
KUALA LUMPUR, 15 Jun 2026 – Di sebalik kesibukan ibu kota, terdapat sebuah warung kecil tepi jalan di Lorong 5 Titiwangsa yang menyimpan kisah penyatuan masyarakat berbilang bangsa melalui sekadar segelas minuman.
Kedai Teh Halia Mr. Maniam, yang mula dibuka sejak tahun 1985, kini menjadi tumpuan warga kota dari segenap pelosok seperti Gombak, Cheras, Kepong, malah sejauh Karak, Pahang. Bersesuaian dengan usianya yang mencecah 41 tahun, keunikan teh halia yang dihasilkan secara tradisional menggunakan halia segar yang direbus terus di dalam periuk menjadi kegilaan ramai.
Aktivis Sosial yang juga Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar menyifatkan kedai ini sebagai simbolik keharmonian tulen masyarakat Malaysia yang sukar dicari ganti.

”Sini udara yang kita sedut tak kenal bangsa, agama, warna kulit. Begitu juga air yang kita minum. Kedai ni untuk semua masyarakat. Kita tengok sini ada orang Melayu, Cina, India… semua ada. Sekali kena, mahu lagi,” ujar beliau ketika ditemui media baru-baru ini.
Pemiliknya, Mr. Maniam yang kini berusia 80 tahun, secara rendah diri menyatakan bahawa resipi kegemaran ramai itu bukanlah satu rahsia besar sebaliknya rezeki yang dikurniakan kepadanya.

”Oh ini Tuhan kasi sama saya. Itu juga saya boleh cakap. Ini kira boleh cakap satu Malaysia, Muhibbah. Semua bangsa ada… Cina, Melayu, India, Benggali, Singh, semua ada,” kata Uncle Maniam yang mengakui kedainya menggunakan sehingga 10 kilogram halia sehari.
Tinjauan media di lokasi mendapati para pelanggan setia sanggup menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk menikmati minuman ikonik ini.
Seorang pelanggan dari Gombak, Mustafa Kamal, mendedahkan dia telah mengunjungi kedai tersebut selama lebih 15 tahun dan sanggup menghabiskan dua gelas setiap kali datang.
”Tempat lain tak ada macam ni. Dekat Gombak tu tak ada… pakai botol bubuh dalam serbuk tu je. Sini saja yang fresh, dia rebus dalam periuk. Memang tak boleh lawan tempat lain,” katanya.
Bagi Kak Liza dari Cheras pula, dia mengenali kedai ini sejak tahun 1996 melalui suaminya yang bekerja sebagai pemandu teksi. “Teh halia dia memang sedap sebab dia buat sendiri. Suasana pun santai, berbilang bangsa semua ada kat sini. Kami seronok,” kongsinya penuh ceria.
Sentimen yang sama turut dikongsi oleh Ah Chai dari Kepong yang menyatakan dia tidak pernah terlepas untuk datang setiap petang, manakala Prakash dari Selayang menegaskan kualiti teh halia di sini jauh berbeza dengan kedai mamak biasa kerana keaslian bahan utamanya yang didaratkan terus dari Pahang. Lebih menarik, ada pelanggan dari Karak yang menjadikan kedai ini sebagai destinasi wajib singgah setiap kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.
Selain teh halia, kedai berkonsepkan nostalgia era 80-an dan 90-an ini turut menghidangkan pelbagai jenis kuih-muih tradisional seperti pulut panggang, karipap, ketayap, cokodok, serta makanan ruji rakyat Malaysia seperti nasi lemak dan mi hoon.
Bagi anda yang ingin merasai sendiri penangan teh halia ‘kow’ legendaris ini, kedai Uncle Maniam dibuka setiap hari di Lorong 5 Titiwangsa dan hanya ditutup pada sambutan Hari Raya Aidilfitri serta Deepavali.
#BeritaAAC #TehHaliaManiam #Titiwangsa #KedaiLegend
