
KUALA LUMPUR – Lambakan parti politik berasaskan orang Melayu yang wujud ketika ini hanya akan mengelirukan rakyat serta melemahkan kedudukan kaum majoriti dan umat Islam di negara ini.
Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Syed Nazir menzahirkan rasa kesal dan sedih dengan landskap politik semasa yang menyaksikan perpecahan ketara, terbaru dengan peralihan kumpulan ‘RESET’ yang kini menubuhkan pula parti serpihan baharu dikenali sebagai ‘WAWASAN’.
Beliau membuat perbandingan dengan komuniti bukan Melayu yang dilihat lebih fokus dan hanya mempunyai sekitar empat parti utama seperti DAP, Gerakan, MCA, dan MIC.
”Kalau kita tengok dalam kalangan orang Melayu ni, dia terlampau banyak sangat parti. Jadi, rakyat kadang-kadang tu dia keliru, bercelaru, mereka pun tak tahu yang mana satu nak pilih.
”Bila terlampau banyak, kita nak jaga orang kita pun kita tak boleh. Nanti orang ni mendakwa ini kumpulan dia, ini kumpulan dia. Akhirnya orang lain tengok, mereka tepuk tangan,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Syed Azmi menegaskan bahawa sebagai sebuah negara Islam, kekuatan politik orang Melayu seharusnya diperkukuhkan dan bukannya terus dipecah-belahkan dengan agenda peribadi.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh pemimpin atasan parti-parti Melayu untuk mengetepikan ego, duduk semeja, dan menunjukkan kematangan politik demi masa depan bangsa.
Beliau turut memuji langkah yang diambil oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin yang ‘berjiwa besar’ melalui inisiatif ‘Rumah Bangsa’.
”Saya menyerulah kepada semua pemimpin-pemimpin atasan, terutamanya yang di atas-atas ni, duduk berbincanglah. Di mana kita ni kena ada berjiwa besar.
”Berjiwa besar seperti mana Presiden UMNO… beliau buat ‘Rumah Bangsa’, panggil balik yang lama-lama ni masuk balik, duduk bersama-sama untuk kita memperkukuh dan memperkuatkan lagi orang Melayu dan orang Islam kita,” ujarnya lagi.
#PenyatuanMelayu #PolitikMalaysia #Alumni4B #RumahBangsa #BeritaAAC
