Day: June 9, 2026

KUALA LUMPUR – Pengundi di negara ini, khususnya masyarakat India, digesa agar tidak terus terperangkap dalam “sandiwara politik” menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) yang dijangka bakal berlangsung sekitar September atau Oktober ini.

​Amaran keras itu disuarakan oleh Aktivis Sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, dalam satu kenyataan video bersama rakan NGO, Encik Kumaran. Beliau mendakwa terdapat cubaan terancang oleh pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menggunakan sentimen populariti tokoh filem Tamil Nadu bagi meraih sokongan politik domestik.

​Menurut Dr. Kalaivanar, strategi tersebut dilihat sebagai kesinambungan taktik PRU-15, di mana naratif dan lagu-lagu ikon perfileman legenda, MGR, digunakan secara agresif untuk membuai emosi para pengundi India ketika itu.

​”Pada PRU-15 yang lalu, istilah MGR digunakan, siap dengan tarian dan nyanyian. Semua orang India teruja dan percaya kononnya ada reformasi. Tetapi apa yang kita dapat hari ini? Harga barang naik, hutang negara melambung tinggi, dan janji-janji manifesto seperti isu PTPTN kekal menjadi ‘zero’,” katanya dalam satu kenyataan video bertarikh 9 Jun.

​Mengulas lanjut mengenai perkembangan terbaharu, beliau mempersoalkan tindakan Perdana Menteri menghantar Timbalan Menteri Perpaduan Negara ke Tamil Nadu baru-baru ini semata-mata untuk menyampaikan utusan tahniah kepada pelakon popular, Thalapathy Vijay, yang kini menerajui landskap politik di sana. Beliau juga memandang serong lawatan rasmi Perdana Menteri ke India yang dijadualkan pada September ini, yang didakwa turut merangkumi agenda pertemuan peribadi dengan pelakon berkenaan.

​Walaupun tidak menghalang hak mana-mana individu untuk meminati mana-mana artis, Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa masyarakat harus bijak memisahkan antara dunia hiburan luar negara dengan realiti politik tanah air yang menentukan masa depan negara.

​”Saya juga peminat tegar MGR sejak tahun 1977. Saya tiada masalah sekiranya Vijay mahu datang ke Malaysia, silakan. Tetapi jangan gunakan nama atau kehadiran Vijay sebagai instrumen politik untuk memperbodohkan orang India di sini. Politik Tamil Nadu tidak sama dengan politik Malaysia. Kita sebuah negara berdaulat dengan potensi tersendiri,” tegas beliau.

Persoal Kedudukan Ekonomi dan Dana MITRA

​Dalam pada itu, Dr. Kalaivanar turut menzahirkan rasa kesal terhadap status kebajikan masyarakat India di bawah pentadbiran semasa. Beliau mendakwa status peruntukan geran di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang bernilai jutaan ringgit masih gagal memberikan impak yang telus kepada kumpulan sasar.

​Malah, beliau mendakwa sektor ekonomi mikro yang dahulunya dikuasai komuniti tempatan kini semakin terjejas dan diambil alih oleh warga asing dari Bangladesh, Nepal, dan Pakistan akibat kelonggaran dasar kerajaan tempatan.

​”Ekonomi masyarakat India semakin hari semakin teruk. Malah komuniti lain seperti Rohingya kini sudah berani mencabar kawasan tempatan seperti di Selayang. Jangan sampai kita syok sendiri melayan ‘drama Vijay’, akhirnya masa depan anak cucu kita tergadai.”

​Di akhir kenyataannya, beliau menasihati para pengundi marhaen agar tidak lagi menjadi ‘hamba’ kepada bantuan politik bermusim yang hanya hadir lima tahun sekali, seperti agihan barangan keperluan asas pokok.

​”Siapa yang bekerja, pilihlah mereka. Walaupun pihak pembangkang (Perikatan Nasional) juga dilihat berada dalam keadaan kucar-kacir, buatlah pilihan secara matang dengan minda yang rasional, bukan bersandarkan emosi hiburan,” katanya.

#BeritaAAC #PRU16 #PolitikMalaysia #ThalapathyVijay #DatoDrKalaivanar

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) wajar diberikan peluang untuk terus menerajui pentadbiran Negeri Johor demi memastikan agenda pembangunan yang dirancang dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan politik.

​Mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menegaskan, Johor memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman, dan berupaya meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

​Beliau mengariskan enam faktor utama mengapa formula pentadbiran BN ketika ini merupakan pilihan terbaik untuk bumi Johor:

Kestabilan Politik & Identiti Bangsa Johor: Kestabilan yang dinikmati membolehkan dasar negeri berjalan lancar, diperkukuhkan lagi dengan semangat kebersamaan ‘Bangsa Johor’ yang menyatukan rakyat pelbagai latar belakang.

Payung Institusi Kesultanan: Kepimpinan serta peranan DYMM Sultan Johor dan DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ) meletakkan Johor sebagai sebuah negeri yang disegani di peringkat antarabangsa.

Impak Ekonomi & Kebajikan Rakyat: Keupayaan kerajaan negeri menarik pelaburan bertaraf tinggi, membuka peluang pekerjaan, serta penyampaian bantuan kebajikan yang efektif dalam meringankan kos sara hidup.

Prestasi Cemerlang Menteri Besar: Kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi bersama barisan Exco yang profesional, bekerja keras, dan komited menyelesaikan isu-isu rakyat di peringkat akar umbi.

​”Johor mempunyai potensi besar untuk menjadi negeri paling maju di Malaysia. Justeru, kesinambungan kepimpinan yang stabil, berwibawa dan berfokus kepada rakyat adalah penting bagi memastikan agenda kemajuan negeri terus diperkasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerjasama Politik Terpilih & Tegas Dengan Kerajaan Persekutuan

​Mengulas mengenai landskap politik masa hadapan, Muqharabbin berpandangan sebarang bentuk kerjasama politik baharu mestilah dibuat secara terpilih. Menurutnya, ia wajib berasaskan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri, bukan sekadar survival politik semata-mata.

​Pada masa yang sama, beliau turut menggesa kerajaan negeri untuk terus berani dan tegas dalam menyuarakan hak rakyat Johor kepada Kerajaan Persekutuan, terutamanya melibatkan isu sensitif dan berkepentingan tinggi.

​”Kerajaan negeri perlu terus memperjuangkan kepentingan rakyat Johor dengan menyuarakan secara tegas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai isu-isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat, termasuk berkaitan hasil minyak, struktur percukaian serta peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan,” tambah beliau lagi.

#BangsaJohor #MajuJohor #OnnHafiz #BarisanNasional #MediaAAC

KUALA LUMPUR, 9 Jun 2026 – Keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan PPBM disifatkan sebagai sesuatu yang sudah dijangka, sekali gus menandakan gabungan Perikatan Nasional (PN) kini tidak lagi relevan dalam landskap politik tanah air.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menegaskan, perkembangan terbaharu itu berkemungkinan besar akan memaksa PPBM untuk bergerak secara sendirian melalui gabungan politik dalam Ikatan Perpaduan Rakyat (IPR) yang diwujudkan oleh parti itu sendiri.

​Melihat kepada situasi semasa di mana kem Pakatan Harapan (PH) dan PN sedang bergolak, Gulam memuji kebijaksanaan kepimpinan UMNO di bawah teraju Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (DSZH) yang berjaya memastikan parti kekal tenang dan stabil.

​”Percaturan dan permainan seni politiknya terlampau halus yang kembali mengukuhkan kedudukan UMNO dalam kestabilan dan perpaduan parti. Inilah sebenarnya yang wajib diperlukan untuk menempuh peperangan PRN dan akhirnya PRU16 kelak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

​Tambah beliau, ketenangan yang dipamerkan oleh Ahmad Zahid di lapangan—sama ada dalam majlis rasmi kerajaan mahupun program parti—mencerminkan kaliber beliau sebagai seorang pemimpin yang luar biasa, khususnya menerusi strategi “menahan lukah di pergentingan” yang diambil pasca-PRU15.

UMNO Jangan Alpa, Terlalu Seronok

​Walau bagaimanapun, Gulam mengingatkan seluruh saf kepimpinan dan ahli UMNO agar tidak terlalu leka dengan krisis yang sedang melanda kem lawan.

​Ujarnya, UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) masih mempunyai tanggungjawab besar untuk mengembalikan semula status quo kegemilangan era pemerintahan BN.

​”Majoriti rakyat sudah menyedari yang BN adalah gabungan parti yang kekal konsisten dan berdaya saing. Model politik inklusif dan ‘moderate’ yang dibawa oleh UMNO, MCA, MIC, PBRS, PPP, serta Friends of BN adalah manifestasi terbaik bagi semua kaum di negara ini. Kejayaan memerintah lebih 60 tahun adalah bukti jelas untuk dinilai rakyat menjelang PRN dan PRU16,” jelasnya lagi.

