Day: June 6, 2026

KUALA LUMPUR – Kemunculan parti baharu, BERSAMA, yang diasaskan oleh Rafizi Ramli dilihat memberi tamparan hebat dan ancaman langsung kepada PKR serta Pakatan Harapan (PH), sekali gus membuka ruang kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

​Namun begitu, kelebihan tersebut bukanlah jalan mudah atau ‘jaminan automatik’ bagi BN untuk kembali mendapat mandat penuh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

​Penganalisis Politik, Dr. Norman Sapar menjelaskan bahawa lanskap politik hari ini sudah berubah di mana rakyat tidak lagi menilai survival politik kepartian, sebaliknya lebih fokus kepada isu kos sara hidup dan kebajikan mereka.

​”Sejauh mana kita nak ukur adakah ini memberi kelebihan secara langsung ataupun dah memang ada gerenti kemenangan untuk Barisan Nasional, jawapannya tidak. Rakyat melihat kepada kehidupan mereka, sejauh mana pemimpin mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya ketika ditemubual.

PKR Berantakan, Lebih Ramai Ahli Parlimen Bakal Ikut Jejak Rafizi?

​Mengulas mengenai pergolakan dalam PKR, Dr. Norman tidak menolak kemungkinan bahawa gelombang perpindahan keluar parti akan menjadi lebih parah dalam masa terdekat.

​Selain Rafizi Ramli dan Nik Nazmi, beliau menjangkakan beberapa lagi Ahli Parlimen serta pemimpin kanan PKR yang merupakan penyokong kuat Rafizi akan mengumumkan penyertaan mereka ke dalam parti BERSAMA tidak lama lagi.

​”PH memang dalam keadaan yang berantakan dengan penubuhan parti BERSAMA. Saya rasa ramai lagi akan mengikut jejak Rafizi. Kita tahu dalam kalangan Ahli Parlimen PKR sekarang pun ramai penyokong kuat beliau. Kemungkinan minggu depan atau seminggu dua lagi, beberapa pemimpin PKR lagi akan mengikut jejak langkah tersebut,” ujar beliau dengan yakin.

Amaran Kepada UMNO & BN: Jangan Terperangkap!

​Walaupun UMNO kini dilihat menerima kemasukan ahli baharu secara mendadak impak daripada retaknya PH, Dr. Norman memberi amaran keras agar UMNO dan BN tidak leka atau terperangkap dengan situasi selesa ini.

​Rakyat katanya, sudah muak dengan ‘politik sepanjang masa’ dan pasti akan menolak mana-mana pemimpin yang hanya muncul atau turun padang ketika musim pilihan raya sahaja.

​”UMNO dan BN perlu terus bekerja keras mendampingi pengundi bagi mengembalikan keyakinan mereka. Mereka perlu membuktikan bahawa BN adalah parti yang mempunyai rekod prestasi (track record) yang terbukti mampu mentadbir negara dengan baik, harmoni, dan mempunyai hala tuju masa depan yang jelas,” tambahnya lagi.

#PolitikMalaysia #RafiziRamli’#PRU16 #UMNOBangkit #BeritaAAC