
KUALA LUMPUR – Isu perbezaan layanan terhadap suspek kes jenayah yang dituduh di mahkamah sering mencetuskan pertikaian dalam kalangan masyarakat, seolah-olah wujud amalan ‘double standard’ atau dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang.
Mengulas mengenai perkara itu, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menjelaskan bahawa tindakan menggari seseorang suspek sebenarnya bukanlah satu ketetapan mutlak dalam undang-undang, sebaliknya ia tertakluk di bawah kuasa budi bicara pegawai polis yang bertugas.
Menurut beliau, tindakan gari selalunya diambil sekiranya seseorang suspek menunjukkan tindakan agresif, bersikap ganas, atau enggan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
”Kalau orang ini beri kerjasama, selalunya polis tak akan gari dia. Ini budi bicara, kuasa budi bicara dia (polis),” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, menyedari persepsi negatif masyarakat yang melihat ada suspek berpakaian lokap dan bergari, manakala ada yang dilepaskan begitu sahaja tanpa gari, Musa menyarankan agar satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas diwujudkan.
Langkah itu penting bagi mengelakkan timbulnya salah faham atau tuduhan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengamalkan pilih kasih dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi.
”Saya harap perlu ada SOP tertentulah yang pihak polis ini gunakan supaya orang tidak ingat ada ‘double standard’—orang ini gari, orang ini tidak gari.
”Jadi perlu ada SOP sebenarnya. Ini terpulang kepada ketua-ketua (pasukan) untuk memberi arahan kepada pegawai bawahan,” tegas beliau lagi.
#BeritaAAC #MusaHassan #PDRM #DoubleStandard #SuaraRakyat