​Di akhir kenyataan, beliau menyeru ahli parti untuk menjauhi sikap alpa, ego, dan pentingkan diri sendiri, sebaliknya sentiasa berlapang dada demi kebaikan ummah dan agama Islam berdasarkan konsep ‘Rumah Bangsa’ dan ‘Musyawarah Nasional’ yang diterapkan oleh Presiden parti.

#PolitikMalaysia2026 #UMNOKekalTenang #PercaturanDSZH #BarisanNasional #PraharaPN

SEREMBAN – Hidangan nasi daun pisang sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia, namun mencari rasa yang benar-benar menepati selera tempatan dan menggamit memori keluarga bukanlah satu perkara yang mudah.

​Bagi Aktivis Sosial terkenal, Dato’ Dr Kalaivanar, pencarian sebuah premis makanan India yang membawakan cita rasa asli tradisi India-Malaysia akhirnya ditemui di Restoran Va Thamila, yang terletak di Jalan Lok, Rahang (berhadapan Dewi Bala), Seremban.

​Menurut Dr Kalaivanar yang juga merupakan wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, keunikan masakan di restoran ini terletak pada teknik penyediaan lauk-pauknya yang mengekalkan identiti masakan rumah tempatan, berbeza dengan lambakan kedai makan India yang menggajikan pekerja asing.

​”Masakan orang India yang dimasak di sini berbeza. Sayur dan ikannya direbus mengikut gaya ‘style’ Malaysia, bukan direbus hancur seperti kanji atau bubur seperti gaya masakan yang dibawa dari Tamil Nadu, India yang biasa kita lihat di Brickfields.

​”Bila saya makan sambal, kuah, dan ketam di sini, ia sungguh sedap sehingga melayangkan ingatan saya kepada kenangan lama bersama mendiang ibu saya. Ini betul-betul puji, bukan puji kosong,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di sekitar Seremban.

​Hidangan Untuk ‘Masyarakat Marhein’, Mesra Pelanggan Muslim

​Mengulas mengenai status hidangan tersebut untuk komuniti pelbagai kaum, Dr Kalaivanar menegaskan bahawa Restoran Va Thamila merupakan sebuah premis yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit dan agama.

​”Kedai ini dibuka untuk semua masyarakat marhein. Udara yang kita sedut pun tidak kenal bangsa dan agama, begitu juga kedai ini. Pagi-pagi lagi kita boleh lihat ramai pelanggan Melayu dan Cina datang makan tose dan chapati,” tambah beliau sambil memberi jaminan premis tersebut tidak menyajikan sebarang hidangan berasaskan khinzir.

​Sementara itu, pemilik Restoran Va Thamila, Charu Pannir, menjelaskan bahawa premis yang beroperasi seawal jam 7.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam itu sentiasa menitikberatkan sensitiviti pelanggan beragama Islam.

​Menjawab persoalan netizen mengenai status halal, Charu mengesahkan bahawa pihak restoran hanya menggunakan bahan-bahan mentah yang dijamin bersih dan halal.

​”Memang ‘safe’ (selamat) untuk orang Muslim makan di sini. Kami tidak memasak sebarang makanan bukan halal. Bekalan ayam kami pula dibeli dari pasar yang mempunyai sijil halal dan disembelih mengikut syariat. Kita sendiri periksa perkara itu.

​”Malah, barisan tukang masak kami adalah warga tempatan (Malaysia) dan sebahagiannya orang India yang memang tidak memakan makanan tidak halal. Jadi tiada isu cross-contamination (pencemaran silang) berlaku di dapur kami,” jelas Charu.

​Menu ‘Top’ Ikan Rebus Sambal Petai Jadi Buruan

​Restoran Va Thamila menyajikan pelbagai variasi makanan laut dan daging seperti kambing, ayam, udang, sotong, ketam, hinggalah kepada burung puyuh. Malah, pada setiap hari Sabtu dan Ahad, menu Nasi Biryani turut disediakan untuk para pengunjung.

​Apabila ditanya mengenai menu yang paling mendapat sambutan hangat, Charu mendedahkan menu istimewa mereka jarang ditemui di restoran daun pisang yang lain.

​”Lauk paling top dan menjadi kegemaran serta maklum balas terbaik daripada pelanggan kami ialah Ikan Rebus Sambal Petai. Selain itu, Ayam Cili Padi juga antara yang paling laju habis. Sesiapa yang merindui masakan India gaya ‘homemade’, bolehlah datang mencuba sendiri di sini,” katanya menutup bicara.

#VaThamilaSeremban #NasiDaunPisang #MakanSini #CitaRasaMalaysia #BeritaAAC