Day: June 2, 2026

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan taktik licik sindiket pemerdagangan manusia yang kini bukan sahaja memperdaya rakyat tempatan ke luar negara, malah mula bertapak dan membuka ‘hub’ operasi scam mereka di dalam Malaysia.

​Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamudin Hashim berkata, trend terbaharu ini amat membimbangkan dan jika tidak dibendung segera, Malaysia berisiko menjadi hub transit pemerdagangan manusia dan pusat penipuan dalam talian (scam online) yang memalukan imej negara.

​”Kalau sebelum ini kita sering mendengar kes di Cambodia, Laos, dan Myanmar, kita bimbang satu hari nanti NGO luar negara pula yang akan bercakap tentang Malaysia sebagai pusat scam.

​”MHO menyeru pihak berkuasa dan orang awam atau whistleblower (pemberi maklumat) untuk tampil mendedahkan lokasi pusat operasi ini supaya tindakan serbuan segera dapat dilakukan oleh pihak polis,” tegas beliau dalam satu sidang media.

​Ditipu Kerja Ke Rusia, Tersangkut Di Poipet

​Mengulas mengenai kes terbaharu, Hishamudin berkongsi kisah tragis melibatkan lapan anak muda dari Johor termasuk seorang mangsa berusia 20 tahun, anak kepada seorang wanita bernama Puan Ayu.

​Mereka pada mulanya ditawarkan pekerjaan sektor kontena di Rusia dengan gaji lumayan, namun setibanya di sana, mereka dilarikan ke Phnom Penh sebelum dikurung di sebuah scam center di Poipet, Cambodia untuk dieksploitasi sebagai scammer.

​Bagi menyelesaikan kes ini, MHO sedang menggerakkan kerjasama erat bersama Task Force Cambodia dan Kementerian Dalam Negeri (MOI) negara tersebut untuk mengesan kedudukan mangsa.

​Wang Tebusan Cecah RM100,000, MHO Nasihat Jangan Bayar

​Dalam kes kedua melibatkan seorang mangsa lelaki (abang kepada Miss Lee), mangsa yang sebelum ini bekerja sebagai khidmat pelanggan di Cambodia telah diperdaya rakannya untuk ke Bangkok, Thailand atas alasan tawaran kerja lain.

​Bagaimanapun, mangsa telah diculik dan dibawa masuk ke kawasan bergolak Myawadi, Myanmar melalui sempadan Mae Sot. Mangsa dipaksa bekerja di pusat scam ‘Heng Seng’ sejak tahun 2024 sehingga kini.

​Lebih parah, sindiket tersebut mula menuntut wang tebusan daripada keluarga bermula RM50,000 dan kini meningkat sehingga RM100,000.

​”Nasihat MHO kepada keluarga, jangan bayar. Walaupun dibayar, tiada jaminan mangsa akan dilepaskan, malah mereka akan terus ditipu. Mangsa sudah pun berputus asa. Kita kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa Thailand untuk berkomunikasi dengan tentera etnik tempatan termasuk Border Guard Force (BGF) dan Karen Democratic Buddhist Army (KDBA) bagi membawa mangsa pulang,” katanya.

​Pulang Sehelai Sepinggang, Dedah Sindiket Mula Masuk Malaysia

​Sementara itu, seorang bekas mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. Rex, tampil berani berkongsi pengalaman ngerinya selepas berjaya pulang ke tanah air sehelai sepinggang.

​Mr. Rex sebelum ini ditipu ke Dubai sebelum dibawa merentasi Bangkok, Golden Triangle, dan berakhir di Tai Chi Lake, Myanmar. Dia dipaksa bekerja dan diugut membayar RM60,000 jika mahu dilepaskan.

​Menurut Mr. Rex, tujuan dia hadir ke MHO adalah untuk memberi amaran kepada golongan muda agar tidak mudah terpedaya dengan iklan kerja media sosial, selain mendedahkan maklumat mengejutkan bahawa bekas ‘pasukan’ sindiket tempat dia bekerja di Myanmar kini sudah pun mula beroperasi secara haram di beberapa kawasan di Malaysia.

