Day: June 22, 2026

KUALA LUMPUR – Pengumuman mengejutkan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penyelarasan harga diesel kepada RM2.10 seliter di Sarawak semalam, mula mengundang pelbagai reaksi dan kritikan daripada pemerhati politik tanah air.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar, menyifatkan pengumuman tersebut seolah-olah mempunyai ‘agenda tersirat’ di sebalik hujah-hujah kebajikan rakyat yang dicanang oleh kerajaan.

​Memetik dialog ikonik filem Madu Tiga arahan Almarhum Tan Sri P. Ramlee, beliau secara sinis berkata, “baik ada makna tu, macam ada sesuatu.”

​Alasan Kekang Penyeludupan Dipersoal

​Mengulas lanjut mengenai kenyataan PMX dan Menteri Kewangan II bahawa langkah tersebut diambil bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan, Gulam menganggap hujah tersebut agak janggal dan kurang logik.

​”Harga diesel mahal pun orang seludup, apakan lagi harga murah? Adakah ini alasan yang valid?” soal beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

​Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai naratif Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini yang menyatakan tanggungan subsidi kerajaan bagi RON95 dan diesel diunjurkan mencecah RM3.5 bilion sebulan. Menurutnya, penurunan harga ini pastinya akan meningkatkan lagi beban subsidi, sekali gus bercanggah dengan pendirian MOF dua minggu lalu.

​Langkah Panik Hadapi PRN & PRU-16?

​Gulam tidak menolak kemungkinan bahawa pengumuman ini merupakan satu tindakan ‘panik’ dan terdesak daripada pihak kepimpinan tertinggi negara demi meraih semula sokongan politik yang semakin merosot, terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan, Melaka, dan seterusnya PRU-16.

​”Adakah penyelarasan diesel ini sebagai optik untuk menunjukkan YAB PMX amat prihatin terhadap kebajikan rakyat?

​”Persoalannya, kenapa (pengumuman dibuat) selepas empat bulan bilamana Selat Hormuz disekat sepenuhnya oleh Iran? Adakah YAB PMX tidak tahu Selat Hormuz sehingga semalam masih ditutup?” katanya lagi, merujuk kepada impak krisis geopolitik global terhadap rantaian bekalan minyak dunia.

​”Diberi Ambil, Undi Tetap Rahsia”

​Di akhir kenyataannya, beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak terpedaya dengan ‘budi’ politik tersebut memandangkan ia merupakan janji yang sudah sekian lama tertunggak dan gagal ditunaikan sebelum ini.

​”Saya biarkan rakyat menikmati harga diesel yang baru, tetapi ingat ini bukan budi yang perlu dibalas. Bak kata, diberi ambil, tetapi undi itu tetap rahsia,” tegasnya. — AAC

#HargaDiesel #PolitikMalaysia #GulamMuszaffar #SubsidiMinyak #MediaAAC