
KUALA LUMPUR – Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bergerak secara ‘go solo’ atau sendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang mencerminkan keyakinan tinggi kepimpinan negeri, selain memberi bayangan bahawa terdapat strategi luar aturan yang sedang dirancang.
Menurut Penganalisis Politik, Datuk Dr. Baharudin Aziz, tindakan yang diumumkan oleh Pengerusi BN UMNO Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi itu menunjukkan bahawa Menteri Besar Johor tersebut berkemungkinan mempunyai penilaian tersendiri yang tidak diketahui umum.
”Saya rasa Menteri Besar Johor tahu sesuatu yang kita rakyat biasa ini tak tahu. Kenapa dia pergi solo? Dia sahaja yang tahu,” katanya ketika mengulas mengenai hala tuju politik bloc berkenaan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Dr. Baharudin menjelaskan bahawa model Kerajaan Perpaduan (Madani) yang menggabungkan UMNO, BN, dan parti-parti lain setakat ini hanyalah termaktub di peringkat Persekutuan (Federal).
Jelas beliau, tiada sebarang ketetapan atau titah nasihat yang mewajibkan formula politik yang sama dilaksanakan di peringkat pentadbiran negeri.
”Jadi untuk negeri, tak ada pun titah nasihat Tuanku yang mengatakan di peringkat negeri pun perlu ada dalam konteks Kerajaan Perpaduan ini. Sebab itu tidak ada masalah (untuk bergerak solo),” ujar beliau lagi.
Beliau turut menyifatkan keputusan drastik itu sebagai satu langkah dan strategi yang sangat baik serta dinamik dalam usaha memastikan kestabilan serta kemajuan masa depan Johor.
”Mungkin dia lihat itu satu pendekatan dan strategi yang baik untuk memacu negeri Johor ke tahap yang lebih baik di masa hadapan, moving forward,” tambahnya.
#BNJohorGoSolo #OnnHafizGhazi #PolitikJohor #PRNJohor #AACNews
