerahkan satu memorandum rasmi menerusi e-mel dan serahan tangan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengurusan Tertinggi Petronas Gas Berhad, serta laporan polis di Balai Polis Sri Muda, Shah Alam. Pihak NGO berkenaan turut mencadangkan dua penyelesaian alternatif, antaranya menaikkan ketinggian pengadang kepada 3.5 meter berserta kunci khas bagi kawalan akses kecemasan atau menyediakan laluan laluan alternatif yang selamat.

​Dato’ Dr. Kalaivanar turut melepaskan kritikan keras terhadap wakil rakyat tempatan, termasuk Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu, serta ADUN Sentosa, kerana didakwa gagal turun padang dan menyuarakan keluhan masyarakat marhen di kawasan berkenaan.

​Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) di kawasan Parlimen Kota Raja dan DUN Sentosa sekiranya isu-isu kebajikan rakyat di kawasan itu terus diabaikan oleh wakil rakyat sedia ada.

#BeritaAAC #IsuRakyatKotaRaja #DatoDrKalaivanar #PetronasGasBerhad #KlangKampungJawa

KUALA LUMPUR — Usaha penyatuan dan mufakat antara UMNO dan PAS perlu digerakkan dengan penuh keikhlasan serta ditandatangani melalui satu perjanjian rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan akar umbi.

​Tokoh Media, Datuk Dahlan Maamor menegaskan bahawa keikhlasan dalam mufakat politik ini amat penting demi memikul tanggungjawab terhadap bangsa Melayu dan agama Islam, berbanding hanya mengejar kepentingan jawatan.

​”Bukan hanya keikhlasan, tetapi kita juga perlu beradab dalam membahas tuntutan seperti jumlah kerusi dan kuasa. Yang lebih penting bukannya soal jawatan, sebaliknya mufakat ini mampu mengubah keadaan buruk kepada lebih baik,” katanya.

​Menurut beliau, kedua-dua parti wajar mengukuhkan persamaan dan meminimumkan jurang perbezaan. Perpaduan Melayu sebagai bangsa teras juga dilihat mampu memberi kelebihan besar dalam menerajui politik negara.

DAP Gelisah Dengan Mufakat Melayu

​Ulas Dahlan lagi, penyatuan politik Melayu-Islam ini sememangnya menimbulkan keresahan kepada pelbagai pihak, termasuk DAP.

​”Mufakat ini menakutkan banyak pihak, termasuk DAP yang kelihatan gelisah. Jika mufakat ini kekal berada dalam keadaan yang baik, saya yakin gabungan PN dan BN mampu melangkah ke Putrajaya pada PRU16 nanti,” tegasnya.

Gesa Perjanjian Rasmi Dimeterai Sebelum PRN Melaka

​Bagi memastikan hala tuju gabungan tersebut jelas dan tidak berbeza-beza mengikut negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, atau Melaka, beliau menyokong penuh wujudnya satu dokumen perjanjian bertulis sebagai rujukan utama.

​”Perjanjian rasmi ini penting sebagai panduan supaya tidak berlaku kekeliruan di peringkat bawah. Kita berharap kepimpinan tertinggi UMNO dan PAS melihat perkara ini secara serius dan memeterai perjanjian ini secepat mungkin, sekiranya boleh sebelum PRN Melaka,” tambah beliau.

#BeritaAAC #MufakatMelayu #UMNOdanPAS #PolitikMalaysia #PRNMelaka

KUALA LUMPUR , 11 Ogos 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan surat bagi memohon maklum balas rasmi daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung aduan pelaburan Guaranteed Rental Return (GRR) yang didakwa tidak berdaftar.

​Penasihat Undang-undang MHO, Cik May Eva Sofea berkata, langkah itu dibuat susulan aduan daripada 24 orang pelabur yang mendakwa ditipu menerusi skim pelaburan berkonsepkan hotel.

​Menurut beliau, kesemua mangsa telah membeli unit kediaman pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran selepas dijanjikan pulangan tanpa perlu menguruskan hartanah berkenaan. Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang keuntungan yang diperoleh seperti yang dijanjikan.

​”Pihak kami mengesyaki skim ini tidak berdaftar dan beroperasi tanpa kebenaran yang sah di bawah Seksyen 3 Akta Skim Kepentingan 2016. Selain itu, pelaburan ini juga dilihat telah memenuhi elemen di bawah Seksyen 4 akta yang sama,” katanya ketika ditemui di Menara Menara Sentral, hari ini.

​Tambah beliau, aduan mengenai perkara tersebut telah dikemukakan sejak November 2023, namun selepas hampir setahun, tiada sebarang maklum balas bertulis diterima walaupun difahamkan pihak SSM telah membuka kertas siasatan.

