
JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) dijangka mampu memperoleh kemenangan selesa melebihi paras 40 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang, berdasarkan petunjuk prestasi semasa dan perubahan drastik sokongan rakyat di peringkat akar umbi.
Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan berkata, ramalan itu bersandarkan kepada formula pengiraan ‘+3 atau -3’ yang dibuatnya, yang mana BN berpotensi meraih antara 37 hingga 43 kerusi daripada keseluruhan kawasan yang ditandingi.
Menurut beliau, daripada pecahan komponen, UMNO/BN mempertaruhkan calon-calon di kawasan majoriti Melayu merangkumi 35 kerusi, selain 15 kerusi diperuntukkan kepada MCA dan 4 kerusi ditandingi MIC.
”Yang nak membezakan sama ada kita dapat 40 atau lebih, atau 40 kurang adalah bersandarkan asas calon. Formula saya mudah, ‘+3 / -3’—ia boleh jadi 37 atau boleh melonjak sehingga 43 kerusi,” katanya dalam satu kenyataan audio baru-baru ini.
Gelombang Sokongan ‘Bangsa Johor’ Kembali
Mengulas lanjut, Dr Azam menjelaskan bahawa terdapat perbezaan ketara mengenai landskap politik atau ‘mood swing’ dalam kalangan pengundi di Johor berbanding negeri-negeri lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan. Beliau menegaskan Johor kekal sebagai ‘Tiang Seri’ kepada keutuhan Barisan Nasional.
Jelasnya, memori kegemilangan BN sentiasa mekar dalam hati Bangsa Johor, terutamanya selepas kepimpinan negeri diterajui oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar yang membawa imej kepimpinan muda, dinamik dan bekerja keras demi rakyat.
”Rakyat Johor masih teringat kegemilangan BN. Ia kembali semula apabila YAB Onn Hafiz menjadi Menteri Besar Johor. Beliau memimpin kumpulan orang muda, bekerja siang dan malam dari awal pagi demi masyarakat, turun ke kelas takwim dan berbuka puasa bersama jemaah. Mereka sangat rajin,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Dr Azam turut memuji integriti barisan kepimpinan muda tersebut yang disifatkannya sebagai bebas daripada sebarang isu salah laku.
”Saya berani katakan, mereka ini ‘zero rasuah’. Kalau ada pihak yang mendakwa sebaliknya, sila tampil dan beritahu saya, kita sendiri akan buat laporan kepada SPRM,” tegasnya.
Pengundi Cina Mula Selesa Dengan BN
Sementara itu, Dr Azam turut mendedahkan bahawa trend sokongan masyarakat Cina di Johor kini memperlihatkan isyarat positif dan mula beralih arah bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negeri dapat dikembalikan.
”Saya melihat ‘mood swing’ masyarakat Cina sudah mula kembali kepada Barisan Nasional. Mereka sudah mula berasa selesa dan mahukan Barisan Nasional mentadbir semula. Jadi bagi saya, jangan rosakkan suasana (mood) yang baik ini,” katanya.
Menuju hari pengundian, beliau menasihatkan semua jentera parti agar tidak melayan sebarang bentuk provokasi melampau daripada pihak lawan yang cuba memainkan isu-isu sensitif berkaitan kaum mahupun agama.
”Jangan makan provokasi. Datang ke Johor, orang provok sikit tentang Melayu atau halal, jangan melatup-latup. Kita kekal tenang. Sebenarnya kempen kita sikit-sikit sahaja sudah memadai kerana rakyat sudah pun membuat keputusan,” ujar beliau lagi.
Beliau turut menyeru barisan sayap parti termasuk Puteri dan Pemuda UMNO untuk terus bersabar dan kekal fokus dalam memberikan bantuan jentera di kawasan-kawasan kritikal termasuk di DUN Kukup, Benut, Pulai Sebatang, Tiram, Kota Iskandar, dan sekitar Johor Bahru.
#PRNJohor #BangsaJohor #BarisanNasional #OnnHafiz #BeritaAAC
