Day: June 12, 2026

KUALA LUMPUR – Satu perhimpunan aman secara besar-besaran dilaporkan bakal menggegar Kota Kinabalu, Sabah pada 4 dan 5 Julai 2026 ini bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

​Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) merangkap Penasihat Gerakan Bangkit Sabahan, Datuk Zulkarnain Mahdar mendedahkan, perhimpunan yang bertemakan “Tangkap Shafie Apdal” itu digerakkan sepenuhnya oleh solidariti kumpulan belia dan mahasiswa dari Negeri Di Bawah Bayu tersebut.

​”Satu demo akan diadakan besar-besaran di Sabah pada 4 dan 5 Julai. Demo tersebut bertajuk ‘Tangkap Shafie Apdal’. Belia-belia ini termasuk mahasiswa datang meminta bantuan dan nasihat daripada saya,” katanya kepada media selepas menyerahkan satu memorandum hari ini.

​Dataran Deasoka Jadi Lokasi Tumpuan

​Menurut Zulkarnain, perhimpunan dua hari berturut-turut itu dijadualkan berlangsung di Dataran Deasoka, Kota Kinabalu. Beliau turut menyeru orang ramai dan masyarakat sivil yang berkongsi sentimen sama untuk turun padang memberikan sokongan kepada kumpulan anak muda berkenaan.

​Maklumat lanjut dan terperinci mengenai tentatif program akan diumumkan oleh pihak penganjur di Sabah dalam masa terdekat.

​Enggan Komen Isu Karikatur ‘Balas Dendam’

​Apabila ditanya oleh pengamal media sama ada tindakan membawa karikatur dalam sidang media tersebut merupakan agenda balas dendam susulan isu karikatur melibatkan Tun Musa Aman sebelum ini, Zulkarnain enggan mengulas lanjut. Beliau menegaskan bahawa perkara tersebut adalah idea kreatif dan hak mutlak kumpulan belia terbabit.

​”Mengenai karikatur ini, saya tidak mahu campur tangan sama ada ia bentuk balas dendam atau sebaliknya. Ini adalah idea daripada kumpulan pertubuhan belia dan mahasiswa yang didatangkan khas dari Sabah,” jelas beliau menoktahkan spekulasi.

​Pihak Berita AAC sedang berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta pihak berkuasa tempatan berhubung penganjuran perhimpunan ini.

#TangkapShafieApdal #SabahBangkit #GerakanBelia #PolitikSabah2026 #BeritaAAC

​KUALA LUMPUR – Walaupun berdepan dengan rasa kecewa dan terkilan susulan ketiadaan kuota jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta barisan Timbalan Menteri, MIC dipuji kerana memilih untuk kekal setia bersama Barisan Nasional (BN).

​Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Syed Nazir menegaskan, kesetiaan yang ditunjukkan oleh MIC dan MCA ketika ini adalah bukti kepercayaan mereka terhadap institusi BN, bukannya secara khusus kepada UMNO.

​Memetik senario politik semasa, beliau mengakui wujud desas-desus sebelum ini yang mengaitkan MIC dengan perpindahan ke blok Perikatan Nasional (PN) ekoran rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi parti tersebut.

​”Dia orang memberi kepercayaan. Yelah kalau orang kata marah, memanglah marah. Rasa kecewa, memanglah rasa kecewa. Kalau kita tengok ada satu konvensyen yang dibuat oleh MIC tempoh hari, di mana dia orang menyuarakan GLC tak dapat, Timbalan Menteri tak dapat,” katanya dalam satu temu bual eksklusif.

​Bagaimanapun, Syed Azmi menyifatkan isu pengagihan jawatan tersebut sebagai ketentuan rezeki dan takdir.

​”Itu semua kehendak Allah. Kalau itu tempat kamu, tempat kamu lah,” jelas beliau lagi.

​Mengulas lanjut mengenai tindakan parti komponen lain seperti Gerakan yang telah keluar lebih awal, Syed Azmi memberikan penghormatan tertinggi kepada pucuk pimpinan MIC kerana tidak mengambil jalan mudah untuk melompat parti, sebaliknya terus mempertahankan solidariti di bawah kepimpinan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

​”Saya menghormati keputusan MIC di mana mereka tak keluar lah daripada Barisan Nasional masuk kepada PN. So satu tahniah kita kena beri kepada pucuk pimpinan MIC,” ujarnya menutup bicara.

#BeritaAAC #PolitikMalaysia #BarisanNasional #MICSetia #ZahidHamidi