
KUALA LUMPUR — Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menyaksikan pembentukan kerajaan menerusi gabungan 25 kerusi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membuktikan rakyat semakin selesa dengan kerjasama taktikal antara kedua-dua pihak.
Menerusi sesi temubual Sembang Kopi bersama hos Aizat, Dr Azam Rauzan menyifatkan kejayaan itu sebagai satu petanda positif, namun mengingatkan bahawa cabaran utama gabungan tersebut kini adalah menguruskan kejayaan atau ‘managing success’.
Menurut beliau, kemenangan berimpak tinggi (landslide win) yang dicapai pada 1 Ogos lalu tidak seharusnya membuatkan mana-mana pihak berasa selesa. Sebaliknya, ia memerlukan persefahaman tinggi, toleransi, serta sikap mengetepikan ego dan sifat tamak.
”Ini adalah satu cabaran yang hebat. UMNO, PN, dan BN harus menerima kejayaan ini untuk mengekalkan momentum ‘biru’ agar ia terus merebak ke Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Perak, dan seterusnya menjelang PRU16.
”Perjuangan ini tidak datang mudah jika tiada persefahaman. Kita perlu mengelakkan sifat tamak dan haloba kerana perjuangan mesti berteraskan niat, misi, dan visi yang jelas,” katanya.
Mengulas mengenai pelbagai provokasi dan “batu api” yang timbul selepas PRN, Dr Azam mengesan wujudnya percubaan memecahbelahkan gabungan tersebut sama ada dari luar mahupun dalaman parti sendiri, termasuk kenyataan yang kurang selesa daripada sesetengah tokoh politik.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas usaha mengilhamkan semangat ukhuwah dan konsep ‘Rumah Bangsa’ yang disifatkan semakin rapat dan erat.
”Rakyat tidak mahu lagi politik perkauman yang berasaskan sentiment lain. BN mempunyai trek rekod tersendiri sebagai parti pemerintah selama 62 tahun, manakala PN pula kukuh di kawasan SG4 (State Government 4).
”Matlamat utama adalah satu, iaitu untuk mengalahkan Pakatan Harapan (PH). Jadi di tempat seperti Melaka, kita tidak perlu berebut kerana masing-masing ada kekuatan tersendiri,” tegasnya lagi.
Beliau menyeru agar semua pihak kekal istiqamah dan mempertahankan azam perjuangan demi memastikan kestabilan politik negara dapat diteruskan.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #PRNNS #BNPN #PRU16
