
SEREMBAN – Hidangan nasi daun pisang sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia, namun mencari rasa yang benar-benar menepati selera tempatan dan menggamit memori keluarga bukanlah satu perkara yang mudah.
Bagi Aktivis Sosial terkenal, Dato’ Dr Kalaivanar, pencarian sebuah premis makanan India yang membawakan cita rasa asli tradisi India-Malaysia akhirnya ditemui di Restoran Va Thamila, yang terletak di Jalan Lok, Rahang (berhadapan Dewi Bala), Seremban.
Menurut Dr Kalaivanar yang juga merupakan wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, keunikan masakan di restoran ini terletak pada teknik penyediaan lauk-pauknya yang mengekalkan identiti masakan rumah tempatan, berbeza dengan lambakan kedai makan India yang menggajikan pekerja asing.
”Masakan orang India yang dimasak di sini berbeza. Sayur dan ikannya direbus mengikut gaya ‘style’ Malaysia, bukan direbus hancur seperti kanji atau bubur seperti gaya masakan yang dibawa dari Tamil Nadu, India yang biasa kita lihat di Brickfields.
”Bila saya makan sambal, kuah, dan ketam di sini, ia sungguh sedap sehingga melayangkan ingatan saya kepada kenangan lama bersama mendiang ibu saya. Ini betul-betul puji, bukan puji kosong,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di sekitar Seremban.
Hidangan Untuk ‘Masyarakat Marhein’, Mesra Pelanggan Muslim
Mengulas mengenai status hidangan tersebut untuk komuniti pelbagai kaum, Dr Kalaivanar menegaskan bahawa Restoran Va Thamila merupakan sebuah premis yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit dan agama.
”Kedai ini dibuka untuk semua masyarakat marhein. Udara yang kita sedut pun tidak kenal bangsa dan agama, begitu juga kedai ini. Pagi-pagi lagi kita boleh lihat ramai pelanggan Melayu dan Cina datang makan tose dan chapati,” tambah beliau sambil memberi jaminan premis tersebut tidak menyajikan sebarang hidangan berasaskan khinzir.
Sementara itu, pemilik Restoran Va Thamila, Charu Pannir, menjelaskan bahawa premis yang beroperasi seawal jam 7.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam itu sentiasa menitikberatkan sensitiviti pelanggan beragama Islam.
Menjawab persoalan netizen mengenai status halal, Charu mengesahkan bahawa pihak restoran hanya menggunakan bahan-bahan mentah yang dijamin bersih dan halal.
”Memang ‘safe’ (selamat) untuk orang Muslim makan di sini. Kami tidak memasak sebarang makanan bukan halal. Bekalan ayam kami pula dibeli dari pasar yang mempunyai sijil halal dan disembelih mengikut syariat. Kita sendiri periksa perkara itu.
”Malah, barisan tukang masak kami adalah warga tempatan (Malaysia) dan sebahagiannya orang India yang memang tidak memakan makanan tidak halal. Jadi tiada isu cross-contamination (pencemaran silang) berlaku di dapur kami,” jelas Charu.
Menu ‘Top’ Ikan Rebus Sambal Petai Jadi Buruan
Restoran Va Thamila menyajikan pelbagai variasi makanan laut dan daging seperti kambing, ayam, udang, sotong, ketam, hinggalah kepada burung puyuh. Malah, pada setiap hari Sabtu dan Ahad, menu Nasi Biryani turut disediakan untuk para pengunjung.
Apabila ditanya mengenai menu yang paling mendapat sambutan hangat, Charu mendedahkan menu istimewa mereka jarang ditemui di restoran daun pisang yang lain.
”Lauk paling top dan menjadi kegemaran serta maklum balas terbaik daripada pelanggan kami ialah Ikan Rebus Sambal Petai. Selain itu, Ayam Cili Padi juga antara yang paling laju habis. Sesiapa yang merindui masakan India gaya ‘homemade’, bolehlah datang mencuba sendiri di sini,” katanya menutup bicara.
#VaThamilaSeremban #NasiDaunPisang #MakanSini #CitaRasaMalaysia #BeritaAAC
