
KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak melakukan tindakan sabotaj atau “membentes kaki” calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Sebaliknya, seluruh jentera perlu mengamalkan konsep “Sami’na wa ato’na” (kami dengar dan kami akur) demi memastikan kemenangan mutlak parti.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menegaskan bahawa BN Johor telah meletakkan formula terbaik dengan mempertaruhkan 56 calon di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi misi mempertahankan kerajaan dengan majoriti dua pertiga.
Menurut beliau, komposisi calon yang diwakili oleh UMNO (36 kerusi), MCA (16 kerusi), dan MIC (4 kerusi) membuktikan bahawa perkongsian kuasa antara kaum bertunjangkan kesederhanaan tetap menjadi resipi terbaik untuk mentadbir Johor.
”Amalan budaya ultra dan cauvinis tiada tempat di majoriti hati rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Bidas Satira Politik PH Terhadap Datuk Onn Hafiz
Mengulas mengenai kepimpinan diterajui Datuk Onn Hafiz, Gulam Muszaffar membidas sekeras-kerasnya tuduhan kem Pakatan Harapan (PH) yang melabelkan pemimpin muda itu sebagai sombong, bongkak, dan tidak mengenang budi.
Jelasnya, tuduhan tersebut hanyalah “satira politik” yang berniat jahat untuk membunuh karakter baik Menteri Besar Johor itu.
”Tegas pada pendirian bukan bermakna sombong, rajin bekerja dan turun padang bukan bukti retorik, menjaga kebajikan rakyat bukan bermaksud mencari undi. Yang saya kenal sangat dengan beliau, sifat ikhlas dan niat fisabilillah adalah prinsip kepimpinan beliau,” ujar beliau lagi.
“Dah Ada Permata, Jangan Cari Batu Akik”
Beliau turut menitipkan pesanan analogi kepada seluruh pengundi di Johor agar tidak tersilap memilih dalam menentukan masa depan negeri.
”Nasihat buat pengundi Johor, anda sudah ada permata berkilau di dalam tangan, jangan dibuang dan tidak perlu lagi mencari batu akik di sungai yang ingin dicanai menjadi permata,” katanya yang mengakhiri kenyataan dengan slogan “Kita Kasi Onn”.
Proses penamaan calon bagi PRN Johor yang selesai semalam menyaksikan persaingan sengit melibatkan pertandingan 2, 3, 4, dan 5 penjuru dengan jumlah keseluruhan 172 calon bakal merebut tempat di 56 DUN.
#PRNJohor #KitaKasiOnn #BarisanNasional #PolitikMalaysia #BeritaAAC