​Sehubungan itu, MHO menggesa pihak SSM agar memberikan maklum balas yang sewajarnya demi keadilan para pengadu yang terlibat.

#BeritaAAC #SkimPelaburanHaram #IsuPelaburanHotel #MHO #MangsaScam

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO) bersama wakil pengadu dan pelabur skim Guaranteed Rental Return (GRR) hadir ke pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini bagi menyerahkan surat memohon maklum balas bertulis berhubung aduan yang telah dibuat sejak November tahun lalu.

​Wakil MHO, Encik Muhammad Falaq memaklumkan bahawa aduan terdahulu dibuat di bawah Seksyen 4 Akta Skim Kepentingan 2016 serta perundangan berkaitan kerana syarikat pemaju disyaki mengendalikan skim pelaburan hartanah berkenaan tanpa pendaftaran atau kebenaran yang sah daripada SSM.

​Menurut wakil pelabur, Encik Deva, beliau serta wakil MHO telah pun menyerahkan dokumen berkaitan dan berjumpa dengan pegawai penyiasat SSM pada April lalu. Namun, sehingga kini pihak pengadu masih belum menerima sebarang maklum balas bertulis atau perkembangan rasmi mengenai status siasatan tersebut.

​Sementara itu, Penasihat Undang-Undang MHO, Cik May Eva Sofea, menegaskan bahawa tempoh hampir setahun adalah munasabah untuk para pengadu mendapatkan jawapan. Beliau turut memberi amaran bahawa sikap acuh tak acuh terhadap kes penipuan sebegini boleh berisiko menjadikan Malaysia sebagai ‘hub penipuan’ dan memberi dampak negatif yang besar kepada masyarakat.

​MHO dan para pengadu berharap agar SSM dapat menyegerakan siasatan serta membawa pihak syarikat yang terlibat ke muka pengadilan demi membela nasib mangsa yang telah mengalami kerugian besar.

Memorandum hari ini diserahkan oleh Tuan Izzat, Setiausaha Kerja, MHO.

#SkimGRR #IsuPelaburan #MHO #SuruhanjayaSyarikatMalaysia #BeritaAAC

KUALA LUMPUR — Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menyaksikan pembentukan kerajaan menerusi gabungan 25 kerusi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membuktikan rakyat semakin selesa dengan kerjasama taktikal antara kedua-dua pihak.

​Menerusi sesi temubual Sembang Kopi bersama hos Aizat, Dr Azam Rauzan menyifatkan kejayaan itu sebagai satu petanda positif, namun mengingatkan bahawa cabaran utama gabungan tersebut kini adalah menguruskan kejayaan atau ‘managing success’.

​Menurut beliau, kemenangan berimpak tinggi (landslide win) yang dicapai pada 1 Ogos lalu tidak seharusnya membuatkan mana-mana pihak berasa selesa. Sebaliknya, ia memerlukan persefahaman tinggi, toleransi, serta sikap mengetepikan ego dan sifat tamak.

​”Ini adalah satu cabaran yang hebat. UMNO, PN, dan BN harus menerima kejayaan ini untuk mengekalkan momentum ‘biru’ agar ia terus merebak ke Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Perak, dan seterusnya menjelang PRU16.

​”Perjuangan ini tidak datang mudah jika tiada persefahaman. Kita perlu mengelakkan sifat tamak dan haloba kerana perjuangan mesti berteraskan niat, misi, dan visi yang jelas,” katanya.

​Mengulas mengenai pelbagai provokasi dan “batu api” yang timbul selepas PRN, Dr Azam mengesan wujudnya percubaan memecahbelahkan gabungan tersebut sama ada dari luar mahupun dalaman parti sendiri, termasuk kenyataan yang kurang selesa daripada sesetengah tokoh politik.

​Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas usaha mengilhamkan semangat ukhuwah dan konsep ‘Rumah Bangsa’ yang disifatkan semakin rapat dan erat.

​”Rakyat tidak mahu lagi politik perkauman yang berasaskan sentiment lain. BN mempunyai trek rekod tersendiri sebagai parti pemerintah selama 62 tahun, manakala PN pula kukuh di kawasan SG4 (State Government 4).

​”Matlamat utama adalah satu, iaitu untuk mengalahkan Pakatan Harapan (PH). Jadi di tempat seperti Melaka, kita tidak perlu berebut kerana masing-masing ada kekuatan tersendiri,” tegasnya lagi.

​Beliau menyeru agar semua pihak kekal istiqamah dan mempertahankan azam perjuangan demi memastikan kestabilan politik negara dapat diteruskan.

#BeritaAAC #PolitikMalaysia #PRNNS #BNPN #PRU16