
KUALA LUMPUR – Pembatalan saat-akhir sambutan Hari Felda Kebangsaan yang sepatutnya berlangsung di Johor mencetuskan tanda tanya besar dan kemarahan dalam kalangan warga peneroka di seluruh negara.
Isu tersebut turut mendapat reaksi lantang daripada Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, yang juga merupakan anak watan Felda Sri Jaya, Bukit Serampang. Beliau mendesak Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, untuk segera memecah kebisuan dan memberikan penjelasan telus kepada warga Felda.
Jangan Jadikan UMNO Dan Presiden ‘Punching Bag’
Mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu yang menuding jari kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Dr. Azam menegaskan bahawa telahan tersebut adalah tidak berasas sama sekali.
Menurutnya, Felda masih berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (PMX) dan bukannya di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
”Orang ingat (Datuk Seri) Zahid yang suruh. Apa jadah Zahid nak suruh? Bagi saya, kamu fikirlah sendiri. Jangan asyik jadikan Datuk Seri Zahid dan UMNO sebagai punching bag dalam setiap isu,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Agenda Politik Di Sebalik Pembatalan Sambutan?
Dr. Azam mendedahkan bahawa segala persiapan, termasuk tempahan bas, hotel, dan pembuatan baju korporat oleh warga kampung dari seluruh Malaysia telah diatur rapi sejak enam bulan lalu. Bagaimanapun, acara itu dibatalkan secara mengejut tanpa sebarang alasan konkrit.
Beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya “tangan ghaib” dan agenda politik di sebalik pembatalan tersebut, memandangkan Johor kini sedang menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN).
”Plan dah rancang 6 bulan dulu, tiba-tiba dibatalkan. Telahan saya, pihak atasan melihat ini sebagai peluang untuk membuktikan sokongan Felda akan kembali kepada UMNO kerana kehebatan negeri Johor. Jangan peralatkan warga Felda untuk kepentingan politik,” tegas beliau.
Desak Shabery Cheek Buka Mulut
Dalam pada itu, Dr. Azam turut mengingatkan kepimpinan Felda agar tidak membiarkan UMNO terus menjadi mangsa keadaan akibat daripada keputusan yang tidak telus ini.
Beliau secara terbuka meminta Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk tampil mempertahankan parti dan memberikan jawapan segera bagi meredakan kemarahan warga peneroka.
”Kepada Datuk Seri Shabery Cheek, bukalah mulut. Jangan jadi mangsa keadaan dan jangan biarkan UMNO pula yang disalahkan. Anda duduk di situ (kerusi Pengerusi) atas kuota UMNO,” katanya lagi.
Beliau bagaimanapun meminta seluruh warga Felda, khususnya di Johor, untuk kekal bertenang, bersabar, dan tidak terburu-buru menyalahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebaliknya terus memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN).
#HariFeldaDibatalkan #SuaraWargaFelda #ShaberyCheekSilaJawab #PRNJohor2026 #BeritaAAC