​MHO menegaskan komitmen mereka untuk terus memerangi isu ini dan meminta seluruh rakyat Malaysia menjadi mata dan telinga bagi membersihkan negara daripada cengkaman sindiket antarabangsa ini.

– BERITA AAC

#SangkutScam #HumanTrafficking #KrisisMyanmarCambodia #MHO #BeritaAAC

KUALA LUMPUR — Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijangka berdepan kesukaran untuk dibubarkan lebih awal, melainkan ia terbubar secara automatik selepas genap tempoh sepenggal atau mandat lima tahun berakhir.

​Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Muszaffar mendedahkan, situasi ini berpunca daripada keabsahan persidangan DUN sebelum ini yang menimbulkan pertikaian dari sudut perlembagaan negeri.

​Menurut beliau, persidangan berkenaan tidak dapat disahihkan susulan ketidakhadiran Undang Yang Empat, selain ketiadaan sebarang pembentangan rang undang-undang (RUU) atau urusan rasmi kerajaan negeri sepanjang sidang berlangsung.

​“Keadaan itu menimbulkan pertikaian sama ada sidang berkenaan boleh dianggap sebagai persidangan DUN yang sah dari sudut perlembagaan negeri. Yang berlaku hanyalah istiadat pembukaan dan penangguhan sidang semata-mata tanpa ada pembentangan usul mahupun RUU kerajaan. Persoalan sama ada ia memenuhi syarat persidangan DUN masih belum diputuskan secara jelas,” katanya ketika dihubungi media.

​Mengulas lanjut, Gulam Muszaffar turut membangkitkan status kedudukan politik pentadbiran Negeri Sembilan yang didakwa telah kehilangan majoriti mudah. Perkara ini berlaku selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO bertindak menarik balik sokongan mereka terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

​Tegas beliau, sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini menuntut sesebuah kerajaan berpaksikan kepada sokongan majoriti yang kukuh di peringkat DUN.

​“Tidak pernah ada dalam sejarah amalan perlembagaan, sesebuah kerajaan boleh memerintah dalam keadaan minoriti secara berterusan. Kerajaan amat memerlukan mandat majoriti bagi meluluskan sebarang dasar dan membuat keputusan rasmi,” tambah beliau lagi.

​Dalam pada itu, menyentuh mengenai kelangsungan hubungan politik antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH), beliau menegaskan bahawa tiada sebarang jaminan kerjasama politik tersebut akan diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, khususnya membabitkan Negeri Sembilan dan Melaka.

​Jelasnya, formula kerjasama yang dibentuk antara Barisan Nasional (BN) dan PH pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu adalah bersifat ‘keperluan semasa’ bagi membentuk kerajaan persekutuan dan tidak mengikat kedua-dua parti secara automatik untuk pilihan raya akan datang.

​“Persefahaman tersebut bertujuan menstabilkan negara ketika itu. Namun, setiap pilihan raya mempunyai dinamik politik yang berbeza dan strategi parti perlu dinilai semula mengikut realiti dan keadaan semasa. Keputusan BN bertanding secara solo di Johor sebelum ini boleh dijadikan rujukan asas kepada hala tuju parti,” katanya.

​Beliau menambahkan, UMNO kini perlu kembali fokus memperkasakan identiti dan kekuatan struktur perjuangannya sendiri, terutamanya dalam mempertahankan agenda orang Melayu, syiar Islam, serta kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.

​Melihat kepada landskap politik nasional, Gulam Muszaffar turut berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berdepan cabaran getir dalam memenangi kepercayaan dan sokongan pengundi Melayu secara akar umbi, walaupun sedang menerajui Kerajaan Persekutuan.

​Beliau meramalkan pilihan raya akan datang akan menjadi medan yang sangat kompetitif tanpa kemenangan mutlak oleh mana-mana parti, memandangkan undi dijangka berpecah kepada beberapa blok utama, dibantu oleh lonjakan kumpulan pengundi atas pagar serta potensi berlakunya ‘undi protes’.

