
JOHOR BHARU– Pengumuman senarai calon Barisan Nasional (BN) baru-baru ini disifatkan sebagai satu kombinasi yang mantap dan seimbang di antara muka lama yang berpengalaman dengan muka-muka baru yang bertenaga.
Menurut seorang pemimpin veteran BN, gabungan ini amat penting bagi memastikan kesinambungan parti pada masa akan datang, memandangkan parti tidak boleh hanya bergantung kepada satu-seatu kelompok sahaja.
”Kombinasi di antara orang lama dengan orang baru adalah baik. Kita tidak mahu semua orang muda tanpa orang lama, dan kita juga perlukan orang muda kerana mereka adalah kesinambungan parti kita pada masa akan datang.
”Orang muda memerlukan pengalaman daripada orang lama, manakala orang lama juga memerlukan tenaga daripada orang muda,” katanya ketika mengulas mengenai senarai calon BN yang diumumkan baru-baru ini.
Beliau yang juga menyedari perubahan landskap politik semasa turut mengingatkan para calon agar memperkasakan gerak kerja dan bersiap sedia mendepani cabaran kempen era digital.
”Zaman sekarang sudah berbeza, orang sudah pakai IT. Namun, pendekatan lama seperti berjumpa secara bersemuka (face-to-face) harus diteruskan kerana pengundi mahukan sentuhan peribadi (personal touch) daripada calon.
”Ia bukan kerja yang mudah, ia kerja yang berat. Tetapi insya-Allah, dengan niat yang baik, kita akan mencapai kejayaan besar, lebih daripada apa yang kita perolehi sebelum ini,” tambahnya lagi yang turut memfokuskan gerak kerja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ensau dan DUN Tenggaroh.
#PilihanRaya #BarisanNasional #PolitikMalaysia #CalonBN #BeritaAAC
