Day: June 27, 2026

JOHOR BAHRU – Susulan kelantangan menegur empat isu utama dalam Barisan Nasional (BN) minggu lalu, Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan menegaskan bahawa setiap pemimpin perlu berani bersuara demi kebaikan parti, biarpun berdepan kecaman hebat.

​Mengulas mengenai kontroversi calon di DUN Layang-Layang—di mana seorang merajuk kerana tidak terpilih dan seorang lagi bertindak beralih arah ke parti lawan—beliau menasihatkan agar semua pihak menerima keputusan pucuk pimpinan dengan hati yang terbuka.

​”Sebagai bekas wakil rakyat, saya juga ada pengalaman nama digantikan pada saat-saat akhir. Namun, kita kena redha. Konsep wakil rakyat adalah berkhidmat, dan jika rezeki itu diberikan kepada orang lain, kita perlu sokong,” katanya.

​Beliau turut menyentuh mengenai keresahan penduduk tempatan di DUN Layang-Layang yang mempunyai sekitar 60 peratus pengundi Melayu, yang mahukan wakil daripada kaum mereka. Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kerusi tersebut sebelum ini merupakan kuota tradisi MCA melalui formula ‘swap’ (pertukaran) dengan Parlimen Simpang Renggam yang kini milik UMNO.

​”Kita kena faham, Barisan Nasional dan Bangsa Johor tidak rasis atau lokek. Kita amalkan konsep give and take. Komponen lain seperti MIC juga telah banyak berkorban di kawasan seperti Kemelah dan Kahang. Ini adalah kekuatan BN yang sebenar,” tambahnya lagi.

​Dalam pada itu, beliau turut menyeru para pengundi, termasuk penyokong PAS, agar memberikan undi kepada Barisan Nasional di DUN Layang-Layang demi memastikan kawasan tersebut tidak jatuh ke tangan pembangkang yang akhirnya merugikan gerak kerja pembangunan setempat. Menurutnya, semangat penyatuan ini adalah cerminan kepada “Rumah Agam Melayu” yang diilhamkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang kini dilihat semakin bertumbuh kuat di bumi Johor.

#BeritaAAC #PRNJohor #BarisanNasional #PolitikMalaysia #DunLayangLayang