
KUALA LUMPUR, 16 Jun 2026 – Hasrat seorang beliawanis tempatan untuk menyahut seruan kerajaan dalam menceburi bidang pertanian bertukar menjadi igauan ngeri selepas beliau mendakwa digertak dan diugut oleh seorang ‘samseng’ tempatan yang menguasai tanah di kawasan sekitar Johan Setia, Klang.
Mangsa, Shalini Ramachandran, 25, yang telah mengusahakan perniagaan nurseri tanaman sejak berusia 21 tahun, mendakwa kawasan tanah rizab di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Highlands yang dibersihkannya secara sah untuk permohonan projek pertanian, telah diganggu oleh individu tidak bertanggungjawab.
Isu berkenaan mendapat perhatian Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) melalui Aktivis Sosialnya, Dato’ Dr. Kalaivanar, yang tampil membongkar salah laku impak sosial tersebut dalam satu sidang media hari ini.
Kronologi Gangguan dan Ugutan ‘Monyet Tak Ada Ekor’
Menurut Dato’ Dr. Kalaivanar, mangsa telah mengikut saluran profesional dengan memohon lot tanah seluas hampir dua ekar di bawah kabel pembekal tenaga (TNB) mengikut syarat-syarat parlimen yang membenarkan tanah kontang diusahakan dengan tanaman rendah (bawah 1.8 meter).
Bagaimanapun, sejurus selepas kawasan semak samun tersebut dibersihkan demi penilaian pihak berkuasa, mangsa menerima ugutan melalui kenalannya.
”Samseng itu mengugut mangsa dan menyatakan dalam masa tiga hari, mangsa akan dihalau keluar. Malah, individu terbabit secara berani menggunakan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, YB Gunaraj untuk menakut-nakutkan mangsa.
Namun apabila mangsa sendiri merujuk kepada YB Gunaraj, wakil rakyat tersebut menegaskan beliau langsung tidak tahu-menahu dan tidak terlibat dengan cubaan rampasan tersebut,” tegas Dr. Kalaivanar.
Skandal Tanah Johan Setia: Warga Asing Jadi ‘Raja’, Ejen Tempatan Kutip Hasil
Lebih mengejutkan, SBKN mendakwa individu samseng yang sama dipercayai telah memonopoli kawasan tanah pertanian yang sangat luas di Johan Setia dan menyewakannya secara haram kepada lambakan warga asing—sekaligus mengaut keuntungan atas angin setiap bulan.
Tinjauan mendedahkan seawal jam 4.30 pagi hingga 6.30 pagi, lambakan warga asing (termasuk warga Bangladesh) dikesan telah menguasai sepanjang jalan Johan Setia untuk menurunkan dan menyusun hasil sayur-sayuran, seolah-olah mereka adalah ‘pemilik’ sah ekonomi kawasan tersebut.
Meskipun aduan dalam talian telah dibuat sebelum ini dan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pernah turun melakukan pemeriksaan, tiada sebarang tindakan konkrit atau tangkapan dibuat ke atas dalang/ejen tempatan yang mengamalkan perniagaan ala ‘Alibaba’ ini.
Persoalan Tindakan Drastik PTG Kelang: Siapa Dalang Sebenar?
SBKN turut mempersoalkan integriti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Klang serta Majlis Perbandaran yang bertindak pantas meletakkan ‘tali kuning’ (seal) serta-merta bagi menghalang struktur nurseri beliawanis tersebut, sedangkan binaan kekal (permanent structure) yang dibina secara haram oleh pihak samseng di atas tanah rizab TNB berhampiran dibiarkan tanpa tindakan roboh.
”Di Kuala Selangor, tanaman beliawanis ini habis dimusnahkan monyet ber ekor. Di Klang pula, dia diganggu oleh ‘monyet tak ada ekor’ (samseng).
Kita hairan kenapa PTG begitu cepat bertindak menyekat anak tempatan yang mahu berniaga secara sah, tetapi memejamkan mata terhadap struktur haram milik samseng tempatan yang menggaji warga asing?” soal Dr. Kalaivanar lagi.
Tempoh 7 Hari Diberikan Kepada Pihak Berkuasa
Susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa hari ini, SBKN memberikan tempoh tujuh (7) hari kepada pihak berkuasa termasuk Pengarah Penguatkuasa Imigresen, Dato’ Luqman, OCPD kawasan, Ketua Polis Negeri Selangor, serta Pentadbir Tanah Klang untuk:
Menangkap dan menyiasat individu samseng yang membuat ugutan jenayah di bawah Seksyen 506/507 Kanun Keseksaan.
Merobohkan semua struktur binaan haram milik samseng di atas tanah rizab.
Melakukan operasi pembersihan besar-besaran terhadap warga asing tanpa dokumen sah di Johan Setia yang menjalankan perniagaan secara haram.
#KeadilanUntukShalini #SamsengTanahKlang #GempurWargaAsing #IntegritiPTG #BeritaAAC