#PolitikNegeriSembilan #UMNOTarikSokongan #KerjasamaPHBN #SidangDUNSahKe #PortalMediaAAC

​KUALA LUMPUR– Suasana politik di Johor dilaporkan semakin hangat dengan spekulasi bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal berlangsung dalam masa terdekat, susulan tularnya dokumen mengenai tarikh persidangan akhir Dewan Undangan Negeri (DUN) di media sosial.

​Mengulas mengenai pengumuman Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi bahawa Barisan Nasional (BN) akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN, Penganalisis Politik, Dr. Norman Sapar menyifatkan langkah tersebut sebagai satu persediaan awal yang matang dan bukannya petanda ‘tamak kuasa’.

​”Sebenarnya nak bertanding dan membentuk kerajaan ini memerlukan parti. Persediaan UMNO dan BN untuk bertanding di semua 56 kawasan pasti bersebab. Sebelum ini BN sibuk bekerja sahaja di Johor,” katanya ketika ditemu bual.

​Tempelak Sikap Pakatan Harapan (PH)

​Dr. Norman turut mempersoalkan reaksi beberapa parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti PKR dan Amanah yang kelihatan tidak senang dengan pengumuman tersebut, sedangkan mereka sebelum ini secara terbuka menyatakan hasrat menuntut sehingga 40 kerusi termasuk di kawasan yang kini diwakili ADUN BN.

​”Kenapa pula bila Dato’ Onn Hafiz nyatakan kita UMNO BN dah bersedia untuk bertanding kat 56 kawasan, kenapa mereka nak menggeletas? Sedangkan semasa mereka nak bertanding 40 kerusi, kita (BN) tak ada lah nak bangkang sangat.”

​Beliau menambah, situasi ini merupakan peluang terbaik dalam sistem demokrasi untuk PH membuktikan keupayaan mereka tanpa perlu bergantung kepada perkongsian kuasa.

​”Kalau katakan PH rasa mereka bagus, boleh tadbir negeri, tak payah nak kongsi kuasa. Bertanding dekat semua 56 kawasan, lawan dengan Barisan Nasional dan biar rakyat pilih,” tegas beliau.

​Formula Onn Hafiz: Cari Pelaburan, Pulangkan Kepada Rakyat

​Dalam pada itu, Dr. Norman memuji kepimpinan Onn Hafiz yang disifatkannya sebagai seorang Menteri Besar yang bekerja keras demi kebajikan rakyat sejak awal memegang jawatan, menerusi program berimpak tinggi seperti ‘Semarak Subuh’.

​Jelasnya, kerajaan negeri mempunyai formula ekonomi yang jelas iaitu menarik pelabur asing dan memulangkan hasil pulangan tersebut terus kepada rakyat dalam bentuk bantuan.

Bantuan Kasih Johor: Membawa 22 inisiatif kebajikan.

Golongan Sasar: Memberi manfaat kepada lebih 600,000 daripada 4 juta rakyat Johor.

Sokongan Rentas Parti: Inisiatif ini turut mendapat pujian daripada ADUN ‘Pengimbang’ (pembangkang) di Johor.


​Kematangan Politik Tahap Baharu

​Walaupun mengakui wujud perbezaan dinamika kerjasama politik di peringkat Persekutuan dan Negeri, Dr. Norman melihat situasi di Johor membuktikan landskap politik Malaysia kini sudah mencapai tahap yang matang.

​Memandangkan tempoh mandat DUN Johor berbaki kurang daripada setahun, perancangan masa depan kerajaan negeri harus dibina dari sekarang dan bukannya menunggu di saat-saat akhir. Beliau menyeru semua pihak agar berhenti mempertikaikan strategi kerusi tersebut dan menyerahkan keputusan mutlak kepada pengundi.

​”Kita serahkan saja mandat itu kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak memimpin Johor pada penggal akan datang,” katanya mengakhiri bicara.

#PRNJohor #OnnHafiz #PolitikMalaysia #BeritaPanas #SuaraRakyat

​AMPANG – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang menghantar isyarat jelas kepada pucuk pimpinan parti bahawa mereka kini berada dalam kesiapsiagaan tertinggi untuk menembus dan mengembalikan semula dominasi Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan pada bila-bila masa sahaja.

​Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Datuk Hasry Sham Chasemen menegaskan, persiapan rapi telah pun diatur termasuk pelaburan besar melibatkan puluhan ribu ringgit bagi mengaktifkan bilik gerakan utama (war room) pemuda di bahagian itu.

​Menurutnya, politik alaf baharu bukan lagi sekadar retorik atau laungan kosong ketika musim pilihan raya, sebaliknya ia adalah tentang kehadiran, khidmat bakti yang konsisten, serta kesetiaan bersama masyarakat ketika susah dan senang.

​”Kita tidak mahu menjadi pemimpin yang hanya muncul ketika musim pilihan raya. Kita mahu rakyat menilai bahawa Pemuda UMNO Ampang sentiasa ada bersama mereka sepanjang masa melalui pelbagai inisiatif kebajikan, sukan, pendidikan, dan pemerkasaan usahawan muda.

​”Bukan sekadar di Muar sahaja yang ada war room, di Ampang kita juga sudah buka di belakang pentas ini. Berpuluh ribu ringgit dana dikeluarkan demi memastikan persiapan jentera kita berada di tahap paling optimum,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam satu perhimpunan pemuda, baru-baru ini.

​Beliau yang juga merupakan Pengarah Penaziran Pemuda UMNO Malaysia menyatakan, struktur jentera di peringkat akar umbi telah pun disusun kemas menerusi pelantikan rasmi Ketua-Ketua Pemuda Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh parlimen tersebut.

​Politik TikTok Dan Realiti Anak Muda

​Mengulas mengenai dinamika politik semasa yang semakin mencabar, Hasry Sham yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengingatkan seluruh saf kepimpinan bahawa landskap pemikiran pengundi muda kini sudah jauh berubah.

​Katanya, media sosial seperti TikTok kini bukan sahaja menjadi medium maklumat tetapi telah bertukar menjadi platform ‘hiburan politik’ di mana netizen sentiasa menilai dan mengkritik setiap gerak-geri parti.

​”Persoalan besar yang perlu dijawab oleh keluarga UMNO Ampang hari ini ialah; adakah anak muda melihat politik sebagai sesuatu yang memberi harapan, atau mereka melihatnya sebagai medan merebut jawatan? Adakah mereka rasa pemimpin hadir membantu, atau hanya datang ketika mahu diuji?

​”Sebab itu Pemuda UMNO Ampang perlu tampil sebagai wajah baharu politik yang lebih matang, lebih dekat dengan rakyat, dan lebih memahami realiti. Kita perlu turun mendengar, bukan hanya pandai bercakap,” tegasnya lagi.

​Sedia Ketengah Calon Pelapis Berintegriti

​Bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti, Hasry Sham mendedahkan bahawa pihak Pemuda Ampang telah mula merangka dasar strategik dan menyenaraikan beberapa nama berpotensi daripada ‘kilang pemuda’ untuk diketengahkan sebagai calon Barisan Nasional di tiga kerusi dalam Parlimen Ampang sekiranya diberi mandat kelak.

​Antara nama-nama yang disebut sebagai pelapis potensinya termasuk barisan jawatankuasa utama seperti Naib Ketua Pemuda, Setiausaha, Ketua Penerangan, serta barisan kepimpinan PDM dan PSM yang terbukti konsisten berkhidmat di lapangan.

​Beliau turut meminta Ketua UMNO Bahagian Ampang untuk melihat dan memberi ruang serta peluang kepada barisan pelapis yang dibina ini berdasarkan merit dan komitmen kerja nyata mereka.

​”Pemimpin masa depan tidak hanya diukur pada faktor usia muda semata-mata, tetapi wajib diukur pada integriti, ilmu, kesanggupan turun padang, serta kekuatan hubungan dengan masyarakat.

​”Inilah pelapis yang kita mahu bina—bukan pelapis yang hanya hebat bercakap di media sosial, tetapi pelapis yang sanggup bekerja, sanggup berkorban, dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat bawah,” katanya memutuskan bicara.

#PemudaUMNOAmpang #HasrySham #PolitikAnakMuda #KembalikanDominasi #BeritaAAC